Melibatkan kekasih bawah umur, jenayah rogol di Kelantan meningkat naik

Melibatkan kekasih bawah umur, jenayah rogol di Kelantan meningkat naik

Jenayah rogol boleh berlaku di mana-mana sahaja tanpa mengira tempat dan keturunan. Walaupun sudah ada penguatkuasaan undang-undang jenayah ini, ia tetap berterusan dan menunjukkan peningkatan. Sebagai contoh di Kelantan, Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat mengatakan bahawa kes rogol melibatkan kekasih bawah umur meningkat 30 peratus sepanjang tahun 2020 berbanding tahun sebelumnya.

Jika pada tahun sebelum ini sebanyak 74 kes dicatatkan, pada tahun 2020 pula, sebanyak 106 kes dicatatkan. Bukan hanya melibatkan pasangan kekasih, jenayah itu turut berlaku dalam kalangan ahli keluarga dan dalam sesetengah kes, perkara tersebut cuba dirahsiakan. Kata Ketua Polis Kelantan lagi, golongan yang mempunyai latar belakang agama yang tinggi turut terlibat dalam amalan terkutuk ini.

“Saya berharap, masyarakat sedar dan boleh mengambil tindakan bagi mengelak berlaku kejadian yang tidak diingini terhadap anak-anak yang masih bawah umur,” – kata Datuk Shafien Mamat

Tanda-tanda seseorang itu telah diserang secara seksual atau dirogol

Mangsa rogol sering menyalahkan diri sendiri. Imej dari The Voice Of Woman

Sebagai manusia yang prihatin, kita juga perlu ambil tahu tentang tanda-tanda seseorang itu telah dirogol. Ia sedikit sebanyak dapat membuka ruang agar kita membantu mangsa rogol. Antara tanda-tanda yang disenaraikan oleh pakar kesihatan adalah seperti berikut:

  • Mengalami kemurungan, rasa bersalah, kemarahan, dan kegelisahan.
  • Secara tingkah laku, mangsa rogol mungkin menjadi agresif, menyalahgunakan bahan, atau suka melanggar peraturan.
  • Mengalami masalah tidur atau makan.
  • Memutuskan hubungan dengan keluarga/kenalan, atau masalah seksual intrinsik (tingkah laku seks)

Bagi mangsa rogol pula, beberapa perkara mesti dilakukan demi kesihatan fizikal dan mental mereka. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyenaraikan beberapa langkah yang perlu mangsa rogol ambil sebagai tindakan lanjut. Langkah-langkah itu adalah:

  • Jangan tertekan dan menyalahkan diri sendiri.
  • Pergi ke tempat yang selamat dan beritahu orang yang dipercayai.
  • Buat laporan polis bagi mempercepat siasatan.
  • Lakukan pemeriksaan perubatan secepat mungkin, sebaik-baiknya pada hari yang sama.
  • Pemeriksaan segera oleh doktor penting untuk mendapatkan bukti yang kukuh terhadap perogol.
  • Dapatkan bantuan profesional untuk menangani perasaan, keselamatan dan kesihatan anda.

Jika tidak dibantu, mangsa rogol lebih terdedah untuk mengalami masalah mental

Mereka di bawah umur boleh menjadi mangsa. Imej dari The Asian Age

Dalam satu kajian oleh Universiti South Carolina di US mendapati bahawa mangsa rogol lebih cenderung untuk mengalami masalah mental yang digelar Gangguan Tekanan Pasca Trauma (PTSD). PTSD boleh mengganggu seluruh hidup mangsa termasuk pekerjaan, hubungan, kesihatan dan keseronokan dalam aktiviti seharian.

“Gangguan Tekanan Pasca Trauma (PTSD) adalah keadaan kesihatan mental yang dipicu oleh peristiwa yang menakutkan – sama ada mengalaminya atau menyaksikannya.” – Petikan dari Mayo Clinic

Oleh itu, dalam hidup bermasyarakat, bantulah mangsa selagi boleh. Jika, terdapat kes yang berlaku di depan mata, yakinkan mangsa untuk mandapatkan keadilan dan rawatan. Jangan biarkan mangsa rogol keseorangan berhadapan kesakitan fizikal dan mental.

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *