Masuk hospital 2 minggu. Kisah Yasin Sulaiman bergelut dengan bipolar disorder

Dalam industri muzik Tanah Air, nama Yasin Sulaiman sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Memulakan kerjaya seni sebagai salah seorang ahli terawal kumpulan Brothers pada 1995, Yasin kemudiannya bergerak solo dan mula terkenal dengan lagu Mimpi Laila dan Salsabila. Tapi mungkin ramai tidak menyangka yang Yasin pernah dirawat di wad psikiatri selama dua minggu akibat mengalami Bipolar Disorder atau Gangguan Bipolar.
Gangguan Bipolar atau dulunya dipanggil sebagai ‘manic depression’ ini adalah sejenis penyakit yang melibatkan kecelaruan emosi yang cukup ketara. Ini kerana, seseorang yang menghidapi gangguan ini akan mengalami episod kemurungan dan episod gembira melampau dalam masa-masa tertentu. Dan inilah yang dihadapi oleh Yasin.
Tak boleh tidur selama 2 minggu dan diri menjadi hyperaktif

Berkongsi kisahnya bersama BERITAmediacorp, Yasin mendakwa ketika beliau menghadapi ganguan berkenaan, ada kalanya beliau tidak boleh tidur selama dua minggu kerana dirinya yang bersifat manic, hyperaktif dan minda celaru. Katanya, ketika itu – beliau agak sukar untuk sedar tentang masalah apa yang dihadapinya, kerana dirinya banyak berkhayal, tidak sedar apa yang jadi di sekeliling dan merapu.
“Dalam keadaan itu saya tak berapa waras, memang tak boleh buat keputusan, bercelaru, bercakap laju, bertukar-tukar topik.” – Katanya, dipetik dari BERITAmediacorp.
Menurut Yasin, antara punca yang menyebabkan beliau mengalami masalah Gangguan Bipolar adalah apabila beliau terlalu taksub dengan masalah dunia dan rakan-rakan sehingga membuatkannya terlalu obses memikirkan penyelesaian masalah itu. Bagaimanapun, tekanan itu berlaku secara perlahan dan bukannya secara drastik. Walaupun begitu, ia kadang-kadang boleh berlanjutan sehingga ke dua minggu lamanya.

Keadaan Yasin ini kemudiannya disedari oleh isterinya, yang seterusnya membuatkan Yasin berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Ketika itulah beliau disahkan menghidapi Gangguan Bipolar dan memerlukan rawatan lanjut. Malah, ada sampai ke satu keadaan di mana beliau dimasukkan ke wad psikiatri dan diasingkan. Yasin juga pernah diikat kerana dirinya yang tidak boleh duduk diam, tidak mahu rehat dan tidak boleh tidur. Pihak hospital selepas itu memberikannya ubat untuk menenangkan diri dan tidur.
Selepas keluar dari hospital, Yasin diberikan ‘mood stabilizer’ untuk seketika dan kemudiannya hanya berjumpa doktor untuk mendapatkan ubat yang ditetapkan. Apa yang pasti, gangguan itu telah menjejaskan kerjayanya sebagai penyanyi dan komposer.
“Peka dengan keadaan sekeliling kita” – Yasin

Mengulas tentang pengalamannya itu, Yasin berkata adalah sangat mustahak untuk kita semua sedar dengan persekitaran kita, khususnya jika ada di antara orang terdekat yang mengalami simptom tekanan emosi. Sudah tiba juga masanya untuk kita mengetahui dengan lebih mendalam isu penyakit mental, yang sebelum ini kurang mendapat perhatian masyarakat.
“Kalau kita ambil berat dengan orang yang ada isu mental. sebab sebenarnya ia dialami oleh segenap lapisan masyarakat. Cuma mungkin ada isu berlainan, tekanan pun adalah isu mental, ada orang ada anxiety.” – Katanya, dipetik dari BERITAmediacorp.
Apa yang pernah dihadapi oleh Yasin ini sebenarnya bukanlah asing di kalangan masyarakat dan ia boleh saja dirawat jika dikesan dengan awal. Oleh itu, jika anda mengalami sebarang simptom gangguan mental, jangan malu dan segan untuk mendapatkan rawatan. Tatacara rawatan boleh didapati di sini.