Budaya hidup kawal kos kesihatan

Budaya hidup kawal kos kesihatan

UKURAN negara yang sihat ialah pada rakyat yang afiat. Rakyat yang dirundung penyakit menunjukkan petanda negara tidak sejahtera.

Kita mungkin lega mendapati Malaysia antara 12 negara di dunia yang mempunyai sistem penjagaan kesihatan termurah. Malaysia ternyata berada di tangga teratas sebagai negara yang menyedia penjagaan kesihatan terbaik di Asia Tenggara.

Tidak hairanlah, Malaysia memenangi Anugerah International Medical Travel Journal’s untuk Destinasi Pelancongan Kesihatan dan Perubatan 2015-2017. Pelancong yang melawat ke negara ini dapat membuat penjimatan antara 65 peratus hingga 80 peratus membabitkan kos rawatan kesihatan berbanding Amerika Syarikat (AS).
Namun, keadaan kos kesihatan sebenarnya tidak boleh bertahan murah selama-lamanya apabila jumlah penduduk bertambah, manakala penyakit yang tercetus akibat budaya hidup yang tidak sihat juga semakin meningkat.

Kesihatan pengguna akan sentiasa terdedah kepada pelbagai punca penyakit. Ketika menularnya wabak coronavirus (COVID-19) ini ternyata jangkitan boleh membunuh secara senyap (silent killer).

Perlu diingat juga Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah melaporkan pencemaran udara menyebabkan 6,251 kematian di negara ini sehingga 2012. Secara nisbahnya, pencemaran udara adalah punca kematian seorang bagi setiap sembilan kematian.

Ini bermakna pengguna Malaysia terdedah kepada pelbagai sumber penyakit yang menyebabkan kos kesihatan akan terus meningkat.
Penyebab utama kematian di negara ini adalah berkait dengan pemakanan dan diet. Ini termasuk juga gaya hidup yang tidak baik akibat terpengaruh dengan globalisasi budaya hidup Barat. Maka, penyakit seperti kardiovaskular, strok, hipertensi, barah, diabetis meningkatkan kos kesihatan perkapita pengguna Malaysia.

Umum tahu bahawa sistem penjagaan kesihatan moden sangat mahal dengan wujudnya industri kesihatan yang semakin berkembang. Monopoli pengeluaran alat rawatan hospital, ubat-ubatan dan latihan kepakaran dalam kalangan petugas kesihatan, menjadikan kos kesihatan melonjok naik.

Serentak dengan itu juga puluhan industri insurans kesihatan muncul untuk meraih peluang keuntungan yang lumayan. Mereka yang berkemampuan boleh membeli skim insuran, tetapi sebahagian besar pengguna B40 tidak ada akses kepada insuran untuk mendapat rawatan yang baik.

Soalnya mengapa pengguna Malaysia semakin tinggi keperluannya untuk mendapat rawatan kesihatan. Apakah rakyat lalai dan terbawa-bawa dengan budaya hidup yang tidak aktif (sedentary lifestyle) sehingga terdedah kepada penyakit yang berkait dengan gaya hidup?

Apakah rakyat terlalu hidup selesa dengan makanan segera dan makanan berproses yang menyimpan banyak ramuan kimia yang berbahaya? Apakah pengguna kurang peka dengan pelbagai produk di pasaran yang berbahaya kepada kesihatan?

Kos kesihatan adalah termasuk dalam kos sara hidup. Komponen kesihatan sangat berkait dengan kos sara hidup dan produktiviti serta ekonomi negara. Lebih tinggi rakyat memerlukan rawatan kesihatan, lebih besar kerajaan perlu menyediakan peruntukan dalam bajet negara.

Apa yang perlu disedari pengguna ialah kos kesihatan tidak akan semakin menurun jika aspek pencegahan yang berkait dengan amalan dan gaya hidup tidak dibentuk ke arah menjaga kesihatan sebagai suatu keutamaan setiap rakyat.

Kerajaan boleh mengeluarkan peraturan dari segi amalan rawatan, bekalan dan kos ubatan, kawalan terhadap industri kesihatan swasta, kemasukan serta harga ubatan dari luar. Namun, menetapkan kos kesihatan agar terus rendah dan murah tidak boleh dijamin.

Kini taraf kesihatan menjadi cabaran utama dalam ukuran kesejahteraan sebuah negara. Betapa lengkap rawatan termoden dan tercanggih yang disediakan di negara ini sekalipun, tidak akan menjamin pengguna mendapat kualiti kesihatan yang baik.

Sesungguhnya tahap kesihatan terletak kepada setiap pengguna itu sendiri untuk membuat keputusan gaya hidup yang akan dijalani masing-masing.
Betapa lengkap sekalipun kemudahan rawatan kesihatan di negara ini seperti hospital dan klinik yang mempunyai rawatan tercanggih, budaya hidup pengguna tetap menjadi utama bagaimana kos kesihatan dapat dikawal.

Penulis adalah Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna

SUMBER: BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *