Dibawa masuk sejak 40 tahun lalu. Pegawai kerajaan disogok kartel daging haram

Di Malaysia, pemakanan daging tak pernah terlepas dari pentingnya status halal daging tersebut. Oleh sebab itu, dilaporkan bahawa negara kita memiliki prosedur yang ketat dari segi kemasukan daging import. Namun begitu, isu mengenai daging import yang tidak halal menjadi tajuk utama ketika ini akibat sifat tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang membawa masuk daging import tidak halal, yang dijual ke pasaraya dan pasar awam.
Walaupun dengan prosedur yang ketat, kartel-kartel yang membawa masuk daging tidak halal ini telah berjaya menembusi pelabuhan di negara ini dengan sogokan rasuah dan pemalsuan. Beberapa kakitangan kerajaan, termasuk pegawai kanan agensi tertentu telah disogok agar daging-daging itu melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara. Malang sekali buat kita semua kerana kegiatan ini membolehkan daging tidak halal dibawa masuk ke negara ini sejak 40 tahun lalu.
“Wang ringgit dan habuan berlibur dikatakan diguna bagi merasuah pegawai terbabit sebagai dorongan ‘melepaskan’ barangan yang diimport tanpa mengikut peraturan ke pasaran negara ini.” – Petikan dari Berita Harian
Perkara ini amat menyedihkan kerana isu status daging yang halal dan bersih ini amat penting dalam kehidupan seharian kita sebagai rakyat Malaysia.
Perlu mendapat Sijil Kesihatan Veterinar oleh pihak berkuasa Veterinar, Sijil Halal oleh Badan Islam yang diperakui JAKIM

Untuk pengetahuan semua, prosedur untuk membawa daging halal import yang sah agak ketat di negara kita ini. Pengimportan secara sah ini tidak lain dan tidak bukan agar terjamin keselamatan makanan dan status halal produk berkenaan. Selain itu, kebenaran import hanya diberikan kepada syarikat yang berdaftar dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan setiap konsainan import perlu dibuktikan dengan dokumen perakuan sah oleh pihak berkuasa negara pengeksport.
“Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menjelaskan pengimportan daging secara sah perlu diperoleh dari negara dan rumah sembelih yang sudah diperiksa oleh pihaknya dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sahaja.” – petikan dari Berita Harian
Untuk menambah kefahaman kita mengenai proses mengimport daging halal masuk ke negara kita, ini beberapa prosedur umum yang perlu dilalui syarikat yang ingin mengimport daging halal dari luar negara:
- Perlu mendapat Sijil Kesihatan Veterinar oleh pihak berkuasa Veterinar, Sijil Halal oleh Badan Islam yang diperakui JAKIM
- Mendapat kelulusan permit import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
- Setiap konsainan daging yang diimport, setelah melepasi semua prosedur ditetapkan akan menjalani pemeriksaan fizikal dan verifikasi dokumen oleh MAQIS di pintu masuk sebelum diberikan pelepasan memasuki negara
Hanya daging import dari rumah-rumah sebembelih tertentu sahaja dibenarkan kerajaan

Bagi menjamin daging yang halal dan bersih, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan JAKIM akan memeriksa terlebih dahulu rumah-rumah sembelih yang dijadikan pusat sembelihan daging halal. Setakat ini, kerajaan sudah meluluskan sebanyak 28 rumah sembelih lembu termasuk dari Australia, New Zealand, Argentina, Brazil, Pakistan dan Afrika Selatan.
“Selain itu terdapat juga 11 rumah sembelih kerbau dari India dan Pakistan dengan kesemuanya sudah menjalani pemeriksaan audit oleh DVS, JAKIM dan KKM sebelum kelulusan diberikan,” – Petikan dari Berita Harian
Senarai-senarai rumah sembelihan ini boleh disemak di laman sesawang Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat