Keganasan rumah tangga menyebabkan Sindrom Wanita Babak Telur? Ia penyakit mental yang teruk

Keganasan rumah tangga menyebabkan Sindrom Wanita Babak Telur? Ia penyakit mental yang teruk

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac 2020, bukan sahaja keluarga seisi rumah hilang pendapatan, malah suasana hidup berkeluarga turut terganggu. Ini terbukti apabila Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerima sebanyak 1,929 aduan berhubung kes keganasan rumah tangga.

Dua negeri yang mencatatkan kes keganasan rumah tangga yang tertinggi adalah Selangor (375 aduan) dan Johor (264 aduan). Isu ni juga nampaknya agak serius sehingga kerajaan dalam Belanjawan 2021 memperuntukkan RM24 juta bagi Program Kesihatan Mental, Pencegahan Keganasan & Kecederaan serta Penyalahgunaan Substans. Salah satu inisiatif yang disediakan kerajaan adalah menyediakan perlindungan sosial serta sokongan moral kepada golongan wanita bagi mendepani masalah keganasan rumah tangga, penceraian dan penderaan.

Kita semua patut sedar bahawa keganasan rumah tangga terutamanya terhadap wanita telah mendatangkan sakit mental yang serius kepada mereka.

Keganasan rumah tangga menyebabkan Sindrom Wanita Babak Telur yang serius

 

Situasi keganasan rumah tangga, malah ada yang lebih teruk lagi. Imej dari The Sunday Guardian

Telah dikongsikan oleh seorang pakar psikiatri, Dr. Ahmad Rostam bahawa keganasan rumah tangga terhadap wanita boleh menyebabkan berlakunya Battered Wife Syndrome. Atau dalam bahasa Indonesianya dipanggil Sindrom Wanita Babak Telur. Sindrom ini adalah masalah kesihatan mental yang serius terhasil dari penderaan pasangan yang kronik dan berterusan.

“Battered Woman Syndrome, yang juga kadang-kadang disebut Battered Wife Syndrome, dianggap sebagai sub-kategori Gangguan Tekanan Pasca-Trauma (PTSD).

Dengan sindrom ini, seorang wanita mungkin mengalami ketidakberdayaan yang diajarkan (learned helplessness) yang menyebabkan dia percaya bahawa dia layak menerima penderaan dan dia tidak dapat melepaskannya.” – Petikan dari Healthline

Dalam banyak kes, sindrom ini telah menyebabkan wanita itu tidak mahu melaporkan sebarang keganasan rumah tangga kepada keluarga, rakan-rakan atau pun pihak berkuasa. Bagaimanakah sindrom ini boleh berterusan? Ini kerana sindrom ini mempunyai tiga peringkat:

  1. Pendera melakukan sesuatu yang mewujudkan keadaan tegang dalam perhubungan seperti sengaja mencari isu atas perkara kecil.
  2. Ketegangan bertukar menjadi penderaan dari segi fizikal, seksual, psikologi mahupun emosi.
  3.  Pendera cuba untuk membaiki keadaan, memohon maaf, mereka akhirnya dimaafkan dan kitaran tadi bermula semula berkali-kali.

Jika mangsa berdiam diri, anda boleh kesan tanda-tanda seseorang itu berada dalam keganasan rumah tangga

 

Seperti yang disebutkan di atas, mereka yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga itu mungkin takut untuk membuat laporan atau mendapatkan bantuan kerana dia mengalami Sindrom Wanita Babak Telur tadi. Sekiranya anda prihatin dengan ahli keluarga atau rakan, perhatikan beberapa gejala penting yang dapat menunjukkan bahawa dia berada dalam situasi keganasan rumah tangga dan memerlukan bantuan. Antara yang dikongsikan portal kesihatan Healthline adalah:

  • Menarik diri dan membuat alasan untuk tidak melihat rakan atau keluarga atau melakukan aktiviti yang pernah dia lakukan
  • Kelihatan cemas terhadap pasangan mereka atau takut dengan pasangan mereka
  • Sering mengalami lebam atau kecederaan yang tidak dapat mereka jelaskan
  • Mempunyai akses terhad kepada wang, kad kredit, atau kereta
  • Menunjukkan perbezaan keperibadian yang melampau
  • Mempunyai pasangan yang mudah marah, mudah cemburu, atau sifat dirasuk

Jika anda dah berjaya kesan dan yakinkan mangsa membuat laporan. Ada beberapa langkah yang mesti diikuti seperti yang dikongsikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Mangsa keganasan rumah tangga boleh melaporkan kejadian keganasan terhadapnya ke:

  1. Balai Polis yang berhampiran atau pengaduan boleh dibuat di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan yang berhampiran
  2. Menghubungi Talian Kasih 15999
  3. Merujuk terus ke hospital yang berhampiran sekiranya dicederakan

Dalam keadaan apa-apa pun, semangat Kita Jaga Kita bukan hanya dalam bab kesihatan fizikal, tapi juga kesihatan mental yang dialami orang lain. Bantu selagi boleh!

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *