Dato’ Siti bersalin anak kedua. Ini cabaran-cabaran dirasai mereka yang hamil kali kedua

Sekalung tahniah diucapkan buat penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang dilaporkan selamat melahirkan anak kedua di sebuah pusat perubatan di Selangor jam 6.12 pagi tadi.
Perkhabaran gembira tu dimaklumkan oleh Siti Nurhaliza Production dalam satu kenyataan. Difahamkan, bayi lelaki seberat 3.84 Kilogram itu dilahirkan menerusi kaedah pembedahan.
Sebelum ini, beliau juga mengatakan bahawa hamil ketika berusia 41 tahun agak mencabar untuk dirinya. Secara umumnya, ramai antara kita akan beranggapan bahawa hamil kali kedua ini kurang mencabar kerana telah mempunyai pengalaman sebelum ini.
Namun, hakikatnya ia mempunyai cabaran-cabaran dari sudut kesihatan yang tersendiri. Oleh itu, sama ada suami atau isteri, kita mesti peka dan ambil tahu hal ini sebagai persediaan jika berlaku kehamilan kali kedua.
Cabaran-cabaran kesihatan yang mungkin seseorang hadapi ketika hamil kali kedua

Semasa kehamilan kali kedua anda, badan anda telah belajar untuk menangani semua cabaran kehamilan, jadi beberapa perkara mungkin berbeza. Begitulah, sama ada ia akan lebih mudah ditangani, mungkin itu cerita lain.
Gejala yang anda ingat dari kehamilan pertama anda, nampaknya semakin kuat ketika kali kedua. Anda mungkin hanya merasa loya semasa mengandung kali pertama, tetapi sekarang anda mungkin akan terus berlari ke bilik air untuk muntah dek kerana terbau sedikit bau aroma tertentu.
Anda mungkin akan “merasa” hamil lebih awal juga. Kebanyakan mereka yang hamil kali kedua lebih sesuai dengan gejala awal kehamilan dan lebih cenderung untuk mengenalinya.
Walaupun begitu, gejala itu sendiri mungkin berbeza-beza dari sebelum ini – anda mungkin mengalami sedikit atau lebih kerap morning sickness atau masalah perut lain, atau sama ada kurang atau kerap membuang air kecil.
Selain itu, kelembutan dan berat payudara yang anda rasakan semasa kehamilan pertama, mungkin tidak anda rasa kali ini. Oleh kerana badan anda telah bersedia untuk menyusukan sekali sebelumnya, anda mungkin mengalami sedikit perubahan pada payudara anda.
Begitu juga, kemunculan baby bump lebih awal tidak seperti pada kehamilan kali pertama.
“Kerana otot perut dan rahim anda meregang semasa kehamilan pertama anda, ia pasti akan semakin longgar kali ini. Ini bermakna ia tidak memegang sesuatu dengan kuat – jadi benjolan anda kemungkinan akan “muncul” lebih awal daripada yang pertama.” – Petikan dari What To Expect
Namun, apa yang perlu diperhatikan juga bahawa anda akan mengalami lebih sakit belakang. Ini kerana Relaxin, iaitu salah satu hormon yang dihasilkan oleh ovari dan plasenta anda, mempunyai banyak tugas untuk dilakukan.
Ini termasuk mengendurkan ligamen di pelvis dan melembutkan dan melebarkan serviks. Dengan ligamen yang lebih longgar, anda mungkin mengalami lebih banyak sakit belakang.
Beberapa petua umum yang boleh dilakukan ketika hamil kali kedua

Hamil kali kedua bermakna, ibu bapa juga perlu menjaga anak pertama. Maka, persediaan dan perancangan yang rapi adalah sangat penting agar anda kekal sihat dan cergas. Berikut adalah beberapa petua umum dari portal kesihatan Healthline, untuk rawatan diri semasa kehamilan kedua anda.
- Luangkan masa untuk berehat. Sekiranya tidur tengah hari sukar untuk dicari masanya, cubalah tidur sejam lebih awal pada waktu malam.
- Makan dengan baik dan banyakkan minum air.
- Ikuti jadual temujanji kesihatan anda (prenatal visit). Menjaga diri bermakna anda dapat menjaga anak-anak anda dengan lebih baik.
- Dokumentasikan kehamilan anda. Ini adalah suatu perjalanan yang anda mahu ingati kerana kemudian hari anda akan menjadi lebih sibuk.
- Jangan lupa lakukan temujanji malam (date night) dengan pasangan anda. Anda berdua akan mendapat manfaat daripada mengingatkan diri anda tentang matlamat bersama anda.
- Selesaikan satu persatu aktiviti dengan anak pertama anda sehingga dia dapat memperoleh perhatian dan kasih sayang yang mereka perlukan.
Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat