Hari cuti sikit sangat? Kuala Lumpur diisytihar bandar terbeban kerja dunia 2020

Hari cuti sikit sangat? Kuala Lumpur diisytihar bandar terbeban kerja dunia 2020

Siapa yang tak bangga melihat bandar Kuala Lumpur (KL) yang begitu maju serta penuh bangunan pencakar langit. Disebalik kemajuan yang mengisi setiap jalan di bandar KL, nampaknya bukanlah jaminan kehidupan pekerja di sana tidak terbeban. Ini telah dibuktikan oleh kajian syarikat teknologi mudah alih yang berpangkalan di US, Kisi.

Dalam kajian itu, bandar raya Kuala Lumpur diisytihar sebagai bandar raya ke-4 di dunia yang paling terbeban dengan kerja. Ini kerana bandar raya Kuala Lumpur dilaporkan antara yang mempunyai waktu bekerja paling lama dan banyak menghabiskan masa berulang-alik ke tempat kerja berbanding penduduk di bandar lain di seluruh dunia.

Bandar Kuala Lumpur turut diletakkan di tempat ke-4 kerana hari percutian yang kurang iaitu selama 8 hari. Ini dikira sikit mengikut kajian antarabangsa tadi. Kenapa hari cuti seperti cuti tahunan (annual leave) ini sangat penting untuk kesihatan pekerja?

Cuti tahunan mungkin merupakan salah satu kunci untuk mengelak risiko penyakit jantung

Imej dari Ward William HR

Apa pun pekerjaan anda, cuti tahunan adalah bahagian penting dalam pekerjaan yang ramai terlepas pandang. Fikiran dan badan kita memerlukan rehat yang sepenuhnya dari tempat kerja dan secara berkala. Sebenarnya, kajian dah menunjukkan bahawa mengambil cuti tahunan untuk pergi bercuti dapat meningkatkan produktiviti tempat kerja, meningkatkan kesihatan mental dan memanjangkan jangka hayat anda.

Dalam satu kajian di Australia dilaporkan bahawa memanfaatkan cuti boleh dikaitkan dengan pengurangan tekanan kerja. Tekanan di tempat kerja boleh menyebabkan sakit kepala, peningkatan kegelisahan, tekanan darah tinggi, kemurungan, peningkatan minum minuman alkohol dan mengurangkan prestasi dan produktiviti kerja,

Selain itu, mengambil cuti tahunan mungkin merupakan salah satu kunci untuk mempunyai jangka hayat lebih lama. Pada tahun 2000, sebuah kajian yang diterbitkan dalam Perubatan Psikosomatik (Psychosomatic Medicine) menunjukkan penurunan risiko kematian pra-matang dalam kalangan lelaki pertengahan usia yang berisiko tinggi terkena penyakit jantung.

Tak cukup dengan itu, satu kajian dalam Wisconsin Medical Journal, wanita yang bercuti dua kali atau lebih dalam setahun agak kurang kemungkinan untuk mengalami kemurungan, ketegangan atau keletihan. Malah, para penyelidik mendapati bahawa tekanan meningkat apabila hari untuk bercuti berkurang.

Bagi pekerja yang telah berkahwin, ada berita baik kerana kajian membuktikan bahawa wanita yang sering mengambil cuti didapati lebih berpuas hati dengan perkahwinan mereka. Ditambah pula,hasil cuti yang cukup menyebabkan dunia pekerjaan mereka tidak mempunyai kesan terhadap kehidupan sosial dengan keluarga dan rakan-rakannya.

Apa yang majikan dan pekerja boleh lakukan?

Imej dari The National

Pastikan polisi percutian majikan anda jelas dan prosedur permohonan cuti mudah. Pekerja perlu mengetahui berapa banyak cuti yang disediakan serta mempunyai akses mudah ke dalam sistem permohonan cuti. Sistem dan prosedur permohonan cuti bukan sahaja memudahkan pekerja, malah membolehkan majikan mengawasi dan memastikan pekerja mengambil cuti secukupnya.

Selain itu, pihak majikan perlulah menghantar peringatan kepada pekerja mengenai baki hari cuti yang belum mereka ambil atau mengingatkannya di dalam mesyuarat. Cara ini dapat memotivasikan pekerja untuk mengambil cuti sepanjang tahun dan mewujudkan budaya di mana perbincangan mengenai cuti secara terbuka dan positif.

Jangan lupa untuk menggalakkan pekerja bagi berkongsi cadangan mengenai cuti sama ada perjalanan jarak jauh ke percutian bandar, hari keluarga hingga acara budaya tempatan. Ini dapat membantu mengembangkan sikap tempat kerja yang lebih sihat terhadap cuti tahunan. Syarikat juga boleh merundingkan potongan harga untuk perjalanan, penginapan, tempat menarik, acara, dan aktiviti lain untuk menyokong usaha ini.

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *