5 cara sokong pasangan yang berdepan kemurungan akibat pandemik

5 cara sokong pasangan yang berdepan kemurungan akibat pandemik

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) tahun lalu, dianggarkan hampir setengah juta rakyat Malaysia mengalami simptom kemurungan. Angka itu semakin bertambah akibat penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa buah negeri, daerah dan kawasan sejak kebelakangan ini.

Perkara tersebut disumbangkan oleh pelbagai faktor seperti hilang punca pendapatan, rasa terasing, menanggung tugas yang lebih berat dan kekangan kewangan. Ia bertambah serius lagi apabila menimpa mereka yang telahpun berumah tangga atau mempunyai pasangan.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk menyokong pasangan masing-masing di saat sukar ini. Berikut adalah antara cara-cara yang boleh kita lakukan bagi menyokong pasangan yang mula menunjukkan simptom-simptom kemurungan:

1. Menjadi lebih proaktif selepas melihat tanda-tanda awal kemurungan

Jangan biarkan pasangan anda sendirian. Gambar dari bidadari.my

Salah satu perkara penting dalam perhubungan adalah dengan mengenal pasti setiap perubahan yang terjadi kepada pasangan. Perkara ini dapat dilihat melalui beberapa faktor, antaranya seperti perubahan sikap, masalah sukar tidur (insomnia), mudah marah, hilang minat terhadap aktiviti harian dan apa-apa yang menunjukkan keganjilan.

Bila melihat tanda-tanda seperti itu, kita boleh memulakan langkah awal dengan bertanyakan soalan ringkas kepada mereka sama ada tentang keadaan mereka dan apa yang boleh dibantu. Malah, kadangkala ia tidaklah memerlukan usaha yang begitu keras, kerana dalam keadaan tertentu sokongan itu sudah cukup dengan aktiviti ringkas, tapi bermakna.

“Anda boleh berada di sana untuk pasangan anda hanya dengan menonton filem bersama mereka di sofa. Atau dengan mengambil ais krim kegemarannya apabila anda berada di kedai.” – Rachel Gersten, pakar kaunseling. Dipetik dari Well+Good LLC.

2. Bina persekitaran yang menyokong pasangan

Manfaat masa lapang bersama-sama. Gambar dari Donna.

Kerjasama, rasa kasih dan usaha juga dapat membawa kebaikan kepada kedua-dua pihak. Oleh itu, cara seterusnya adalah dengan membina persekitaran yang menyokong pasangan masing-masing.

Antara yang boleh dicuba adalah:

  1. Fokus pada pemakanan sihat: Libatkan pasangan anda dalam merancang dan memasak makanan sihat bersama-sama untuk mendorong pemilihan makanan yang lebih baik.
  2. Bersenam bersama: Bersenam setiap hari dapat menaikkan mood anda berdua. Ia boleh saja dengan aktiviti berjalan kaki, mengayuh basikal, bermain badminton dan sebagainya.
  3. Bina persekitaran tekanan rendah: Rutin harian yang tenang dan teratur dapat memberikan keselesaan kepada siapa saja.
  4. Buat perancangan bersama: Adalah lebih baik jika setiap perkara besar atau penting dilakukan atas persetujuan bersama melalui perancangan awal, tanpa mengganggu mana-mana pihak.
  5. Beri dorongan positif: Bila mana pasangan menunjukkan rasa putus asa, jangan menambah masalahnya sebaliknya berilah dorongan positif kepadanya untuk bangkit kerana masih ada orang yang sentiasa menyokongnya di belakang.

3. Fokus pada perkara dan matlamat kecil terlebih dulu

Jangan terlalu fikirkan perkara yang besar-besar saja. Gambar dari Pengantin.

Kemurungan adalah sesuatu yang kompleks dan kerana itulah agak sukar bagi mereka untuk keluar dari belenggu kegelapan itu. Jadinya, pasangan perlu memberikan fokus kepada perkara dan matlamat yang kecil terlebih dulu.

Contohnya, dari memberikan tekanan kepada pasangan untuk mendapatkan kerja baru – pasangan boleh saja membantu mereka dalam hal-hal yang ke arah itu seperti mengemas kini resumenya, menulis surat permohonan atau mencari maklumat peluang pekerjaan untuknya. Apa yang pasti, usaha ini memerlukan kesabaran dan komitmen yang ikhlas.

4. Elakkan bertanya soalan yang menambahkan tekanan

Elakkan sebarang konflik dengan pasangan. Gambar dari Borneo Daily Bulletin.

Seperti yang dikatakan tadi, situasi mencabar ini memerlukan kesabaran yang tinggi dan tindakan berhati-hati supaya ia tidak menjadi lebih parah. Makanya, komunikasi sangat penting kerana ia boleh membawa kepada manfaat atau mudarat dalam sesuatu perhubungan. Kerana itulah, kita tidak digalakkan sama sekali bertanyakan soalan yang boleh menambahkan tekanan kepada pasangan.

Antara contoh soalan yang wajar dielakkan adalah:

  1. Awak tak nampak ke betapa bertuahnya awak?
  2. Kenapa awak buat benda kecil ni macam besar sangat?
  3. Awak rasa okey tak sekarang?
  4. Apa masalah awak ni sebenarnya?
  5. Apa yang buatkan awak rasa murung sangat ni?

Jadinya, kalau rasa-rasa soalan anda tu boleh melukakan hati pasangan, baik elakkan dari tanya.

5. Ketahui masa tepat untuk bertindak

Jangan silap langkah. Gambar dari Pa & Ma.

Dalam keadaan tertentu, kadang kala kemurungan boleh membawa kepada tindakan yang lebih parah seperti cenderung untuk menyakiti diri sendiri atau membunuh diri. Jika pasangan anda berdepan dengan keadaan seperti itu, nampaknya anda memerlukan bantuan yang lebih, berbanding secara sendirian.

Caranya adalah dengan membawa pasangan menjalani rawatan profesional yang sepatutnya, sebelum keadaan bertambah parah. Dalam jangka masa rawatan itu, kita boleh saja memberikan sokongan kepada mereka seperti membawanya ke tempat rawatan, menunggunya ketika menerima rawatan, menguruskan pengambilan ubat dan sebagainya.

Apa yang pasti, elakkan diri kita dari jadi mangsa keadaan

Kemurungan juga menjadi salah satu punca penceraian. Gambar dari Berita Harian.

Walaupun menjadi tanggungjawab kita untuk memberikan sokongan kepada pasangan, ia tidak bermakna kita boleh membiarkan diri kita terbeban dengannya, yang kemudian menjuruskan kita pula sebagai mangsa keadaan. Oleh yang demikian, kita sangat digalakkan untuk menetapkan sempadan dalam menyokong pasangan.

Ini kerana, kita sebagai manusia masih memerlukan masa sendiri dan mempunyai had kesabaran. Jika telah sampai ke hadnya, cara terbaik adalah dengan mengambil perkhidmatan pihak luar yang lebih pakar. Antara yang kita boleh hubungi untuk mendapatkan rawatan adalah:

Jangan sesekali memandang ringan masalah ini, ambillah tindakan segera untuk kehidupan lebih sejahtera!

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *