Jangan lupa bayi anda! Kerajaan sediakan bantuan vaksin pneumokokal secara percuma

Pembentangan Belanjawan 2021 telah pun berlalu. Kerajaan memperuntukan sejumlah RM31.9 bilion bagi Kementeria Kesihatan. Salah satu strategi bagi peruntukan ini ialah bagi menangani pandemik COVID-19 dan menyediakan kemudahan kesihatan awam. Ramai antara kita yang mungkin terlepas pandang dengan beberapa kemudahan yang bakal disediakan kerana terlalu banyak untuk diperhatikan.
Jadi, salah satu peruntukan yang menarik ialah kerajaan menyediakan RM90 juta bagi Program Imunisasi Pneumokokal. Ia dijangka memberi manfaat kepada 500,000 kanak-kanak. Dari jumlah itu juga, RM6 juta digunakan bagi perolehan ubat biologik bagi penyakit seperti Rheumatoid Arthritis.
Persoalannya, kenapa kerajaan sanggup habis puluhan juta untuk program ini? Apa terjadi jika kanak-kanak di Malaysia tidak mendapat imunisasi pneumokokal?
Penyakit berjangkit ini telah menyebabkan kematian ratusan ribu kanak-kanak di seluruh dunia

Penyakit pneumokokal ini bukan biasa-biasa jika dijangkiti. Ini kerana dianggarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO ) pada tahun 2008, 476,000 kematian kanak-kanak di bawah umur 5 tahun diseluruh dunia adalah disebabkan jangkitan pneumokokal. Ia juga merupakan kematian dan penyakit paling tinggi dilaporkan di Asia dan Afrika.
“Penyakit pneumokokal adalah jangkitan yang disebabkan oleh bakteria yang dipanggil Streptococcus pneumoniae. Ia menjangkiti semua golongan umur tetapi lebih sering menjangkiti kanak-kanak dan warga tua.” – Petikan dari MyHealth
Portal kesihatan antarabangsa, WebMD mengatakan bahawa seseorang itu boleh dijangkiti oleh bakteria ini, atau mereka boleh membawa bakteria ini di dalam kerongkong mereka, dan tidak merasa sebarang kesakitan. Kemudiannya pembawa tersebut masih boleh menyebarkannya, terutama pada titisan air dari hidung atau mulutnya ketika mereka bernafas, batuk, atau bersin. Maka, kanak-kanak adalah golongan yang paling mudah terdedah dengan jangkitan ini.
Namun, hal yang lebih merisaukan adalah bakteria ini boleh menyebabkan pelabagai jangkitan termasuk:
- radang paru-paru,
- meningitis (radang membran yang mengelilingi saraf tunjang atau otak)
- sepsis ( jangkitan dalam darah)
- sinusitis (jangkitan pada sinus)
- otitis media ( jangkitan telinga tengah )
Apakah rawatan terbaik untuk cegah bayi anda terkena penyakit ini?

Cara terbaik untuk mencegah penyakit pneumokokal adalah dengan program imunisasi. Imunisasi merupakan satu proses memberi vaksin kepada bayi bertujuan untuk mencegah penyakit-penyakit berjangkit. Ini penting kerana vaksin boleh membantu melindungi daripada penyakit yang serius serta komplikasi jangkitan disamping menyelamatkan nyawa.
“Vaksin pneumokokal akan membantu merangsang badan menghasilkan antibodi terhadap Streptococcus pneumoniae yang menyebabkan penyakit ini. Ini kerana vaksin mengandungi sebahagian daripada bakteria yang dapat mencetuskan badan untuk membina imuniti terhadap bakteria tersebut.” – Petikan dari MyHealth
Untuk pengetahuan semua, pemberian vaksin kepada kanak-kanak dilakukan dengan dua cara sama ada secara suntikan (melalui otot atau di bawah kulit) atau melalui mulut. Setakat ini terdapat dua jenis vaksin pneumokokal di Malaysia iaitu:
- Vaksin Polisakarida Pneumokokal: Disuntik ke dalam otot ( paha atau lengan ) atau di bawah permukaan kulit.
- Vaksin Berkonjugat Pneumokokal: Disuntik ke dalam otot (paha atau lengan atas)
Untuk ibu bapa yang mahukan mengambil vaksin ini kepada bayi anda, bincang terlebih dahulu dengan pembekal penjagaan kesihatan anda untuk membantu anda dalam membuat keputusan yang terbaik. Sekalipun vaksin pneumokokal adalah pilihan, ia tetap merupakan salah satu vaksin yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan.
Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat