Bagi setiap 10,000 orang di Malaysia, 8 hingga 9 orang dijangkiti COVID-19

Bagi setiap 10,000 orang di Malaysia, 8 hingga 9 orang dijangkiti COVID-19

Semakin hari, semakin bertambah kes positif COVID-19. Begitu juga, jumlah kematian yang turut dicatatkan saban hari menyebabkan perasaan takut dan risau dalam kalangan rakyat meningkat. Tugas dan beban para barisan hadapan juga bertambah berat untuk menguruskan lebih banyak kes dan kluster yang muncul.

Susulan dengan gelombang kes yang dihadapi negara kita, seramai 46 orang pakar kesihatan negara telah menghantar dan menandatangani sepucuk surat terbuka yang ditujukan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Antara yang menandatangani surat tersebut ialah bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Christopher Lee.

Bagi setiap 10,000 rakyat Malaysia, 8 hingga 9 orang dijangkiti COVID-19

Suasan pusat kuarantin di MAEPS. Imej dari FMT

Mereka menandatangi surat ini sangat khuatir dan prihatin terhadap status terkini wabak COVID-19 di negara kita. Tulis mereka, metrik nasional kita mencatatkan gambaran yang sangat suram mengenai pengurusan pandemik Covid-19.

“Walaupun PKP dan campur tangan kesihatan lain, kes yang dilaporkan setiap hari tidak berkurang. Kumulatif Kepadatan Insiden (bagi setiap 100,000 penduduk) dan Kadar Jangkitan (kes aktif setiap 1,000 penduduk) tidak merata, dengan Kadar Jangkitan nasional terkini dicatatkan pada 0.879 per 1,000 penduduk, yang bermaksud antara 8-9 orang secara aktif dijangkiti bagi setiap 10,000 orang.” – Petikan surat

Kadar positif ujian (purata tujuh hari pusingan) meningkat, mencatatkan 8.9% pada 3 Januari 2021, jauh di atas penanda aras 5.0% ditetapkan oleh Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai kawalan dan penahanan pandemik yang berkesan.

“Mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika wabak masih tidak terkawal adalah tindakan mengundang bencana.”

Dalam surat itu, mereka telah mencadangkan 10 tindakan segera dan kritikal untuk mengelakkan Malaysia terjerumus ke tahap yang tidak terkawal. Cadangan-cadangan adalah seperti berikut:

  1. Meningkatkan kekerapan ujian yang turut dibuat secara massa dengan menggunakan kit ujian (RTK-Ag) yang cepat dan murah daripada menggunakan ujian PCR. Pengesanan awal hasil diagnosis RTK-Ag yang boleh diperoleh dalam masa 24 jam membolehkan proses pengasingan kes dilakukan dengan cepat dan memudahkan pengesanan kontak rapat.
  2. Penjejakan kontak juga perlu diautomasikan dengan aplikasi digital bagi mempercepat proses penjejakan sambil memanfaatkan data sains dan pembelajaran mesin untuk mengenal pasti kawasan panas di Malaysia untuk saringan bersasar. Dengan tindak balas pantas Find-Test-Trace-Isolate (FTTI), ia berupaya memecahkan kluster Covid-19 dan mengurangkan penyebaran Covid-19.
  3. Sebagai persediaan menghadapi jangkaan peningkatan Covid-19 dan melindungi keupayaan penjagaan kesihatan, kami menganjurkan bahawa kes klinikal tahap satu dan dua diasingkan di rumah dengan garis panduan yang jelas daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Keadaan pesakit Covid-19 tahap awal boleh dipantau melalui aplikasi digital dan disokong melalui pemerkasaan masyarakat serta memindahkan dengan segera pesakit dengan tahap kesihatan yang semakin merosot ke hospital.
  4. Bagi melindungi pekerja perubatan profesional yang bertugas di hospital Covid-19, keseluruhan pesakit umum perlu dipindahkan di 19 buah hospital kerajaan yang tidak mengendalikan kes Covid-19 dan hospital swasta. Ia akan memberi peluang kepada pekerja perubatan untuk memberi tumpuan kepada kes kritikal dan tidak terganggu dengan kes Covid-19 yang ringan serta tidak menunjukkan gejala.
  5. Industri sokongan yang merupakan enjin kepada ekonomi negara perlu tumbuh seiring dengan langkah kreatif untuk mengurangkan 3S iaitu jauhi kawasan sesak, elak kawasan sempit dan elak sembang atau bertutur dengan jarak dekat. Inisiatif Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) adalah perkongsian tiga pihak iaitu kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menekankan rejim ujian pengesanan awal bagi meningkatkan langkah kesihatan awam dan pendidikan bagi industri serta pekerja migran. Inisiatif yang serupa mesti dikembangkan untuk kawasan wabak Covid-19 yang lain, iaitu penjara dan pusat tahanan.
  6. Proses pengawalseliaan vaksin dilakukan dengan pantas bagi membolehkan ia boleh terus digunakan sebaik sahaja dos pertama vaksin tiba di lapangan terbang. Penumpuan juga perlu diberikan terhadap usaha memerangi penyebaran maklumat yang salah mengenai vaksin, selain memperkasakan pemahaman rakyat.
  7. Selain mengutamakan kumpulan berisiko tinggi, pertimbangan serius harus diberikan kepada usaha memvaksin pekerja migran bagi melindungi industri dan komuniti pelarian yang berpotensi menjadi pusat penyebaran wabak.
  8. Kos vaksin mesti dihadkan kurang daripada RM100 setiap dos bagi mereka yang mendapatkannya suntikan secara peribadi dan selanjutnya kit ujian pantas mesti dihadkan kurang daripada RM100 setiap ujian untuk memastikan ia lebih berpatutan dan digunakan oleh lebih ramai orang.
  9. Pembentukan segera Pasukan Petugas Covid-19 yang terdiri daripada pelbagai sektor. Pasukan Petugas Covid-19 akan membantu membebaskan negara dari wabak ini dengan secara berkala mengemukakan cadangan dan audit terhadap kesan ekonomi kesihatan keputusan penting kepada Kabinet.
  10. Mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika wabak masih tidak terkawal adalah tindakan mengundang bencana seperti yang berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *