5 filem tentang masalah mental, selain ‘Joker’ yang korang kena tengok

Dalam kehidupan kita sekarang ini, antara aktiviti bagi mengisi masa lapang sudah semestinya dengan menonton filem, sama ada di panggung wayang ataupun secara atas talian. Tapi dalam masa sama, filem-filem yang membawa tema masalah dan penyakit mental agak kurang mendapat tempat di kalangan masyarakat.

Antara filem terkenal dan dikenali ramai mungkin adalah ‘Joker’ yang ditayangkan pada tahun lalu. Oleh itu untuk kali ni, apa kata kita luangkan masa menonton 5 buah filem yang mungkin sedikit sebanyak akan membuka mata kita mengenai penyakit mental dan memahaminya dengan lebih baik:

5. Good Will Hunting (1997)

Gambar dari MIRAMAX FILMS.

97% (Rotten Tomato) & 8.3/10 (IMDb)

Filem arahan Gus Van Sant ini mengisahkan tentang Will Hunter (lakonan Matt Damon), seorang genius matematik yang bekerja sebagai janitor sebuah sekolah berprestij. Pada suatu hari, Hunter telah terlibat dalam satu bergaduhan dengan seorang anggota polis sehingga membuatkannya ditahan. Bagaimanapun, dia tidak dibawa masuk ke penjara – sebaliknya mendapat rawatan terapi dari Dr Sean Maguire (lakonan Robin Wiliiam).

Maka bermulalah usaha Hunter membina semula dirinya, yang selama ini tersimpan dengan sifat panas baran, murung dan keterasingan akibat trauma ketika kecil. Melalui filem ini, Robin William merangkul Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik di Oscar pada 1998.

4. The Aviator (2004)

Gambar dari Eye For Film.

86% (Rotten Tomato) & 7.5/10 (IMDb)

The Aviator adalah sebuah filem biopik-drama psikologi yang membawa kisah Howard Hughes (lakonan Leonardo DiCaprio) seorang ahli perniagaan, pengarah filem dan juruterbang terkemuka Amerika Syarikat (AS) yang menghidapi Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD). Filem arahan Martin Scorsese ini menyorot perjalanan Hughes berusaha mengatasi gangguan mental itu yang dilihat seolah-olah “Semakin tinggi dia naik, semakin jauh dia jatuh”.

Filem ini merangkul lima buah anugerah Oscar, merangkumi – Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Sinematografi, Suntingan Filem, Arah Seni dan Reka Bentuk Kostum.

3. One Flew Over the Cuckoo’s Nest (1975)

Gambar dari Amazon.

94% (Rotten Tomato) & 8.7/10 (IMDb)

Filem ini antara yang mencatat sejarah apabila menggarap lima anugerah besar Oscar sebagai Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik dan Lakon Layar Terbaik. Ia mengisahkan tentang Randle Patrick McMurphy (lakonan Jack Nicholson) yang dipindahkan dari penjara ke sebuah pusat mental.

Berharap yang tempat itu lebih baik dari penjara, Mac dikejutkan dengan keadaan pusat mental yang dikawal keras oleh seorang jururawat, Ratched (lakonan Louise Fletcher). Tempat itu tidak ubah seperti neraka apabila dipenuhi dengan penyalahgunaan ubatan dan kekejaman. Filem ini pada asalnya adalah adaptasi novel karya Ken Kesey dengan tajuk sama.

2. Ordinary People (1980)

Gambar dari Paramount Pictures.

89% (Rotten Tomato) & 7.7/10 (IMDb)

Filem arahan Robert Redford ini membawa kisah tentang sebuah keluarga kaya di Chicago yang kematian seorang ahli keluarga, sehingga membuatkan mereka diselubungi rasa bersalah dan Gangguan Stres Pasca Trauma (PTSD). Kisah ini seterusnya membawa kepada usaha meruntun perasaan seperti cubaan membunuh diri, masuk ke pusat rawatan jiwa dan rasa keterasingan.

Filem yang dibintangi barisan pelakon seperti Mary Tyler Moore, Donald Sutherland, Judd Hirsch dan Timothy Hutton ini kemudiannya merangkul anugerah sebagai Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik di Oscar pada 1981.

1. Silver Linings Playbook (2012)

Gambar dari Weinstein Company.

92% (Rotten Tomato) & 7.7/10 (IMDb)

Jika anda seorang pemihat filem, mungkin anda akan tahu tentang kewujudan filem arahan David O. Russell ini. Dibintangi oleh barisan pelakon hebat – Jennifer Lawrence, Bradley Cooper dan Robert De Niro, ia mengisahkan tentang Tiffany (lakonan Jennifer Lawrence) and Pat (lakonan Bradley Cooper) yang berdepan dengan gangguan bipolar.

Ia bermula selepas Pat kehilangan kerja dan ditinggalkan isteri, sehingga membuatkannya kembali tinggal bersama ibu bapanya. Bagaimanapun, keadaan bertambah rumit setelah Pat bertemu dengan Tiffany yang menawarkan pertolongan untuk mengembalikan Pat kepada isterinya, jika dia sanggup melakukan ‘sesuatu’ untuknya.

Filem ini berjaya membuatkan Jennifer Lawrence menerima Anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Oscar dan Golden Globe pada 2013.

Menonton filem juga boleh dianggap sebagai terapi

Sekarang ni dah apa pawagam pandu lalu. Gambar dari Hype MY.

Bukan hanya sebagai mengisi masa lapang, sebenarnya menonton filem boleh dianggap sebagai terapi minda bagi melupakan kehidupan dan masalah kita untuk seketika. Ini kerana, kajian mendapati menonton filem dapat mendorong kita ke arah pembebasan emosi, menambahkan ketenangan, mencipta kegembiraan dan memberikan rasa lega kepada diri.

Bagaimanapun, untuk senarai filem yang dinyatakan di atas ini – tak dapat dinafikan ada di antaranya yang mungkin akan mengganggu minda kita ketika menontonnya. Oleh itu, dinasihatkan supaya anda semua menonton dengan hati yang tenang, dan jika anda berdepan dengan situasi seperti itu, jangan malu dan segan untuk dapatkan rawatan segera. Sebab…

“Semakin awal ia dirawat, semakin awal ia akan baik”.

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

Share on facebook
Facebook
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
KITASIHAT

Artikel Berkaitan