266 kes bunuh diri sejak PKP dilaksanakan? Ini 6 saluran untuk rawatan mental anda

266 kes bunuh diri sejak PKP dilaksanakan? Ini 6 saluran untuk rawatan mental anda

Pandemik COVID-19 bukan sahaja menjatuhkan ekonomi, malah menganggu kesihatan mental ramai orang. Ini terbukti apabila sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa di seluruh negara, pihak polis mencatatkan sebanyak 266 kes bunuh diri.  25 peratus daripadanya disebabkan beban hutang yang tinggi, 4 peratus disebabkan masalah keluarga, diikuti kes rumah tangga sebanyak 23 peratus, dan 15 peratus lagi atas faktor cinta.

Selain itu, punca bunuh diri yang lain termasuk bebanan kerja, halusinasi, mental, media massa serta dadah pula direkodkan sebanyak 13 peratus. Apa yang pasti, masalah ini boleh terjadi kepada sesiapa saja – tanpa mengira umur, jantina dan pangkat. Maka ketika ini, perlulah kita mencari jalan penyelesaian bagi menepis segala stigma negatif yang ada, selain mencegah dari berlakunya segala kejadian yang tak diingini.

Oleh itu, salah satu cara terbaik adalah dengan mendapatkan rawatan awal sekiranya mempunyai simptom-simptom gangguan mental. Tapi, mungkin masih ramai yang tidak tahu di mana boleh mendapatkan rawatan itu. Berikut adalah saluran yang boleh membantu kita semua:

1. Hospital kerajaan

Terdapat lebih 20 buah hospital kerajaan menyediakan rawatan untuk masalah mental. Gambar dari BH Online.

Seperti yang kita tahu, Malaysia adalah antara negara yang memberikan perkhidmatan perubatan berkualiti dan berpatutan kepada rakyatnya. Sebenarnya, terdapat lebih 20 buah hospital kerajaan di negara ini yang menyediakan rawatan mental (klik sini untuk lihat senarai hospital). Malah, bayaran yang dikenakan juga cukup berpatutan iaitu cuma RM30 untuk sesi pertama berjumpa pakar dan RM5 untuk sesi seterusnya.

Tapi, sebelum mendapat rawatan di hospital kerajaan – anda perlu dapatkan dulu surat rujukan dari klinik kesihatan (RM1 saja). Selepas itu, barulah anda boleh buat temu janji bersama pakar psikiatri dan memulakan rawatan.

2. Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)

PPUM antara tempat yang menjadi utama dalam usaha merawat masalah ini. Gambar dari Malaysiakini.

Kalau rasa tak mahu pergi ke hospital kerajaan, anda boleh juga pergi ke Klinik Psikiatri, PPUM yang terletak di Petaling Jaya, Selangor. Untuk mendapatkan rawatan di sini, anda tidak perlukan surat rujukan, sebaliknya boleh terus walk-in.

Dimaklumkan juga bahawa rawatan di sini mengambil kos RM30 untuk pendaftaran kali pertama dan RM15 untuk sesi seterusnya. Bagaimanapun, kos ubatan adalah berbeza dan bergantung kepada jenis ubat yang anda ambil. Boleh hubungi talian: +603 7841 4000 untuk maklumat lanjut.

3. Pusat Komuniti Kesihatan Mental (MENTARI)

MENTARI menyediakan saringan, diagnosis, rawatan dan pemulihan. Gambar dari @BefriendersKL.

MENTARI adalah pusat rawatan yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan menerusi jabatan mental dan psikiatri hospital awam sejak tahun 2011 lagi. Di sini, anda boleh menjalani saringan kesihatan mental dan akan diberikan temujanji dengan pakar sekiranya perlu. Setakat ini, terdapat 25 buah pusat MENTARI di seluruh negara yang bersedia membantu sesiapa saja yang memerlukan.

Pusat ini juga memberikan fokus dalam:

  1. Menyediakan rawatan, intervensi psikososial (kaunseling, terapi, pendidikan)
  2. Hapuskan stigma, diskriminasi terhadap pesakit mental
  3. Penempatan dan Sokongan Pekerjaan Individu (IPS-SE)
  4. Rawatan komuniti, kumpulan sokongan untuk pesakit dan penjaga

Kepada sesiapa yang ingin tahu lebih lanjut, boleh layari laman Facebook MENTARI Selayang atau hubungi pusat-pusat MENTARI seperti berikut:

Klik gambar atau klik sini untuk lihat lebih jelas.

4. Pusat Kaunseling Selangor (PKS)

PKS adalah pusat perkhidmatan sosial yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri Selangor. Gambar dari PKS.

Kepada rakyat atau yang tinggal di negeri Selangor, anda juga boleh mendapatkan kaunseling secara percuma di PKS. Pada asasnya, pusat ini memberikan penumpuan kepada:

  1. Kaunseling Keluarga/Rumahtangga/Perkahwinan/Pra-Perkahwinan
  2. Kaunseling Kerjaya/Akademik
  3. Kaunseling Kelompok
  4. Kaunseling Trauma
  5. Inventori Psikologi
  6. Rawatan Hipnoterapi
  7. Perkhidmatan Maklumat  Dan Sebagainya
  8. Ujian-Ujian Psikologi

Pusat ini juga tidak memerlukan anda datang dengan surat rujukan, sebaliknya boleh saja walk-in untuk dapatkan bantuan yang diperlukan. Anda juga boleh membuat temujanji di Sistem e-Psy yang disediakan.

5. RELATE Malaysia

Boleh hubungi RELATE seperti yang tertera di atas. Gambar dari RELATE Malaysia.

Jika anda ni seorang yang sukar keluar rumah atau rasa anxiety, RELATE adalah antara tempat yang anda boleh dapatkan rawatan. Ini kerana, RELATE menyediakan rawatan secara atas talian atau panggilan video dengan pakar. Antara rawatan yang anda boleh dapat adalah saringan depresi, saringan anxiety dan sesi terapi.

“Kami bangga menggunakan alat diagnostik dan kemajuan rawatan terbaik di lapangan untuk memastikan kami melakukan yang terbaik untuk membantu anda dalam perjalanan pemulihan anda.” – RELATE Malaysia.

6. Befrienders

Jika anda perlukan tempat meluahkan perasaan, call saja talian di atas. Gambar dari @BefriendersKL.

Befrienders pula adalah organisasi bukan kerajaan yang memberikan sokongan emosi kepada sesiapa saja yang kesepian, resah, rasa putus atau terfikir untuk membunuh diri selama 24 jam sehari dan 7 hari seminggu. Caranya mudah saja iaitu dengan menghubungi talian yang disediakan dan bercakaplah dengan Besfrienders untuk menenangkan diri anda.

Selain itu, Besfrienders juga menyediakan perkhidmatan bersemuka, yang boleh dibuat melalui temujanji terlebih dahulu. Apa yang pasti, segala perkhidmatan yang disediakan oleh Befrienders adalah percuma.

Jangan berlengah, dapatkan rawatan dengan segera

Sokongan orang sekeliling juga penting. Gambar dari BrightQuest.

Antara punca utama seseorang pesakit melakukan perkara di luar kewarasan adalah kerana lambat menerima rawatan dan mengenal pasti masalah yang dihadapi. Sebenarnya, anda boleh saja mengenal pasti keadaan mental diri melalui ujian Depression Anxiety Stress Scale (DASS). Melalui ujian ini, anda dapat mengenalpasti simptom dan sebagai indikator awal sama ada anda memerlukan rawatan kesihatan mental atau tidak.

Selain itu, sudah semestinya anda boleh saja membuat saringan di saluran-saluran yang disediakan seperti di atas. Tapi semua ini perlu datang dengan kesungguhan dan sokongan orang sekeliling. Oleh itu, jika anda mengalami sesuatu yang tidak kena, atau mengenali mereka yang menghidapi masalah ini – jangan segan silu untuk mendapatkan rawatan awal.

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *