Shuib dikecam buat lawak lucah? Ini kelebihan ketawa terhadap lawak positif

Shuib dikecam buat lawak lucah? Ini kelebihan ketawa terhadap lawak positif

Kehidupan seharian yang padat dengan komitmen, kerja dan hubungan sesama manusia telah menyebabkan hidup seseorang itu boleh menjadi tekanan dan stres. Di sebalik kepadatan hidup itu, kita biasanya mencari ruang untuk bergelak ketawa bagi menghilangkan kekusutan walaupun sedikit. Mungkin anda memilih untuk bergelak ketawa dengan keluarga atau rakan-rakan. Ada juga antara kita yang memilih untuk menonton rancangan TV yang bersifat lawak dan komedi. Dari situ, kita boleh merasa geli hati dan ketawa sepuas-puasnya.

Antara rancangan lawak yang mendapat perhatian ramai adalah Sepahtu Reunion yang dibintangi Jep, Shuib, Rahim dan pelawak-pelawak lain. Namun begitu, salah seorang pelawak dari rancangan tersebut iaitu Shuib, telah pun dikecam hebat kerana memaparkan lawak keterlaluan serta dianggap lucah oleh ramai pihak.

Isu ini sebenarnya menunjukkan betapa pentingnya lawak berkualiti dalam kehidupan seharian kita. Walaupun jarang diketengahkan, gelaknya seseorang itu mempunyai banyak kelebihan dari sudut kesihatan.

Berfikiran positif dapat melepaskan neuropeptida yang membantu melawan tekanan dan penyakit

Apalah yang digelaknya tu? Imej dari Depositphotos

“Ketawa yang baik mempunyai kesan jangka pendek. Apabila anda mula ketawa, ia bukan hanya meringankan bebanan anda secara mental, tetapi juga mendorong perubahan fizikal dalam badan anda.” – Petikan dari Mayo Clinic

Ketawa telah terbukti bukan sahaja memberikan kebaikan secara mental, tetapi juga fizikal. Antara kelebihan ketawa kepada fizikal yang ramai tak tahu ialah seperti berikut:

  • Merangsang banyak organ. Ketawa meningkatkan pengambilan udara yang kaya dengan oksigen, merangsang jantung, paru-paru dan otot, dan meningkatkan endorfin yang dilepaskan oleh otak anda.
  • Mengaktifkan dan melegakan tindak balas tekanan anda. Ketawa yang berdekah-dekah berlaku dan kemudian menenangkan tindak balas tekanan anda, dan ia dapat meningkatkan dan kemudian menurunkan kadar jantung serta tekanan darah anda. Kemudiannya, anda merasa tenang dan santai.
  • Menenangkan tekanan. Ketawa juga dapat merangsang peredaran dan membantu kelonggaran otot, yang mana kedua-duanya dapat membantu mengurangkan beberapa gejala tekanan fizikal.

Ketiga-tiga kelebihan yang disebut di atas adalah kelebihan jangka pendek ketawa kepada fizikal seseorang. Bukan setakat itu sahaja, ketawa mempunyai kelebihan jangka panjang yang sangat berguna. Antara kelebihannya adalah:

  • Meningkatkan sistem ketahanan tubuh anda (sistem imun). Fikiran negatif yang muncul akan diterjemahkan menjadi reaksi kimia yang boleh mempengaruhi tubuh anda dengan membawa lebih banyak tekanan ke dalam sistem anda dan mengurangkan imuniti anda. Sebaliknya, pemikiran positif sebenarnya dapat melepaskan neuropeptida yang membantu melawan tekanan dan penyakit berpotensi yang lebih serius.
  • Melegakan kesakitan. Ketawa dapat meredakan kesakitan dengan menyebabkan tubuh menghasilkan ubat penahan sakit semula jadi.
  • Meningkatkan kepuasan diri. Ketawa juga dapat mempermudah menghadapi situasi yang sukar. Ia juga membantu anda berhubung dengan orang lain.
  • Meningkatkan mood anda. Ramai orang mengalami kemurungan, kadang-kadang disebabkan oleh penyakit kronik. Ketawa dapat membantu mengurangkan kemurungan dan kegelisahan anda dan boleh membuat anda merasa lebih bahagia.

Sembang-sembang dengan orang sebelah atau menonton rancangan yang bersifat komedi dan lawak

Bersendirian pun boleh ketawa. Imej dari iStock

Sekarang, kita semua sudah tahu mengenai kelebihan ketawa dari sudut kesihatan. Apa salahnya, kita mencari masa dalam kehidupan kita untuk memanfaatkan gelak dan ketawa. Sama ada melalui sembang-sembang dengan orang sebelah atau menonton rancangan yang bersifat komedi dan lawak. Tapi, kalau boleh, biarlah betul betul lawak, bukannya lawak lucah yang tak sesuai untuk tontonan keluarga.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *