Mata Suhaimi Saad disantau? Ini tanda-tanda mata korang bermasalah

Siapa yang tak kenal dengan Suhaimi Saad? Selain bekas penyanyi nasyid In-Team, dia juga terkenal sebagai pengikut teori Bumi rata dan anti vaksin. Setelah agak lama tidak mendapat perhatian media, dia telah muncul di Instagram untuk mengatakan bahawa dia kini sedang mengalami masalah penyakit mata.
Dia memerlukan bantuan isterinya, Ina Naim dalam urusan harian ekoran masalah kesihatan yang menyebabkan matanya rabun. Selain itu, banyak hal sekarang agak terhad untuk dibuat dan memerlukan bantuan orang lain. Selain itu, dia turut menafikan bahawa matanya mempunyai selaput dan sakit katarak. Ada pakar rawatan Islam yang menemuinya berpendapat ia ada kaitan dengan santau.
Agak sukar untuk menentukan masalah apa yang dihadapi Suhaimi Saad ini kerana dia memilih untuk merahsiakannya. Namun, sebenarnya kita sebagai orang awam boleh belajar dan ambil tahu jika mata kita mula menunjukkan tanda-tanda mengahadapi masalah.
Mata merah dan beserta kesakitan
Antara petanda masalah yang serius dan memerlukan perhatian perubatan dengan segera ialah mata merah beserta kesakitan. Jika seseorang itu menangguhkan rawatan, ia boleh menyebabkan kebutaan kekal. Penyebab masalah ini dikatakan datang dari tiga masalah.
1. Ulser Kornea: Bakteria berjaya memasuki kornea
“Terdapat berbagai macam penyebab ulser kornea, termasuk jangkitan, trauma fizikal dan kimia, pengeringan dan pendedahan kornea, dan pemakaian dan penggunaan lensa sentuh (contact lens) yang berlebihan.” – Petikan dari MedicineNet

Kornea merupakan lapisan luar dan tengah mata. Permukaannya jernih, berbentuk kon yang meliputi bahagian hadapan mata dan membantu memfokus cahaya ke retina. Jangkitan pada kornea berlaku apabila bakteria berjaya memasuki kornea melalui luka atau kecederaan pada permukaan kornea.
Tanda dan gejala ulser kornea:
- Sakit mata yang teruk
- Mata merah
- Mata berair
- Berpasir atau berbiji
- Sensitif pada cahaya (fotofobia)
- Kabur
2. Glaukoma Akut: Kelihatan gegelang berwarna warni di keliling cahaya
“Keadaan serius ini menjadikan tekanan di dalam mata anda (doktor anda mungkin memanggilnya tekanan intraokular, atau IOP) meningkat secara tiba-tiba. Ia boleh meningkat dalam masa beberapa jam. Ia berlaku apabila cairan di mata anda tidak dapat mengalir sebagaimana sepatutnya.” – Petikan dari WebMD

Glaukoma jenis akut adalah merupakan kes kecemasan bagi penyakit mata. Bola mata menjadi keras dan menyebabkan kesakitan yang teruk. Bagi pesakit glaukoma akut, wajiblah dirawat oleh doktor mata dengan segera bagi menghentikan serangan. Sebarang kelewatan dalam rawatan boleh nmengakibatkan kehilangan penglihatan yang kekal.
Tanda-tanda dan gejala glaukoma akut:
- Sakit mata yang mendadak
- Kabur
- Pandangan berpinar (kelihatan gegelang berwarna warni di keliling cahaya)
- Mata merah
- Sakit kepala
- Loya dan mungkin muntah
3. Uveitis: Tompokan merah yang mengelilingi kornea
“Uveitis adalah salah satu bentuk keradangan mata. Ia mempengaruhi lapisan tengah tisu di dinding mata (uvea). Tanda amaran Uveitis (u-vee-I-tis) sering muncul secara tiba-tiba dan menagkibatkan keburukan dengan cepat. Ini termasuk kemerahan mata, sakit dan penglihatan kabur.” – Petikan dari Mayo Clinic

Keadaan ini boleh mempengaruhi satu atau kedua-dua mata, dan boleh mempengaruhi manusia dari semua peringkat umur, bahkan kanak-kanak. Mata merah pada uveitis selalunya merupakan tompokan merah yang mengelilingi kornea. Tanda-tanda dan gejala uveitis:
- Sakit mata
- Sensitif pada cahaya (fotofobia)
- Kabur
- Mata merah (selalunya kemerahan sekeliling kornea)
- Kadang kala megalami floaters (kelihatan bayangan terapung di hadapan mata yang sakit)
Kelewatan rawatan boleh menyebabkan komplikasi seperti katarak dan glaukoma.
Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat