Mengaji sampai tak tidur? 4 kisah gangguan mental dikongsikan rakyat Malaysia

Mengaji sampai tak tidur? 4 kisah gangguan mental dikongsikan rakyat Malaysia

Pada pertengahan Mac tahun lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia mendedahkan satu daripada tiga rakyat di negara ini mengalami tekanan jiwa, keresahan dan kemurungan. Manakala, dalam Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 pula mendapati, lebih 400 ribu kanak-kanak di negara ini juga mengalami masalah yang sama.

Angka tersebut sememangnya telah mengejutkan ramai pihak yang tidak menyangka Malaysia juga mengalami situasi yang serius. Akan tetapi, timbul juga masalah apabila – ada di kalangan mereka yang mengalami masalah ini enggan mendapatkan rawatan sepatutnya kerana takut dilabel bukan-bukan oleh masyarakat sekeliling.

Oleh itu, bagi memberikann pemahaman yang lebih baik kepada masyarakat, KITA SIHAT kali ini akan berkongsikan pengalaman-pengalaman mereka yang pernah menghidapi gangguan mental. Semoga dengan kisah-kisah ini, ia membuka mata kita semua tentang peri pentingnya ia dirawat dengan awal.

1. Safwan: Tertekan sehingga tidur sambil simpan pisau di bawah selimut

Keadaan tertambah serius bila dia mula terdorong untuk mencederakan diri. Gambar dari CoventryLive.

Kisah ini didedahkan oleh seorang pengguna Twitter, Safwan Zulqarnain yang berdepan dengan Borderline Personality Disorder (BPD) iaitu keadaan di mana seseorang itu berasa terganggu mentalnya kerana memikirkan tentang diri sendiri dan orang lain.

Menurut Safwan, keadaan bertambah serius selepas dia mula tidur dengan membawa pisau yang diletakkan di balik selimut sebab terlalu tertekan dengan pelbagai perkara seperti isu kewangan, akademik, persahabatan dan sebagainya. Bila perkara ini sampai ke pengetahuan rakannya, Safwan diajak untuk buat rawatan di sebuah klinik.

“Tapi keadaan aku masih sama dan aku masih berani untuk self-harm dan bunuh diri… Mereka memberikan surat rujukan untuk aku ke Hospital XX kerana keadaan aku makin teruk.” – Safwan.

Tapi, bila Safwan dirujuk ke hospital – pakar mendapati yang dia bukan menghidapi BPD, sebaliknya Obsessive-Compulsive Personality Disorder (OCPD) iaitu kecelaruan personaliti yang amat mementingkan ketelitian, dan kesempurnaan. Dia seterusnya disarankan untuk buat rawatan psikoterapi dan ambil ubat seperti yang ditetapkan. Walaupun Safwan kemudiannya masih mendapat rawatan, tapi keadaannya bertambah baik selepas mendapat sokongan daripada ahli keluarga.

“Untuk pengetahuan korang, setelah lebih setahun mendapatkan rawatan, suicida thoughts dah hilang dan aku semakin bersemangat…” – Safwan.

2. Fatiha: Rasa diri tak berfungsi dan hanya berkurung dalam bilik

Keadaan ini berlaku selama hampir setahun. Gambar dari NBC News.

“Saya lalui setahun tanpa melakukan apa-apa. Saya duduk dalam bilik, kunci dalam bilik, saya duduk diam dan tak buat apa-apa.” – Fatiha Shuib, Pengasas 1Moment4Them.

Itulah yang menimpa Fatiha pada 2015 setelah menamatkan pengajian di Jordan. Ketika itu, dia merasakan dirinya tak berfungsi dan hilang rasa untuk buat apa-apa. Tapi setelah semangatnya datang, dia mula bergerak ke depan dengan mengasaskan 1Moment4Them sebuah badan yang membangunkan kesihatan mental dan kemanusiaan.

Bagaimanapun, menjelang pertengahan 2016 – Fatiha kembali mengalami depresi sehingga membuatkan badannya susut mendadak kerana kurang makan (makan satu biskut je sehari). Namun, syukur juga selepas itu apabila terdetik di hatinya persoalan: sampai bila dia nak hidup macam tu. Jadinya, Fatiha pun buat carian psikiatri di Google dan dapat satu nama pakar ni.

Dia pun hubungi pakar tu dan mula dapatkan rawatan yang sepatutnya. Masa itulah dia tahu yang dia menghidapi Bipolar II iaitu mengalami kedua-dua jenis gangguan – kemurungan dan hypomania atau mania. Kini, telah hampir 3 tahun Fatiha bebas dari Bipolar II hasil rawatan yang dia dapat.

“Kalau nak kata apa rasanya mengalami depresi, ia sangat menyakitkan. Kerana sampai ke satu tahap, anda tidak ada perasaan. Kita tak tahu sama ada nak menangis ke, kita nak gembira ke, kita nak senyum ke. Kita rasa kosong.” – Fatiha, katanya kepada Astro Awani.

3.Visha: Dengar bisikan suara yang kata dirinya tak cantik

Kadang-kadang suara itu datang dari sebalik pintu. Gambar dari Institute of Mental Health.

Pengalaman seterusnya ini pula dialami oleh Visha yang sejak kecil lagi ada masalah belajar, yang membuatkan dirinya selalu dijaga di sekolah. Tapi setelah mencecah usia 19 tahun, Visha mula mahu berdikari – namun semuanya berubah bila dia rasa hilang semangat dan terdengar suara yang entah datang dari mana. Menurutnya, kadang-kadang dia akan terdengar orang bertanya soalan di sebalik pintu:

“Kau buat apa di sini? Pergi balik la, tempat kau bukan di sini.”

Visha jua ada dengar suara yang membuatkan dirinya semakin rasa rendah diri dan seolah-olah menghina dirinya.

“Kau tidak cantik. Tiada siapa suka kepada kau.” – Bisik suara tu kepada Visha, dipetik dari Gila: A Journey Through Moods & Madness.

Melihat keadaannya yang semakin serius tu, ibu Visha membawanya berjumpa dengan psikiatri dan barulah Visha tahu yang dia menghidapi skizofrenia. Secara ringkasnya, gangguan mental ini boleh membuatkan seseorang itu mengalami halusinasi, delusi, kekacauan fikiran dan perubahan tingkah laku.

Bagaimanapun, setelah mendapatkan rawatan – nampaknya keadaan Visha bertambah baik dan suara-suara itu pun mula kurang kedengaran dan perlahan.

4. Hanan: Rasa dunia nak kiamat dan mengaji sampai tak tidur berhari-hari

Hatinya rasa tak tenang dan takut sebab rasa kiamat nak jadi. Gambar dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

“Dulu aku suka buat style rambut lain dari yang lain, warna rambut dengan kaler yang terang gila. Bertindik selain di telinga. Shopping di luar batasan hingga aku pernah beli 3 jaket berjenama yang harga ratusan ringgit sehelai. Pattern dan corak yang sama tapi warna yang berlainan. Hampir tiga ribu harganya.” – Hanan Mikhael Azman, dipetik dari FB-nya.

Itulah apa yang pernah dilalui oleh Hanan, seorang penghidap bipolar sehingga membuatkannya mengalami hypomania. Secara asasnya, hypomania adalah satu fasa di mana adanya perasaan gembira yang berterusan dan melampau atau cepat marah (baran) serta peningkatan aktiviti yang tidak normal dalam diri.

Tambah Hanan lagi, keadaan itu juga kemudiannya menjadikan dirinya taksub untuk berhijrah sehingga segala kitab dia baca, ceramah agama dia dengar dan usrah dia hadiri. Dia turut tak tidur berhari-hari sebab mengaji dan solat tahajud, sambil rasa yang dunia ni dah nak kiamat. Dari segi berpakaian pula, Hanan kemudiannya mula berniqab bila keluar dari rumah.

“Aku bayangkan yakjuj makjuj, imam mahadi semua dah nak keluar. Aku jadi takut. Badan aku sampai tahap menggeletar bila solat. Menangis nangis minta taubat. Bila tidur pun dapat mimpi neraka.” – Hanan.

Tapi syukurlah selepas mendapatkan rawatan dan makan ubat seperti yang ditetapkan, Hanan kembali tenang dan mula keluar dari belenggu itu. Kini keadaannya semakin terkawal dan bertambah baik.

Penawar utama masalah ini adalah rawatan dan sokongan

Gambar dari Jabatan Penerangan Malaysia.

Dari keempat-empat kisah yang kita dengar ini, jelas menunjukkan yang gangguan mental boleh saja dirawat dan dipulihkan. Namun, kunci utamanya sudah pasti dengan mendapatkan rawatan dan rasa kesungguhan untuk keluar dari tekanan tersebut. Ahli keluarga dan rakan rapat juga memainkan peranan penting dalam menyokong mereka yang berdepan dengan keadaan ini.

Malah, sudah tiba masanya untuk ahli masyarakat membuka mata tentang kesihatan mental dan tak memberikan sebarang label negatif terhadap mereka yang menghidapinya. Ini kerana, menghidapi gangguan mental bukanlah penghalang untuk seseorang itu mengecap kejayaan, jika ia dirawat dengan baik.

Jika anda mengenali sesiapa atau anda sendiri mengalami simptom tekanan mental, jangan malu dan segan untuk mendapatkan rawatan. Untuk maklumat lanjut rawatan dan bantuan, anda boleh hubungi:

Bak kata pepatah: Mencegah lebih baik dari mengubati!

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *