Ubi kayu turunkan kadar kolesterol jahat. Apa kata cuba Ubi Kayu Tumis Bilis

Ubi kayu turunkan kadar kolesterol jahat. Apa kata cuba Ubi Kayu Tumis Bilis

Masa musim banjir dan hujan ni, makanan yang paling sinonim bagi orang Melayu zaman dulu adalah ubi kayu yang dihidang bersama kelapa parut dan kadang kala sambal bilis, bersama secawan kopi O. Tak kisahlah di negeri mana pun, ubi kayu merupakan makanan lazim yang akan dimakan dengan penuh selera, tak kira cara penyediaannya.

Jadi kalau dah bosan makan ubi kayu rebus je, mungkin kita boleh cuba jadikan ubi kayu sebagai hidangan yang lebih menarik dan mampu membuka selera, sebagai pengganti nasi.

Mampu menurunkan kadar kolesterol jahat kerana kandungan seratnya

Syoknya je tengok isi dalam ubi kayu ni. Imej dari Curious Cuisiniere

Tahukah anda yang ubi kayu merupakan salah satu menu pengganti nasi yang sangat baik? Ini kerana, ubi kayu merupakan sumber karbohidrat kompleks yang mempunyai nilai GI dibawah 60.  Maka, ubi kayu mampu menurunkan kadar kolesterol jahat kerana kandungan seratnya yang cukup tinggi. Mana taknya, ia mengandungi cukup vitamin A, vitamin C, dan mangan. Mangan itu sendiri adalah mineral yang berfungsi untuk membantu pembekuan darah, menghasilkan hormon seks, dan memperkuat tulang dan tisu penghubung.

Kalau nak dibandingkan, ubi kayu dan kentang adalah kedua-dua sumber makanan asas karbohidrat kompleks yang tak mengandungi lemak. Kedua-duanya juga mengandungi serat yang cukup. Setiap satu hidangan 100 gram ubi kayu mengandungi 112 kalori, 38 gram karbohidrat, 1.5 gram protein. Dengan jumlah yang sama, kentang mengandungi 76 kalori, 17 karbohidrat dan 2 gram protein. Kedua-dua ubi ini mengandungi 2 gram serat. Jadi, ubi kayu adalah pilihan yang lebih bijak untuk berdiet.

Jadi, disebabkan ubi kayu ni banyak khasiat dan membantu dalam penurunan berat badan, mari kita pelbagaikan hidangan sesuai dengan citarasa kita. Salah satu yang kita boleh cuba adalah Ubi Kayu Tumis Bilis!

Bahan-bahan:

  • 300gm ubi kayu yang dipotong dadu kecil dan direbus empuk
  • 2 sudu makan minyak masak
  • 1/2 cawan ikan bilis
  • 3 tangkai cili kering yang dipotong kecil
  • 1 biji cili merah yang dihiris
  • 1 labu bawang besar yang dimayang halus
  • 4 ulas bawang putih yang dihiris halus
  • 1 sudu teh serbuk cili
  • 2 tangkai daun kari
  • Garam secukup rasa

Cara penyediaan:

  • Rebuskan ubi kayu yang telah dipotong dadu 2-3cm sehingga empuk, tapi tak terlalu empuk supaya ubi kayu tak hancur.
  • Panaskan hanya dua sudu minyak masak. Kata nak sihat, kan?
  • Goreng ikan bilis sehingga garing, dan toskan supaya minyak dikurangkan
  • Dalam kuali yang sama, tumis bawang merah, bawang besar, bawang putih, cili merah dan cili kering sehingga naik bau.
  • Masukkan serbuk cili dan daun kari untuk menambahkan lagi aroma masakan, dan tumis selama beberapa minit.
  • Masukkan ubi kayu dan ikan bilis yang telah digoreng, dan gaul sebati sehingga nampak cantik.
  • Tambah sedikit garam secukup rasa, dan sedia dihidangkan!

Jadi, apa lagi alasan anda untuk tak makan makanan sihat tapi menyelerakan ni kan? Cepat ambik cangkul dan tolong ayah cabut ubi belakang rumah. Berpeluh pun ye, dapat makan sihat dan sedap pun ye! Selamat mencuba!

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *