Dinamakan sebagai B.1.1.7, bentuk baru COVID-19 mula tersebar ke seluruh dunia

Dinamakan sebagai B.1.1.7, bentuk baru COVID-19 mula tersebar ke seluruh dunia

Kes positif COVID-19 di beberapa negara di seluruh dunia mula menunjukkan lonjakan kes. Ini juga menyebabkan beberapa negara itu memperketatkan semula kawalan sempadan mereka. Semua ini berlaku selepas bentuk baru virus COVID-19 yang pada mulanya dikenali sebagai VUI – 202012/01 atau namanya B.1.1.7 mula tersebar di UK.

Tak lama selepas itu, virus B.1.1.7 ini mula ditemui dalam beberapa kes di Eropah, Timur Tengah, Asia Tenggara dan Oceania. Ini termasuklah negara jiran kita, Singapura.

Banyak negara di seluruh dunia mengenakan larangan perjalanan ke UK

Virus COVID-19 sentiasa bermutasi. Imej dari The Financial Express

Varian baru COVID-19 yang cepat tersebar di UK ini telah menyebabkan banyak negara di seluruh dunia mengenakan larangan perjalanan ke UK untuk mencegah penyebarannya. Kes varian ini pertama kali dikesan di luar UK adalah di Belanda dan Denmark.

Dua kes telah disahkan di Belanda awal bulan Disember ini, ketika negara itu menjalankan perintah berkurng lima minggu untuk memerangi peningkatan 42 peratus kes baru. Denmark mengesahkan beberapa kes virus varian ini, termasuk kes penularan komuniti. Kedua-dua negara melarang sebarang penerbangan dari UK.

Kemudiannya, kes-kes lain mula dikesan di negara Eropah lain iaitu Itali, Jerman, Switzerland, Perancis, Sepanyol dan Sweden. Di Oceania, pihak berkuasa kesihatan Australia mengesahkan empat kes B.1.1.7 telah dijumpai di negara itu pada 22 Disember. Semua kes telah dikesan dalam kalangan mereka yang baru tiba dari luar negara dan dikuarantin. Tidak ada kejadian penularan komuniti yang disahkan.

Di Asia pula, Jepun telah mengesahkan kewujudan varian baru ini dalam tujuh kes beberapa hari yang lepas – lima daripadanya adalah mereka yang kembali dari UK, yang positif di lapangan terbang dan dua yang lain di Tokyo. Manakala negara jiran kita, Singapura mencatatkan kes pertama virus B.1.1.7 pada 23 Disember 2020. Ia dikesan pada seorang pelajar Singapura yang pulang dari tempat belajarnya di UK.

Apakah virus B.1.1.7 lebih bahaya dan vaksin sedia ada tidak berkesan?

Setakat ini, varian baharu ini belum dikesan di Malaysia. Institute for Medical Research (IMR) terus menjalankan ujian bagi mengesan virus ini dari semasa ke semasa. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyenaraikan beberapa fakta pentinng mengenai virus B.1.1.7 ini seperti berikut:

  • Terdapat mutasi pada protein pepaku yang terlibat dalam pelekatan virus pada sel
  • 70% lebih mudah merebak berbanding varian lain
  • Lebih mudah menjangkiti kanak-kanak
  • Lebih tinggi beban virus
  • Boleh mengurangkan pengesanan virus dalam ujian Polymerase Chain Reaction (PCR)
Bahagian protein pepaku (spike protein) yang sering bermutasi

Virus bermutasi sepanjang masa. Sebilangan besar varian baru akan hilang. Kadang kala ia merebak tanpa mengubah tingkah laku virus. Kadang-kala pula, ia mencetuskan perubahan dramatik. Walaupun virus ini bermutasi daripada bentuk asal, namun diakui bahawa vaksin sedia ada tetap mampu melawannya.

Vaksin telah diuji dengan banyak varian virus yang tersebar. Jadi ada setiap alasan untuk berfikir bahawa vaksin masih akan berfungsi melawan strain baru ini, walaupun jelas itu perlu diuji secara menyeluruh.” – kata Ewan Birney, Timbalan Ketua Pengarah Institut Bioinformik Eropah

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *