Berpunca dari seorang pengembara, Malaysia catat kes “mutasi UK B117” pertama

Berpunca dari seorang pengembara, Malaysia catat kes “mutasi UK B117” pertama

Sebelum ini, kita hanya mendengar sahaja mengenai penularan bentuk baru virus COVID-19 dari UK, iaitu UK B.1.1.7. Namun, agak mengejutkan apabila varian dari UK itu telah sampai ke negara kita baru-baru ini. Ini seperti yang dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah melalui FB-nya.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa satu kes COVID-19 varian UK B.1.1.7 atau 202012/01 mutasi protein Spike telah dikesan di Malaysia pada hari ini.” – tulis Dr. Noor Hisham Abdullah

Walaupun negara masih memperketatkan penerbangan masuk dari negara lain, varian UK ini tetap berjaya masuk dalam kalangan mereka yang berada di Malaysia. Bagaimanakah ini semua boleh berlaku?

Dikesan dari seorang pengembara yang pernah ke UK pada bulan Disember 2020

Di UK, varian ini telah menjadi masalah besar. Imej dari DW

Menurut Dr. Noor Hisham, kes tersebut telah dilaporkan dari seorang pengembara yang mempunyai sejarah perjalanan ke United Kingdom pada bulan Disember 2020. Pengembara tersebut didapati positif pada 28 Disember 2020 dan telah diasingkan untuk rawatan lanjut.

“Sejak Oktober 2020, KKM telah melakukan pemantauan terhadap kesemua pengembara dari negara-negara yang telah melaporkan kes mutasi varian UK B.1.1.7 ini termasuk dari United Kingdom, Belanda, Singapura, Turki, Filipina dan India.” – tulis Dr. Noor Hisham Abdullah

Bermula Oktober 2020, sebanyak 24 sampel telah diuji melalui “genome sequencing” bagi mengesan jenis UK B.1.1.7. Berita baiknya, setakat 11 Januari 2021, masih tiada lagi penularan dalam negara telah dikesan berkaitan virus mutasi UK B.1.1.7 tersebut.  Selain itu, beliau menyatakan lagi bahawa KKM melalui Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan CPRC Kebangsaan akan sentiasa memantau perkembangan mutasi UK B.1.1.7 ini dan akan memaklumkan dari semasa ke semasa.

Penularan varian UK lebih pantas berbanding bentuk virus sebelum ini

Gambar yang dikongsi di FB Dr. Noor Hisham

Kajian yang dilakukan di beberapa pusat penyelidikan di UK mendapati bahawa UK B.1.1.7 ini telah bermutasi pada bahagian pepaku protein kerana susunan kimianya yang berbeza. Pepaku protein ini adalah bahagian yang menyebabkan ia mudah melekat pada manusia, lalu menjangkiti. Perubahan pada pepaku protein ini telah menjadikan ia lebih mudah menular ke dalam komuniti.

“Penularan B117 mungkin sekitar 50 peratus lebih besar daripada bentuk virus sebelumnya, yang bermaksud kenaikan nilai R yang besar — nombor pembiakan yang menggambarkan jumlah purata orang yang dijangkiti melalui orang yang dijangkiti” – seperti ditulis Prospect Magazine

Walaupun mutasi UK B.1.1.7 ini tidak menyebabkan gejala yang teruk, namun, ia boleh menular dengan mudah dan cepat. Orang ramai dinasihati agar sentiasa mengamalkan kebersihan kendiri dengan kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka terutamanya di tempat awam, dan menjaga penjarakan fizikal setiap masa.

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *