Negara kita telah menempah awal 12.8 juta dos vaksin dari syarikat ini. Ini sebabnya…

Negara kita telah menempah awal 12.8 juta dos vaksin dari syarikat ini. Ini sebabnya…

Penemuan dan pembangunan vaksin Covid-19 masih lagi diteruskan di seluruh dunia. Beberapa negara telah mengakui bahawa vaksin yang mereka bangunkan sudah bersedia untuk digunakan. Negara-negara kuasa besar yang rancak membangunkan vaksin termasuklah Amerika Syarikat, China dan Rusia.

Untuk Malaysia, kerajaan telah pun membuat tempahan vaksin dari Pfizer yang merupakan syarikat farmaseutikal yang bertapak di US. Vaksin yang ditempah ini dijangka diterima pada suku pertama tahun 2021. Jumlah tempahan adalah sebanyak 12.8 juta dos yang bakal memberi manfaat kepada 20% atau 6.4 juta rakyat Malaysia.

Persoalannya, kenapa kerajaan memilih vaksin Covid-19 dari syarikat Pfizer, tapi bukan dari China, Rusia atau syarikat lain?

Sebab-sebab kerajaan tempah vaksin dari Pfizer

Rupa bentuk vaksin yang sudah ada. Imej dari NST

Menurut Khairy Jamaluddin, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di bawah Kementerian Kesihatan telah menerima data klinikal dari Pfizer mengenai vaksin Covid-19. Keputusan untuk menggunakan vaksin Pfizer terletak pada NPRA dan Kementerian Kesihatan, yang perlu mendaftar dan menyetujui vaksin tersebut. Vaksin ini dipilih atas beberapa sebab seperti berikut:

  • Ia dipilih berdasarkan laporan klinikal sementara yang diterbitkan dalam The New England Journal of Medicine, yang menunjukkan bahawa vaksin ini mempunyai kadar keberkesanan 95% dalam mencegah jangkitan Covid-19.
  • Kerajaan telah memperoleh akses data untuk melihat kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin.
  • Vaksin ini juga telah mendapat Kebenaran Penggunaan Kecemasan dari tujuh negara termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, Bahrain, Kanada, Arab Saudi, Mexico dan Singapura.

Namun begitu, calon-calon vaksin dari syarikat dan negara lain masih berada dalam penilitian pihak kerajaan yang kebanyakan berada dalam fasa ketiga ujian klinikal.

Tempahan vaksin dari Pfizer agak banyak dari seluruh dunia

Program vaksin di UK telah dimulakan. Imej dari detikNews

Di UK, seramai lebih 130,000 orang telah disuntik dos pertama vaksin Pfizer/Biontech pada 8 hingga 15 Disember 2020. Program suntikan vaksin ini akan diteruskan untuk diberikan kepada golongan sasaran. Bagi pihak Kesatuan Eropah (EU), akan membeli lagi 100 juta dos vaksin Pfizer/Biontech. Negara-negara lain turut menempahnya dengan agak banyak. Oleh itu, pihak Pfizer memberi jaminan akan menguruskan semuanya.

“Pfizer tidak memiliki sebarang masalah terhadap penghasilan vaksin COVID-19, dan tidak ada penghantaran vaksin yang ditangguhkan atau ditunda,” – Jurucakap Pfizer, Sharon Castillo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *