Bosan makan burger ayam dan daging? Ubah selera dengan Burger Cendawan ni

Bosan makan burger ayam dan daging? Ubah selera dengan Burger Cendawan ni

Di Malaysi, salah satu makanan segera yang sudah sebati dengan masyarakat adalah burger yang kita boleh dapat dari restoran berhawa dingin, sampailah ke gerai-gerai di tepi jalan. Dengan pelbagai pilihan sos, sayuran dan perisa, memang boleh dikatakan jaranglah ada yang dapat terlepas dari godaan burger ni. Ditambah lagi dengan bermacam-macam jenis patty dari ayam, lembu, arnab, rusa, ikan dan sebagainya.

Cumanya, mungkin ada di antara kita yang nak mulakan gaya hidup sihat, dan dalam waktu sama mula bosan dengan patty yang sedia ada. Amalkan hidup sihat bukan bermakna yang kita tak boleh makan burger atau apa-apa yang kita suka sebenarnya.

Oleh itu, kepada yang nak cuba citarasa baru dan mungkin memang suka memasak di rumah,apa kata anda cuba resipi Burger Cendawan sebagai ganti burger sedia ada dan lebih berkhasiat? Tapi sebelum itu…

Apa khasiat cendawan ni sebenarnya?

Cendawan ni ada yang boleh dimakan dan tak boleh. Jadi, hati-hati juga bila memilih. Imej dari NUS News.

Sebenarnya, terdapat pelbagai jenis cendawan yang boleh dimakan dan dijadikan bahan masakan. Antaranya adalah Cendawan Tiram, Cendawan Butang, Cendawan Shiitake, Cendawan Enoki, Cendawan Chanterelle, Cendawan Porcini dan Cendawan Shimeji. Cendawan yang pelbagai ni datang dengan pelbagai harga, sama ada yang berpatutan, ataupun mahal bergantung pada tahap kesukaran untuk mendapatkannya.

Apa yang pasti, cendawan mempunyai khasiat yang baik untuk tubuh manusia kerana sifat semula jadinya. Salah satunya adalah Vitamin D. Berbanding dengan tumbuhan-tumbuhan lain, cendawan mempunyai kandungan Vitamin D yang tinggi kerana kemampuannya meningkatkan vitamin tu melalui cahaya UV dan pendedahan cahaya matahari.

Seterusnya adalah meningkatkan imuniti tubuh kita. Ini kerana, cendawan adalah sumber utama selenium nutrien antioksidan, yang melindungi sel-sel tubuh dari kerosakan dan membantu menguatkan sistem imuniti tubuh. Malah, ia juga sangat sesuai untuk menurunkan kadar kolestrol sebab sifatnya yang tak mempunyai kalori dan lemak.

Kita juga kena tahu berdasarkan beberapa kajian – saintis mendapati cendawan berpotensi melawan pertumbuhan kanser. Perkara itu ditemui daripada kajian sebuah badan kesihatan Amerika Syarikat, City of Hope terhadap satu percubaan klinikal kecil kepada pesakit kanser prostat.

Jadi, disebabkan cendawan ni memang banyak khasiatnya, tak salah untuk kita mempelbagaikan hidangan sesuai dengan citarasa kita. Salah satu yang kita boleh cuba adalah Burger Cendawan!

Bahan-bahan:

  • 3 sudu besar minyak canola (ataupun minyak sayuran)
  • 1 biji bawang kecil (dicincang)
  • 1 ulas bawang putih (dicincang)
  • 100g cendawan (dipotong dadu kecil)
  • 2 atau 3 daun bawang (dicincang)
  • 1/2 sudu teh jintan
  • 2 sudu besar air suam
  • 1 1/2 sudu teh egg replacer (klik untuk tahu lebih lanjut)
  • 2 cawan kacang pinto (dalam tin)
  • 1 sudu teh pasli segar (dicincang)
  • Garam (secukup rasa)
  • Lada hitam (secukup rasa)

*Sediakan juga roti burger, sayuran lain untuk topping seperti salad, tomato, bawang, timun, mayonis vegan, mustard dan sebagainya. 

Antara egg replacer yang ada di pasaran. Imej dari Bob’s Red Mill.

Cara penyediaan:

  1. Sediakan bahan-bahan di atas
  2. Tumiskan bawang dan bawang putih dengan 1 sudu minyak canola (atau minyak sayuran) sehingga bawang lembut.
  3. Masukkan cendawan cincang, daun bawang dan jintan sehingga cendawan masak.
  4. Ketepikan campuran bawang dan cendawan yang telah dimasak.
  5. Di dalam mangkuk, gaulkan air suam dan egg replacer sehingga sebati.
  6. Seterusnya, gunakan garpu untuk lumatkan kacang pinto dan masukkan ke dalam sebatian tadi, serta gaul sehingga sebati
  7. Campurkan sebatian dengan campuran bawang dan cendawan yang dimasak sebelumnya.
  8. Bentukkan sebatian seperti patty, sesuai dengan cita rasa masing-masing (tapi jangan terlalu nipis).
  9. Goreng patty dengan minyak (2 sudu) sehingga masak atau boleh juga digril.
  10. Hidangkan bersama roti burger, topping mengikut cita rasa masing-masing.
Nampak menyelerakan bukan? Imej dari The Spruce Eats.

Siapa kata burger ni makanan yang tak berkhasiat? Kalau kena dengan cara dan bahannya, ia juga boleh jadi makanan yang berkhasiat dan menyelerakan. Jadi apa tunggu lagi tu? Cepat-cepat la pergi pasaraya, beli bahan-bahan dan buat di rumah!

Selamat mencuba!

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *