Tak dilayan seperti manusia. Doktor ini bersuara masalah di hospital COVID-19

Tak dilayan seperti manusia. Doktor ini bersuara masalah di hospital COVID-19

Dalam suasana yang begitu tertekan ketika ini, dengan isu pekerja dibuang kerja atau tekanan bekerja di rumah. Masih ramai tidak sedar betapa lebih tertekannya para petugas kesihatan yang berada di hospital yang mengurus rawatan COVID-19. Ia bukanlah sekadar tekanan berdepan kes positif yang tinggi, malah sistem hospital itu sendiri berada pada tahap yang mengejutkan.

Seorang doktor di hospital Sungai Buloh, Dr. Mustafa Kamal telah berkongsi di media sosial tentang apa yang dialaminya sepanjang berada di hospital itu. Beliau meluahkan rasa kecewa, mengalami keletihan melampau (burnt out) dan jalan penyelesaiannya adalah dengan mencuba membuat permohonan cuti, demi kesihatannya.

Ini kali pertama saya ambil EL dan MC, tetapi ketua saya hilang sabar

Hospital khas untuk rawat COVID-19. Imej dari Berita Harian

Saya tak pernah ambil MC, ambil EL, atau dikuarantin sepanjang tempoh Covid … Ini kali pertama saya ambil EL dan MC, tetapi ketua saya hilang sabar, seolah-olah ini (masalah kesihatan dialaminya) adalah isu biasa,” – Dr Mustafa Kamal

Beliau terpaksa membuat permohonan cuti ini kerana menjadi langkah untuk menjaga kesihatan mentalnya sendiri. Beliau telah ke unit psikiatri hospital selepas berasa letih melampau dan mengalami simptom gelisah (anxiety) pada setiap kali memulakan syif kerjanya. Bukan itu sahaja, beliau membuat permohanan agar dirinya dipindahkan di Pusat Kuarantin COVID-19 di MAEPS, namun ditolak dengan kasar.

“Saya tak rasa saya boleh percayakan sistem itu lagi. Saya dah buat segala-galanya mengikut saluran, tetapi apa pun saya buat, saya diherdik.” – Dr Mustafa Kamal

Permohonan itu bukan untuk bersenang-lenang, ini kerana nasihat kesihatan yang telah dicadangkan kepadanya ketika menerima rawatan mental. Atas dasar, setiap kali perjalanan ke tempat kerja boleh memakan masa sehingga sejam dengan kos RM300 sebulan yang merupakan satu tekanan.

Beberapa rakan saya mengalami kemurungan dan mula mengambil ubat anti-depresan

“Sebilangan besar doktor juga merasa terganggu. Beberapa rakan saya mengalami kemurungan dan mula mengambil ubat anti-depresan. Sebilangan daripada kami bahkan tidak pernah bertemu atau mengunjungi keluarga atau orang tersayang selama berbulan-bulan.Kami penat, letih, kesal dan sudah jauh melepasi ‘tahap genting’.” – seperti ditulis Dr. Mustafa Kamal

Beliau juga turut mendedahkan mengenai kemudahan asas di hospital Sungai Buloh yang tidak disediakan seperti yang sepatutnya. Walaupun bekerja syif on-call bagi mengurus pesakit COVID-19, mereka tiada tempat untuk berehat dan juga tidak dapat makan dengan betul.

Pihak pengurusan sepatutnya, memberi para petugas kesihatan bilik syif on-call, makanan syif on-call, tempat yang sesuai, sekurang-kurangnya buat mereka melepaskan lelah dan berehat sebelum meneruskan pertempuran tetapi semua ini telah diambil atau diberitahu tidak tersedia buat masa ini.

“Kami tidak mahu pengiktirafan seperti lukisan mural di dinding atau pertunjukan cahaya di jambatan. Kami meminta sekurang-kurangnya memberikan kami persekitaran yang selesa untuk bertugas dan melayan kami seperti manusia yang terus bekerja selama berjam-jam.” – tulis Dr. Mustafa Kamal

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *