Kenapa orang lebih suka salahkan mangsa rogol berbanding perogol? Ini puncanya

Kehidupan di dunia ini indah dan penuh warna-warni. Namun, langit tidak akan selalu cerah bagi kita seorang manusia. Jenayah yang berlaku pada orang lain, mungkin berlaku ke atas diri kita. Orang yang kita sangka baik, mungkin akan terjebak melakukan jenayah yang kita tak sangka-sangka.
Situasi ini juga yang kita sedang hadapi apabila seorang ustaz selebriti, Da’i Syed direman beberapa hari oleh pihak polis kerana terdapat beberapa laporan yang mendakwa diri mereka sebagai mangsa rogolnya. Namun, dalam kita mengikuti kes ini, ada segelintir antara kita yang mula menyalahkan mangsa rogol yang membuat laporan sebagai punca kejadian ini berlaku. Contohnya seperti, “Kenapa ikut balik rumah?” atau “Kenapa tak lawan?”
Ini menyebabkan kita tertanya-tanya, kenapa ramai yang sering menyalahkan mangsa berbanding pelaku dalam sesetengah kejadian? Atas sebab-sebab ini, penting untuk memahami tentang psikologi di sebalik sikap suka menyalahkan mangsa agar ia dapat membantu kita mengelak daripada melakukannya.
Pemikiran menyalahkan mangsa muncul kerana cara kita berfikir

Menyalahkan mangsa (victim blaming) boleh terjadi dalam pelbagai cara, dan seringkali ia nampak halus sampai kita tak sedar. Ia biasa berlaku dalam kes-kes rogol dan serangan seksual. Tak semua orang menyalahkan mangsa secara berlebih-lebihan seperti menyalahkan mangsa yang gagal elak jenayah rogol. Dalam kalangan kita, ada yang menyalahkan mangsa dengan cara lebih halus iaitu apabila mendengar jenayah rogol, kita akan berfikir bahawa diri kita akan lebih berhati-hati jika berada dalam situasi yang dihadapi mangsa.
Ahli psikologi Universiti Massachusetts, Ronnie Janoff-Bulman mengatakan bahawa kebanyakan kita percaya bahawa dunia ini pada dasarnya baik, perkara baik terjadi pada orang baik, dan kita pula adalah orang baik. Dengan kata lain, kita percaya bahawa dunia umumnya adalah tempat yang adil dan saksama.
Keperluan kita untuk mempertahankan kepercayaan bahawa dunia ini adil mungkin salah kerana ia cenderung membawa kita menyalahkan mangsa jenayah. Apabila perkara buruk berlaku pada seseorang yang kelihatan seperti kita, ia mengancam kepercayaan kita bahawa dunia adalah tempat yang adil.
Maka, sekiranya orang itu boleh menjadi mangsa rogol, keganasan, rompakan, atau serangan, mungkin kita juga boleh. Oleh itu, untuk menenangkan diri kita dalam menghadapi maklumat atau kejadian yang menyusahkan ini dan mempertahankan pandangan bahawa dunia adalah adil, kita secara psikologinya akan memisahkan diri daripada mangsa atau dalam erti kata lain menyalahkan mangsa.
“Mangsa serangan seksual mungkin memakai pakaian yang menjolok mata. Mungkin mangsa yang ditembak itu terlibat dalam aktiviti gengster. Mungkin jiran saya telah mengundang pencuri itu dengan bergaul dengan orang yang salah. Sekiranya ini berlaku, kita memberitahu diri kita sendiri, maka itu tidak akan terjadi pada saya. Lagipun, dunia adalah tempat yang adil.” – Melvin Lerner, ahli psikologi
Tambahan pula, banyak orang cenderung kepada pemikiran dan tingkah laku untuk menyalahkan mangsa sebagai cara mempertahankan diri ketika berhadapan dengan berita buruk.
Menyalahkan mangsa jenayah bukanlah sesuatu yang patut kita banggakan
Sudah tentu, kecenderungan kita untuk menyalahkan mangsa bukanlah sesuatu yang patut kita banggakan. Ini akan menyebabkan mangsa rasa terpinggir, melupakan tindakan jenayah dan menimbulkan rasa takut kepada mangsa untuk tampil dan membuat laporan.
Lain kali, jika kita ada rasa nak menyalahkan mangsa dalam kejadian seperti rogol dan serangan seksual, elok tanya pada diri sendiri dulu: Bagaimana perasaan aku berada di tempat orang itu? Hanya dengan rasa empati dan bukannya menyalahkan orang, kita dapat benar-benar mewujudkan dunia yang adil.
Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat