Mampu merawat urat bersimpul . Apa kata kita cuba buat ‘Kerabu Pegaga’

Mampu merawat urat bersimpul . Apa kata kita cuba buat ‘Kerabu Pegaga’

Tumbuhan alam sememangnya tidak ternilai dan telah memainkan peranan penting dalam peradaban dunia. Dengan sumber alam jugalah pelbagai usaha perubatan dan rawatan telah diperkenalkan oleh sesebuah bangsa dan masyarakat. Salah satunya adalah PEGAGA atau nama sainstifiknya Centella asiatica yang cukup terkenal di Alam Melayu sebagai ulam yang sentiasa ada di samping setiap hidangan sejak sekian lamanya.

Akan tetapi, pegaga bukan saja terkenal di Alam Melayu, malah sejak ribuan tahu lalu ia telah digunakan dalam bidang perawatan di India, China dan Madagascar. Dek kerana potensinya itu, maka tak hairanlah apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah menyarankannya sebagai salah satu tumbuhan yang sangat penting untuk ditanam.

Cumanya, untuk memakan pegaga hanya sebagai ulam, mungkin telah terlalu biasa dan agak kurang menarik minat sebahagian orang (khususnya kanak-kanak). Oleh itu, apa kata kita cuba cara hidangan baru yang lebih menyelerakan iaitu KERABU PEGAGA?

Tapi sebelum itu, kita juga nak tahu apa dia khasiat pegaga ni?

Dapat meningkatkan peredaran darah dan membuatkan kita awet muda

Pegaga salah satu tumbuhan yang mudah ditanam sebenarnya. Imej dari fazlisyam.com

Sehingga kini, pelbagai kajian telah dilakukan terhadap khasiat dan rahsia pegaga yang dapat dimanfaatkan oleh manusia. Antara khasiatnya yang paling terkenal adalah pegaga dikatakan mampu meningkatkan peredaran darah yang sekaligus memberikan wajah lebih berseri dan kelihatan lebih muda.

“Pegaga juga dikatakan mampu meningkatkan aliran darah dan mengurangkan masalah berkaitan termasuk urat bersimpul atau salur darah lemah hingga menimbulkan urat berwarna ungu pada betis dan paha.” – Petikan dari Harian Metro

Dalam masa sama, pegaga bukan saja boleh bagi muka kita berseri-seri, tapi juga bermanfaat kepada kecantikan rambut khususnya terhadap masalah keguguran rambut kerana kandungan nutriennya. Ini kerana, aliran darah yang baik di kulit, akan meningkatkan aliran oksigen, yang seterusnya mengelakkan keguguran rambut dan menggalakkan pertumbuhan anak rambut.

Selain itu, kajian dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) turut menemui sebatian kimia aktif utama dalam pegaga iaitu triterpenoid glikosida yang terbukti berkesan untuk penyembuhan luka. Bahkan, sebatian ini turut mampu menyingkirkan radikal bebas yang boleh digunakan untuk pencegahan arteriosklerosis, kanser, kencing manis dan artritis.

Disebabkan banyak khasiat pegaga ni, tak salah untuk kita mempelbagaikan cara hidangannya kan? Oleh itu, ini dia kami kongsikan cara mudah menyediakan KERABU PEGAGA:

Bahan-bahan:

Nampak sedap dan menyelerakan bukan? Imej dari resepilaukpaukkuihmuihmelayu.blogspot

(Hidangan ini untuk 8 orang)

Bahan A

  • 1 kg kerang (direbus dan diambil isinya)
  • Satu ikat daun pegaga (dihiris nipis)
  • 1 biji sengkuang (dihiris nipis)
  • 1 ikat kacang panjang (dihiris nipis)
  • 1 biji lobak (dihiris nipis)
  • 1/2 kobis cina (dihiris nipis)
  • 6 biji cili merah (dihiris nipis)
  • 6 biji cili hijau (dihiris nipis)
  • 6 biji bawang merah (dihiris nipis)
  • 4 biji bawang besar (dihiris nipis)

Bahan B

  • 1/2 tangkai bunga kantan (dihiris nipis)
  • 2 batang daun ketumbar (dihiris nipis)
  • 2 sudu makan kacang tanah goreng (ditumbuk kasar)

Bahan C

  • Limau nipis (jusnya)
  • Garam dan gula (secukup rasa)

Cara penyediaan:

  1. Masukkan bahan A ke dalam mangkuk
  2. Masukkan pula bahan B ke dalam mangkuk
  3. Gaul rata semua bahan
  4. Masukkan jus limau nipis, garam dan gula (secukup rasa)
  5. Siap dan sedia untuk dimakan bersama keluarga!

Mudah dan ringkas bukan? Cubalah bila ada masa lapang nanti, tak lah anak dan suami asyik makan ulam je kan? Jangan lupa juga tanam pegaga ni di rumah masing-masing! Nanti tinggal petik dan masak je.

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *