Sering ditanya tentang zuriat. Ini rahsia Mizz Nina kekal positif dan bahagia

Sering ditanya tentang zuriat. Ini rahsia Mizz Nina kekal positif dan bahagia

Nama Mizz Nina tetap popular walaupun tidak lagi berada dalam industri seni. Dikenali sebagai ikon kemanusiaan, kini beliau muncul kemabli dengan pelancaran aplikasi Islamik bernama Qalby App. Aplikasi ini menyediakan ciri-ciri seperti e-Journal, waktu solat, bacaan al-Quran, arah kiblat, koleksi doa, video ilmiah dan banyak lagi.

Sejak dilancarkan, aplikasi ini telah dimuat turun sebanyak 10,000 kali dan ramai pengguna memberi komen positif. Aplikasi ini berimpian juga untuk menggantikan aplikasi Muslim Pro. Pencapaian Mizz Nina dalam banyak perkara tidak boleh dinafikan lagi. Pasti ramai tertanya bagaimana beliau boleh kekal positif walaupun berdepan dengan cabaran ketiadaan zuriat sehingga sekarang. Sekurang-kurangnya ia boleh membantu mereka di luar sana yang mungkin berdepan situasi yang sama.

“Walaupun kita tak faham, kadang-kadang apa yang kita nak tak semestinya terbaik untuk kita”

Mizz Nina dan Noh Salleh menjadi ikon ramai orang. Imej dari Roti Kaya

Jika dikira sekarang, Mizz Nina dan Noh Salleh telah pun mendirikan rumah tangga lebih kurang 10 tahun. Usahanya untuk mendapatkan zuriat tidak pernah terhenti. Segala ikhtiar telah dibuat termasuklah rawatan pensenyawaan in-vitro IVF. Namun, masih lagi belum berhasil dan kita lihat Mizz Nina masih kekal positif dan bahagia.

Semestinya soalan-soalan yang sensitif terhadap pasangan mengenai bila akan dapat zuriat sering ditanya. Bagi sesetengah pasangan, soalan ini pasti memberi tekanan dan menimbulkan rasa sedih pada diri mereka. Ini berbeza dengan cara Mizz Nina menguruskan hal ini. Salah satunya dari sudut spiritual yang positif.

“Saya percaya Allah itu perancang terbaik dalam hidup kita. Dia paling tahu apa yang terbaik untuk kita. Walaupun kita tak faham, kadang kadang apa yang kita nak tak semestinya terbaik untuk kita. Serahkan padaNya. Kalau Dia mahu kurniakan sesuatu kepada saya, Alhamdulillah. Jika bukan rezeki… saya reda.

Saya tak mahu terlalu memikirkan soal ini hingga menjadi tekanan dan beban. Setiap manusia di muka bumi ini ada ujian dan cabaran tersendiri. Sama saja… sama ada kita ada anak, hidup solo atau sudah berkahwin, ia bukan jaminan yang hidup kita akan jadi lebih baik daripada sebelumnya.” – Mizz Nina, petikan dari Berita Harian

Apa yang menarik, Mizz Nina ini sentiasa memikirkan hikmah di sebalik ujian yang diberinya. Disebabkan itulah dia banyak memberi fokus kepada kerja-kerja lain termasuk kerja kemanusiaan. Kita pun tahu dia sangat aktif dengan misi kemanusiaan di negara Syria dan Palestin. Selain aktif mengacara program-program Islamik dan menyambung pelajaran secara atas talian di sebuah universiti.

Suka melayan kucing umpama terapi yang cukup menenangkan jiwa

Mizz Nina kekal senyum. Imej dari Says

Jika anda merupakan pengikut Mizz Nina di Instagram, pasti sering terlihat dia berkongsi gambar dan video kucing peliharaannya. Kucing-kucing kesayangannya diberi nama Nino, Noni, Neya, Neyo dan Neye. Bagi Mizz Nina, kehadiran anak kucing ini umpama penyeri kepada keluarga kecilnya dengan Noh Salleh.

“Dulu, saya tak pernah memelihara kucing. Sebenarnya, sebab utama saya bela kucing adalah kerana aksi seekor kucing yang terkenal di laman Instagram iaitu Roku the Cat.

Jadi kebetulan saya ada seekor kucing yang mirip Roku the Cat. Memang saya suka melayan kucing. Ia umpama terapi yang cukup menenangkan jiwa. Malah saya tak kisah luangkan masa beberapa minit dengan kucing setiap hari. Pendek kata, kucing ini seperti sebahagian keluarga kami. Sudah macam ‘anak’ saya.” – Mizz Nina, petikan dari Berita Harian

Ini terbukti bahawa setiap orang perlu mempunyai hobi tersendiri agar kekal positif. Kami dari Kita Sihat berharap suatu hari nanti Mizz Nina dan pasangan akan memperoleh cahaya mata. Untuk mereka yang berdepan situasi yang sama, kekal positif dari sudut spiritual, fizikal dan mental agar terus bahagia.

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *