Selalu dengar bisikan halus. Benarkah gangguan jin dan buatan orang?

“Kau buat apa kat sini? Pergi balik la, tempat kau bukan di sini.”
Inilah soalan yang sering ditanya kepada Visha oleh seseorang yang dia pun tak tahu siapa disebalik pintu biliknya. Perkara ini berlaku setiap malam, apabila Visha akan bangun dan mula bercakap dengan pintu biliknya.
Untuk pengetahuan semua, Visha ini bukanlah watak rekaan tetapi seorang rakyat Malaysia yang berkongsi pengelaman hidupnya di dalam buku bertajuk ‘Gila – A Journey Through Moods & Madness’ tulisan Hanna Alkaf.

Ramai antara kita menyangka bahawa apa yang dialami Visha ini adalah hal mistik seperti gangguan jin atau pun terkena buatan orang. Tak dapat dinafikan bahawa hal seperti itu memang ada, tetapi tak semua yang berlaku di dunia ini berkaitan mistik.
Visha bukan terkena buatan orang, tetapi mengalami penyakit skizofrenia
Semasa kecil, Visha mempunyai masalah untuk menimba pembelajaran (learning disability). Oleh sebab itu, dia akan dijaga oleh seseorang sepanjang di sekolah. Sewaktu berusia 19 tahun, dia memilih untuk hidup berdikari.
Pada mulanya, semua berjalan seperti biasa. Lama-kelamaan, dia semakin hilang semangat untuk berbuat apa-apa aktiviti dalam kehidupan seharian. Makan pun tak selera dan mandi pun tak nak. Akhirnya, dia mula mendengar suara-suara halus bercakap dengannya.

Ibunya yang risau akan keadaan Visha datang berkunjung untuk melawat dan mendapati berat Visha ketika itu hanya 26 kg kerana tidak makan selama beberapa hari. Seperti yang diceritakan di atas, setiap malam Visha mendengar suara seseorang di belakang pintu yang bercakap dengannya.
Keputusan telah dibuat untuk bertemu pakar psikiatri. Selepas diagnosis dilakukan kepadanya, pakar psikiatri itu mendapati Visha mengalami penyakit skizofrenia. Apa itu skizofrenia? Mungkin ramai antara kita yang tersalah anggap bahawa skizofrenia adalah penyakit yang mana pesakit mengalami dua identiti. Namun, makna itu tak tepat.
Apa itu skizofrenia dan simptom-simptomnya?
Skizofrenia bermaksud penyakit mental yang dicirikan oleh fikiran yang bercelaru, tindakan dan perasaan yang tidak wajar, suka memencilkan diri dan berkhayal, dan mengalami emosi yang tidak stabil. Menurut Mayo Clinic pula,
“Skizofrenia adalah gangguan mental yang serius di mana orang menafsirkan kenyataan secara tidak normal. Skizofrenia dapat mengakibatkan beberapa kombinasi halusinasi, khayalan, dan pemikiran dan tingkah laku yang sangat tidak teratur yang mengganggu fungsi harian, dan dapat melumpuhkan.”

Nampak? Hal skizofrenia ini bukanlah berkaitan mistik tetapi penyakit mental. Kalau nak tahu, ia boleh dikesan dengan beberapa simptom. Ini beberapa simptom yang disenaraikan oleh Mental Health America:
- Mendengar atau melihat sesuatu yang tak wujud
- Merasa diri sentiasa diekori
- Cara bercakap atau menulis yang lain daripada yang lain
- Tiada reaksi terhadap situasi-situasi penting
- Perubahan dalam penampilan dan kebersihan diri
- Perubahan personaliti
- Mula menjauhkan diri daripada aktiviti sosial
- Tinda balas tak rasional, marah, atau takut terhadap orang tersayang
- Tindak-tanduk yang tak senonoh atau pelik
- Obses terhadap sesuatu agama atau kepercayaan
Seramai 4.2 juta rakyat Malaysia mempunyai masalah mental
Selepas berjumpa pakar psikiatri dan mendapat bimbingan, Visha telah mula mengambil ubat. Pada hari-hari mendatang, suara-suara bisikan yang didengarinya makin lama makin perlahan. Jasa ibunya yang sentiasa berada di sisi sangat dihargainya. Visha berjaya mendapat segulung Diploma serta berjaya membuka syarikat sendiri. Suatu pengakhiran yang sangat menginspirasikan dari Visha.
Untuk maklumat semua, Visha mungkin salah seorang dari 4.2 juta rakyat Malaysia yang mempunyai masalah kesihatan mental. Kajian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2015 membuktikan bahawa jumlah ini adalah 29.2% daripada rakyat negara ini.
Kita tidak boleh memandang enteng lagi mengenai isu masalah mental ini. Kalau bukan kita, mungkin sanak-saudara atau pun jiran kita. Jika anda semua berdepan isu masalah mental ini, dapatkan bantuan pakar, hubungi ahli keluarga untuk berada di sisi serta beri komitmen ketika rawatan.
Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat