Bentuk baru virus COVID-19 ditemui di Sabah. Dikesan sebagai ‘mutasi A701B’

Siapa sangka, jumlah kes positif Covid-19 sejak pertama kali dikesan di negara kita sehingga sekarang telah mencecah lebih 100,000 kes. Walaupun setiap hari terdapat kes baru, kita boleh menarik nafas lega kerana vaksin yang berkesan sudah ditempah untuk digunakan kepada rakyat Malaysia.
Dalam kejayaan negara kita mendapatkan vaksin, jangan kita lupa bahawa Covid-19 masih berada di sekeliling kita. Tambahan pula, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah telah mengumumkan bahawa penemuan bentuk baru virus Covid-19 yang telah dikesan di Sabah melalui Kluster Benteng LD di Sabah.
Ditemui selepas 60 sampel diuji dari Kluster Benteng LD di Sabah

“Kami telah mengenal pasti mutasi A701B tetapi tidak pasti mengenai kesan klinikal seperti kadar jangkitan dan mutasi virus (dari strain bermutasi).‘ – Dr. Noor Hisham Abdullah, petikan dari Malay Mail
Bentuk baru virus Covid-19 ini dikesan sebagai mutasi baru A701B dan ia ditemui selepas 60 sampel diuji dari Kluster Benteng LD di Sabah. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau mutasi baru ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai impak virus ini kepada masyarakat.
Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang mengesan mutasi A701B, terdapat beberapa negara lain yang berdepan isu yang sama termasuk Singapura, Afrika Selatan, Australia dan Belanda.
Bentuk-bentuk baru virus yang telah ditemui sebelum ini

“Wabak Covid-19 sentiasa bermutasi maka pemantauan dilakukan untuk melihat impaknya kepada populasi.” – Dr. Noor Hisham Abdullah, petikan dari Utusan
Virus Covid-19 yang pertama kali dikesan di Wuhan, China, tidak sama dengan apa yang akan ditemui di kebanyakan negara lain. Mutasi D614G muncul di Eropah pada bulan Februari dan menjadi bentuk virus yang dominan di seluruh dunia. Di Malaysia, mutasi D614G telah dikesan di Kedah melalui Kluster Sivagangga serta beberapa tempat di Sabah dan Johor.
Satu lagi, yang disebut sebagai A222V tersebar di seluruh Eropah dan dikaitkan dengan mereka di Sepanyol yang sedang dalam percutian musim panas. Terbaru pula ialah bentuk baru virus yang dinamakan VUI 202012/01 telah tersebar dengan cepat ke seluruh United Kingdom (UK) dengan kadar jangkitan yang tinggi.
Dalam keadaan ini, kaedah terbaik untuk menghentikan jangkitan adalah dengan mematuhi peraturan sedia ada – basuh tangan kita, pakai pelitup muka dan jauhkan jarak dari orang lain.
Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat