Minum teh sambil bantu rawat kitaran haid. Tambah bunga biru berkhasiat ini

Sebelum cerita pasal teh, pernah terfikir kenapa nasi kerabu berwarna biru?  Bagi mereka yang jarang masuk dapur ni cuba tepuk dada, dari mana asalnya warna biru nasi kerabu tu? Jawapannya, warna biru tersebut datangnya dari warna bunga telang. Bukan setakat nasi kerabu, malah kuih-muih baba nyonya macam pulut tai tai pun menggunakan sedikit warna bunga ni ke dalam pulut mereka.

Khasiat bunga telang yang digunakan dalam masakan

Bunga bukan sekuntum. Imej dari Mingguan Wanita

Bunga telang, atau nama Inggerisnya Butterfly Pea, Asian pigeonwings dengan nama saintifiknya Clitoria ternatea. Bagi anda yang tak pernah nampak rupa bunga telang tu macam mana, ia mempunyai bentuk seperti organ luaran seksual wanita. Dan sebab tu jugalah namanya diambil dari bahasa latin, ‘Clitoria’, yang bermaksud ‘clitoris’ (bahagian pada organ seksual wanita).

Selain itu, tumbuhan ini digunakan secara tradisional untuk menyembuhkan penyakit seksual seperti ketidaksuburan, membetulkan kitaran haid, dan juga membantu pengeluaran sperma, seperti yang dicatatkan dalam sebuah kepercayaan kuno melalui konsep yang dinamakan Doctrine of Signatures, (Fantz,1991).

Tapi bukan masalah kesuburan dan seksual semata-mata, dalam perubatan tradisional pula, tumbuhan ini juga dapat membantu  pelbagai masalah kesihatan dalaman yang lain seperti:

  • Sistem saraf – mempunyai kesan menenangkan saraf, di mana bunga telang memiliki kesan positif terhadap sistem saraf tunjang dalam melawan stres, depresi, kebimbangan di samping membantu menambah baik tingkah laku kognitif (psikoterapi). Malah, dari segi sejarah, penggunaan bunga ini yang paling popular adalah untuk menggalakkan memori dan kecerdasan. Bunga ini sering digunakan dalam amalan tradisional melalui campuran yang disebut “Medhya Rasayana” yang dianggap merawat gangguan neurologi dan akal.
  • Sistem pencernaan – ia mampu menjadi ubat hipolipidemik, analgesik, anti parasit pada saluran pencernaan/gastro-intestinal, anti kanser, anti diabetes, dan mampu mengurangkan keradangan.
  • Sistem peredaran darah – merupakan haemostatic yang membantu menghentikan pendarahan dan pembersih darah. Para saintis menyatakan bahawa kadar gula dalam darah yang diturunkan berlaku kerana ekstrak bunga ini menghalang aktiviti dua jenis gula iaitu β-galactosidase dan α-glucosidase.
  • Sistem pernafasan – bertindak sebagai ekspektoran untuk mengurangkan kerengsaan organ pernafasan.
  • Sistem urin – membantu masalah sukar kencing, atau kencing tak lawas.
  • Sistem integumentari – meningkatkan pengeluaran kolagen dan mengekalkan keanjalan kulit.

Manakala kegunaan luaran pula boleh digunakan untuk rambut, di mana warna biru indigo pada bunga telang ini juga sebenarnya merupakan petanda bahawa tumbuhan ini mengandungi anthocyanin yang biasa dijumpai pada tumbuh-tumbuhan berwarna berpigmen biru dan ungu. Kandungan anthocyanin ni juga yang berperanan dalam mempromosikan pertumbuhan rambut yang optimum. Kompaun ini juga dikatakan sangat berguna untuk memulihkan kolagen dalam kulit supaya ia sihat dan bersinar.

Jadi, tak hairanlah yang bunga ini juga sering dijadikan ramuan dalam produk syampu dan pelembap rambut disebabkan sifat-sifat yang menyuburkan folikel rambut, menggalakkan pertumbuhan rambut, mencegah rambut kusam dan mengurangkan keguguran rambut.

Jadi terbukti bunga telang ini banyak khasiatnya. Bagi yang tiada masa untuk memasak nasi kerabu untuk memanfaatkan khasiat bunga telang. Apa kata cuba resipi yang lebih mudah dengan membuat TEH BUNGA TELANG.

Bahan-bahan:

Assyik teh tarik je kan. Imej dari Bidadari
  • 5 kuntum bunga telang
  • Segelas air panas
  • Sepotong lemon
  • Madu, kalau suka

Cara penyediaan:

  • Rendam 5 bunga telang di dalam segelas air panas selama 15 minit
  • Keluarkan bunga dari cawan apabila tiada warna yang tinggal di kelopak
  • Teh bunga telang biasanya ditambah dengan serai untuk meningkatkan rasa
  • Teh ini juga boleh dicampur dengan beberapa titis air perahan lemon untuk menghasilkan rasa masam yang manis

Jadi tunggu apa lagi? Mulalah tanam pokok ni dan nikmati khasiat yang ada kat sekeliling rumah anda je!

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

Share on facebook
Facebook
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
KITASIHAT

Artikel Berkaitan