Menyindir bentuk badan orang lain membinasakan mental mangsa? Ini keburukan body shaming

Menyindir bentuk badan orang lain membinasakan mental mangsa? Ini keburukan body shaming

Kes pembunuhan saban hari berlaku. Baru-baru ini, rakyat Malaysia dikejutkan dengan kes pelajar perempuan Tingkatan Enam yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan Siti Nur Surya Ismail. Dilaporkan suspek mengelar beberapa kali pergelangan tangan kiri mangsa sehingga putus.

Berdasarkan hasil siasatan awal, polis tidak menolak kemungkinan rasa tidak puas hati akibat sering disindir dipercayai menjadi punca pembunuhan Nur Surya Ismail. Siasatan juga mendapati mangsa sebelum ini sering mengejek tentang kehidupan keluarga suspek yang miskin kerana ibunya hanya bekerja sebagai tukang cuci manakala bapanya hanya bekerja kampung berbanding kehidupan keluarga mangsa yang agak senang.

Selain itu, suspek turut mendakwa kononnya mangsa suka mengejek dengan mengatakan yang dia tidak cantik berbanding dirinya dan kekurangan itu menjadi punca dia masih tidak mempunyai teman lelaki sehingga suspek sering memendam rasa.

Kes masih dalam siasatan. Cuma apa yang kita perasan dari kes ini, nampaknya ada budaya body shaming (kecam badan) terhadap orang lain. Sedar atau tak, body shaming ini mungkin nampak kecil bagi seseorang, tapi ia menyakitkan bagi orang lain.

Menjadikan bentuk fizikal badan orang lain sebagai bahan sindiran

Semua orang ada keunikan tersendiri. Imej dari Feminism In India

Dalam kehidupan harian kita, seolah-olah kita telah mempunyai rujukan yang jelas dan pasti tentang apa itu kecantikan dan bagaimana ia harus dipersembahkan. Contohnya, model-model yang kurus dan cantik di muka depan majalah, atau artis-artis yang membintangi rancangan TV yang kita tonton.

Dari situ, mula muncul budaya membandingkan seseorang dengan orang lain dalam bentuk memalukannya. Ia berlaku tak kira jantina sama ada lelaki atau wanita. Inilah yang kita kenali sebagai budaya kecam badan atau body shaming. Untuk pengetahuan semua, body shaming datang dengan pelbagai cara:

  • Mengkritik penampilan anda sendiri, melalui penilaian atau perbandingan dengan orang lain
  • Mengkritik penampilan orang lain di hadapan mereka
  • Mengkritik penampilan orang lain tanpa pengetahuan mereka

Tidak kira bagaimana ini datang, ia sering menimbulkan perbandingan dan rasa malu, dan membawa idea bahawa orang harus dinilai terutama kerana ciri fizikal mereka. Body shaming merangkumi kedua-dua kritikan sama ada “terlalu gemuk”, atau “terlalu kurus”, dan sering kali kita memilih menyindir kekurangan yang sama sekali tidak relevan.

Body shaming menjejaskan kehidupan mangsa secara fizikal dan mental

Perlulah diingatkan bahawa body shaming adalah satu  bentuk pembulian di mana penampilan fizikal seseorang menjadi sasaran. Gambar dan penampilan adalah perkara yang sangat sensitif bagi semua orang, sama ada muda atau tua. Ini disebabkan oleh fakta bahawa cara kita menampilkan diri mempunyai kaitan langsung dengan siapa kita.

Walaupun body shaming merujuk kepada penampilan fizikal seseorang, ia boleh mempengaruhi aspek mental dan fizikal kehidupan seseorang secara negatif. 

“Apabila orang merasa malu kerana berat badan mereka, mereka cenderung untuk menghindari senaman dan mengambil lebih banyak kalori untuk mengatasi tekanan ini.” – Zur Institute

Selain itu, body shaming juga mengganggu kesihatan mental orang lain yang menyebabkan seseorang itu semakin merendah diri, terasa tiada harga diri dan kurang keyakinan. Ini akan membawa kepada rasa kesunyian yang boleh berkembang menjadi tekanan perasaan.

Maka, kalau sayang orang sekeliling dan diri anda. Hentikanlah budaya body shaming ini!

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *