Kisah anak Malaysia di UK mencipta ‘tudung bilik bedah’ setelah diarah keluar

Kisah anak Malaysia di UK mencipta ‘tudung bilik bedah’ setelah diarah keluar

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dr. Noor Hisham Abdullah telah pun berkongsi suatu video mengenai kejayaan seorang petugas kesihatan Malaysia di UK, iaitu Dr Farah Shaheera Roslan. Katanya juga, kejayaan anak Malaysia ini kurang dikongsikan di dalam ruang berita di negara kita.

Jasanya amat luar biasa apabila telah membangunkan tudung pakai buang untuk digunakan oleh petugas kesihatan wanita muslim ketika berada dalam bilik pembedahan.

Diarahkan keluar dari bilik pembedahan kerana memakai tudung

Dr Farah mengenakan tudung ciptaannya. Imej dari The Star

Sewaktu menjadi pelajar perubatan di UK, Dr Farah telah melalui suatu pengalaman apabila diarahkan keluar dari bilik pembedahan kerana memakai tudung. Pemakaian seperti itu melanggar polisi kawalan jangkitan yang ketat seperti ditetapkan. Bertitik tolak daripada pengalaman itu, beliau mendapati terdapat jurang yang tidak diselesaikan antara menegakkan kod pakaian hospital dan menghormati kepercayaan kakitangan perubatan yang memakai tudung.

Atas dorongan mentornya, Dr Gillian Tierney, beliau telah menghubungi rakan dan pembekal di Malaysia untuk mendapatkan idea mengenai tudung pakai buang. Kemudiannya, beliau menemui seorang pembekal UK yang menghantar kain dengan pelbagai saiz dan bahan untuknya dan mengumpul sekumpulan doktor wanita Muslim di sana untuk diuji.

Setelah mentornya meluluskan reka bentuk itu, sejumlah tudung pakai buang telah dibekalkan ke semua bilik pembedahan di bawah Universiti Hospital Derby dan Burton Trust. Sekarang ini, beliau bekerja di Hospital Umum Northampton dan telah bekerjasama dengan Persatuan Perubatan Islam Britain untuk membantu menghasilkan garis panduan mengenai penggunaan tudung dalam keadaan klinikal.

Wanita Malaysia apabila diberi peluang dapat melakukan keajaiban

Reka bentuk tudung yang sesuai di bilik pembedahan. Imej dari Modestrove

Bukan sekadar menerima pujian, beliau telah diberi anugerah dan pengiktirafan melalui NHS Leadership Academy Award dan dicalonkan untuk British Muslim Award. Melalui kisah beliau ini, Dr. Noor Hisham berharap lebih ramai wanita muslim akan menceburi bidang pembedahan. Baginya, tiada apa yang mustahil jika semua orang bersatu hati dan fikiran.

“Tidak ada yang mustahil jika kita bersama-sama berfikir, terus berinovasi dan menerapkan nilai-nilai Islam dalam pembedahan. Semuanya bermula dengan niat tulus kita untuk melakukan perbezaan besar demi kemajuan bagi Pembedahan dan Penjagaan Kesihatan. Wanita Muslim Malaysia apabila diberi peluang dapat melakukan keajaiban.” – Dr Noor Hisham Abdullah menulis di FB-nya

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *