Terlalu banyak mesej dan group. Kajian kata WhatsApp pun boleh jejaskan mental

Terlalu banyak mesej dan group. Kajian kata WhatsApp pun boleh jejaskan mental

Aplikasi media sosial merupakan sesuatu yang wajib bagi setiap individu masa kini. Jarang untuk kita tengok seseorang yang tak ada aplikasi media sosial sama ada WhatsApp, Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain. Memang tak dapat dinafikan bahawa penggunaan media sosial telah banyak memberi manfaat kepada kita semua.

Namun, sebagai seorang manusia, hidup ini perlu mempunyai keseimbangan dalam setiap apa yang kita lakukan dalam kehidupan seharian. Jika sesuatu dibuat secara keterlaluan, ia akan memberi masalah sama ada secara fizikal atau pun mental kepada kita. Begitulah juga dengan penggunaan media sosial. Kajian membuktikan, jika ia digunakan secara berlebihan, masalah fizikal atau mental boleh terjadi.

Group WhatsApp boleh dikategorikan sebagai punca kemurungan kerana beberapa faktor ini

Perhatikan jika officemate kita mula kemurungan. Sumber gambar dari The Dawn Rehab

“Kemurungan adalah penyakit mental yang menyebabkan perasaan (mood) seseorang individu menjadi semakin menurun. Ini akan menjejaskan kehidupan harian individu tersebut, termasuklah pemikiran, perasaan, tingkah laku dan kesejahteraannya.

Sekiranya tidak ditangani secara efektif, ianya boleh mendorong kepada tindakan membunuh diri.” – Petikan dari MyHealth

Kita semua perlu tahu bahawa masalah kemurungan  semakin lama semakin parah di Malaysia. Kajian Kesihatan dan Morbiditi Nasioanal (NHMS) 2019 mendapati hampir setengah juta rakyat Malaysia pernah mengalami simptom-simptom kemurungan.

Apakah puncanya? Salah satunya menurut Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Fauziah Mohd Saad, adalah group WhatsApp. Terdapat beberapa sebab kenapa group WhatsApp boleh dikategorikan sebagai punca kemurungan. Antaranya:

  • Seseorang pengguna yang ketika itu mungkin tertekan dan jika terlampau banyak (kumpulan Whatsapp) ia menjerumus kepada kemurungan
  • Group Whatsapp boleh menyumbang kepada kemurungan atas sikap segelintir pihak yang menyalahgunakan aplikasi tersebut seperti kata-kata tanpa tapis dan ia boleh menyentuh perasaan seseorang
  • Berkongsi masalah dalam aplikasi tersebut mengharapkan bantuan namun rakan-rakan dilihat mengecam seseorang itu

Bagaimana kita boleh kesan dan bantu rakan kita yang menunjukkan tanda kemurungan dalam group WhatsApp?

Pantang ada mesej masuk. Kita akan tengok bukan? Sumber gambar dari Gadgets Now

Sewaktu kita rancak bermain mesej dan membawang bersama rakan-rakan di dalam group WhatsApp, kita sepatutnya lebih peka jika ada rakan kita yang menulis mesej yang agak pelik berbanding yang lain. Contohnya, tiba-tiba ada rakan kita menulis ayat-ayat sebegini:

  • ‘Saya tidak boleh teruskan lagi’
  • ‘Saya sangat penat’
  • ‘Maafkan saya’
  • ‘Selamat tinggal’

Anda jangan pula mengecam atau mempermainkan rakan tersebut. Tetapi, cubalah membuat mesej terus secara sendirian (PM) kepada rakan anda itu. Tanya khabar atau minta berkongsi masalah. Ini sebagai tanda prihatin dan dalam masa sama, anda menghormati rakan-rakan anda yang lain yang berada dalam group tersebut.

Jika berkelapangan, ajaklah rakan anda yang kemurungan itu untuk berjumpa secara bersemuka. Ini kerana melalui WhatsApp sahaja, ia lebih sukar untuk menunjukkan tanda sokongan moral. Mesej melalui WhatsApp tiada elemen raut wajah, pergerakan badan dan intonasi suara. Maka, ia sukar juga kepada rakan yang meluahkan perasaan dan anda yang mahu memberikan sokongan moral.

Teknologi tidak boleh dipersalahkan 100%, fikirlah cara mengurus penggunaan aplikasi media sosial

Rakyat Malaysia antara yang lama masanya menggunakan internet. Sumber gambar dari Hootsuite

Seperti yang disebut awal-awal tadi, penggunaan media sosial perlulah mempunyai keseimbangan. Tidak perlu setiap jam dihabiskan dengan media sosial jika tidak ada sebarang urusan penting. Namun, buat masa ini, kajian mendapati bahawa anak muda di Malaysia secara puratanya menghabiskan lapan jam sehari di dalam talian termasuk bermain media sosial.

Perlu kita semua ingat bahawa telah ditetapkan pihak UNICEF bahawa penggunaan ekstrem internet adalah melebihi enam jam sehari. Maka, anak muda kita memang sudah sampai tahap ekstrem dalam penggunaan internet. Kesannya, ia mengakibatkan kepuasan dan kesejahteraan hidup menjadi rendah.

Oleh itu, bagi pengguna media sosial seperti WhatsApp, carilah cara terbaik untuk mengurusakn mesej dan group yang ada. Manfaatkan fungsi seperti Invisible, Broadcast Message, Blocked atau Starred Message bagi mengoptimumkan masa ketika berada dalam talian.

Jangan lupa bantu rakan-rakan kita yang sedang kemurungan!

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *