Faye Kusairi kongsi video lumpuh sebelah muka. Ini punca-punca sakit Bell’s Palsy

Faye Kusairi kongsi video lumpuh sebelah muka. Ini punca-punca sakit Bell’s Palsy

Kecantikan sering dikaitkan dengan muka seseorang. Kebanyakan kita juga memberi tumpuan yang lebih kepada muka dengan mencuci muka dengan kerap serta berhati-hati dalam memilih bahan yang ingin dipakai. Kecantikan muka juga berkait rapat dengan kesihatan muka seseorang sama ada pada kulit, mata, mulut, hidung dan lain-lain.

Seseorang juga boleh terkena penyakit tertentu berkaitan muka yang agak teruk. Seperti video dikongsikan oleh seorang pelakon, Faye Kusairi yang mengalami lumpuh sebelah muka. Ujian sakit ini diterimanya dengan hati terbuka dan sedang mendapatkan rawatan dari pihak hospital. Tak kita sangka, ramai juga netizen yang menghubungi Faye Kusairi untuk mendapatkan nasihat kerana mereka juga mengalami penyakit yang sama.

Bangun sahaja dari tidur mereka mendapati sebelah muka tidak lagi berfungsi

Faye Kusairi berkongsi tips positif di videonya. Imej dari Roti Kaya

“Bell’s Palsy adalah keadaan di mana otot-otot pada satu sisi muka anda menjadi lemah atau lumpuh. Ia hanya mempengaruhi satu bahagian muka pada satu masa, menyebabkan ia terkulai atau menjadi kaku pada bahagian itu.” – Petikan dari WebMD

Kalau diringkaskan, penyakit ini menyebabkan bahagian sebelah muka kita akan lumpuh dan tidak boleh bergerak. Keadaan ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tak kira lelaki atau perempuan. Biasanya ia berlaku kepada mereka yang berumur antara 10 hingga 40 tahun.

Penyakit Bell’s Palsy juga menyerang seseorang itu bila-bila masa sahaja. Untuk sesetengah pesakit, bangun sahaja dari tidur mereka mendapati sebelah muka tidak lagi berfungsi walaupun tiada tanda-tanda kelihatan pada waktu malam sebelum tidur. Dalam sebahagian kes yang lain, mereka akan merasa sakit belakang telinga sebelum mengalami rasa lemah pada otot muka. Selain itu, seseorang pesakit juga boleh mendengar bunyi terlalu kuat beberapa hari dan tidak selesa sebelum terkena penyakit ini.

Sebaik sahaja ia berlaku, ia akan menjadi lebih teruk dalam 48 hingga 72 jam berikutnya. Mungkin ramai antara kita akan risau terkena strok jika berhadapan Bell’s Palsy. Berkemungkinan anda tidak terkena strok. Ini disebabkan strok bukan sahaja melumpuhkan hanya muka, malah bahagian pada tubuh badan anda yang lain.

Namun begitu, punca utama penyakit ini belum diketahui setepatnya. Cumanya pakar kesihatan berpendapat jangkitan virus juga boleh berperanan dalam perkembangan Bell’s palsy. Ini senarai virus yang menjadi punca:

  • Herpes simplex 1
  • Adenovirus (keadaan pernafasan)
  • Coxsackievirus (penyakit kaki-tangan-mulut)
  • Cytomegalovirus
  • Epstein-Barr (mononukleosis berjangkit)
  • Herpes zoster (cacar air dan kayap)
  • Influenza B (selesema)
  • Beguk
  • Rubella (demam campak Jerman)

Majoriti pesakit pulih dalam tempoh 2-3 bulan

Perbezaan senum. Imej dari The Shonet

Terdapat beberapa kumpulan yang berisiko tinggi terkena Bell’s Palsy ini iaitu golongan ibu mengandung, terutamanya pada trimester ketiga, atau yang berada pada minggu pertama setelah melahirkan, golongan yang mengalami jangkitan pernafasan bahagian atas badan, seperti selesema atau selsema serta golongan menghidap diabetes. Walaupun begitu, berita baiknya adalah majoriti pesakit pulih dalam tempoh 2-3 bulan.

“Bagi kebanyakan orang fungsi saraf pulih secara beransur-ansur. Tanda-tanda akan mula beransur pulih kira-kira 2-3 minggu, dan biasanya hilang dalam masa dua bulan. Dalam beberapa kes, ia boleh mengambil masa sehingga dua belas bulan untuk pulih sepenuhnya.” – Petikan dari MyHealth

Jika anda diserang penyakit ini, jalan terbaik adalah bertemu doktor atau ahli fisioterapi. Mereka akan melakukan pemeriksaan pendengaran dan stabiliti. Semua pemeriksaan ini membantu menjelaskan diagnosis dan boleh membantu meramalkan tahap pemulihan anda. Seterusnya, ahli fisioterapi anda akan mengajar senaman muka yang akan menguatkan otot di muka untuk meningkatkan kemahiran kordinasi.

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *