Rupa-rupanya berpiknik boleh bantu membersihkan paru-paru dan kurangkan stress?

Rupa-rupanya berpiknik boleh bantu membersihkan paru-paru dan kurangkan stress?

Kehidupan harian kita sebagai manusia telah pun banyak berubah disebabkan pandemik COVID-19. Pastinya kita semua sedar bahawa kita menjalani rutin harian secara normal baru. Pergerakan kita agak terhad berbanding dulu dan lebih banyak masa dihabiskan di rumah. Namun, masih ada lagi dalam kalangan kita yang melanggar peraturan dan SOP yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sebagai contoh, apabila ADUN Ketari, Young Syefura Othman yang dikecam netizen kerana memuat naik gambar berpiknik menyambut hari jadi di Avani Sepang Goldcoast Resort, Selangor. Sedangkan negeri Selangor masih lagi berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Berpiknik ini adalah satu aktiviti yang biasa bagi sesetengah orang ketika sebelum pandemik COVID-19 melanda negara. Sewaktu pandemik melanda ini, kita memang agak risau untuk melakukan aktiviti piknik sama ada di tepi pantai ataupun tasik. Jika suatu hari nanti pandemik ini selesai, aktiviti piknik memang patut dihidupkan semula bersama ahli keluarga dan rakan-rakan. Ini kerana berpiknik ini sedikit sebanyak dapat membantu kesihatan fizikal dan mental kita semua.

Berpiknik bersama keluarga atau rakan boleh menjadi aktiviti menghilangkan tekanan hidup anda

Tiup sama-sama. Imej dari Freepik

Dari makan tengah hari dan barbeku santai bersama rakan-rakan sehinggalah hari yang panjang untuk perjumpaan keluarga, berpiknik menyediakan persekitaran yang santai untuk menghiburkan semua orang. Sebenarnya, berpiknik menawarkan lebih daripada sekadar menyediakan makanan dan baring di tikar. Kelebihan berpiknik kepada kesihatan tak dapat disangkal lagi apabila ia disenaraikan oleh Samir Becic, penulis buku ReSYNC Your Life.

Pertamanya, kita akan meluangkan masa di luar, berjemur di alam semulajadi, menghirup udara segar dan menikmati pemandangan yang indah. Udara yang bersih menyegarkan dan membuat anda merasa segar kembali. Bagi mereka yang mengalami gangguan pernafasan, menghirup udara bersih membantu membersihkan paru-paru.

Keduanya, meluangkan masa bersama keluarga selalu menjadi pengalaman membentuk ikatan yang baik. Dalam gaya hidup yang cepat dan pantas pada masa kini, terdapat masa yang terhad untuk mengekalkan hubungan dengan beberapa orang terpenting dalam hidup anda. Keterlibatan dengan keluarga dan rakan anda dapat membantu membina ikatan yang lebih kuat dan memupuk kehangatan, keamanan dan cinta, serta perasaan kekitaan.

Ketiganya, walaupun berpiknik menawarkan banyak faedah sosial, anda tidak perlu menghabiskan seluruh masa untuk bersembang sahaja. Berpiknik menawarkan peluang terbaik untuk anda meluangkan masa bagi merenung kehidupan anda, mempertimbang keputusan yang telah anda buat dan keputusan yang akan anda buat.

Keempatnya, apabila berpiknik biasanya akan mebawa bakul yang penuh dengan buah-buahan, sayur-sayuran, minuman bersusu dan biji-bijian. Makanan ini memberikan nutrien seperti serat, kalsium dan vitamin penting.

Akhir sekali, berpiknik adalah penghalang tekanan kerana ia dapat mengurangkan tekanan dan kegelisahan yang berkaitan dengan tempat kerja dan rumah. Menjadi orang dewasa tidak semestinya mudah dan bagus untuk dapat melepaskan tanggungjawab dari semasa ke semasa dengan bersantai di bawah sinar matahari.

Namun, berpiknik tak dibenarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)

 

Sambil berpiknik, anak-anak boleh bergiat aktif. Imej dari San Antonio Current

Berkelah atau berpiknik dilarang secara tegas berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Nasional (MKN). Larangan inj termasuk bersama dengan aktiviti pelancongan yang melibatkan perjalanan masuk dan keluar dari kawasan PKPB. Di bawah PKPB, perjalanan antara negeri dan antara daerah dilarang kecuali untuk tujuan kerja dan kecemasan.

Kami di Kita Sihat berpendapat bahawa tindakan YB Young Syefura tidak patut dilakukan. Ini kerana YB adalah wakil rakyat yang sepatutnya menjadi contoh untuk patuh kepada peraturan dan SOP. Jika, rakyat boleh patuh, takkan wakil rakyat tak boleh? Nanti sudah selesai semua, marilah kita semua pergi berpiknik.

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *