Kerana masalah jantung, pesawat tentera bawa dua bayi dari Sabah ke IJN

Kerana masalah jantung, pesawat tentera bawa dua bayi dari Sabah ke IJN

Setelah memenuhi kriteria-kriteria tertentu serta nasihat pegawai perubatan, pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan ihsan dengan misi menghantar dua orang bayi dari Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu Sabah, ke Pangkalan Udara Subang. Kemudiannya, kedua-kedua bayi yang mempunyai masalah jantung ini dihantar ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk menjalani pembedahan jantung.

Dengan menggunakan pesawat angkut A400M dari No.22 Skuadron, penerbangan ihsan ini telah berlepas pada jam 7.04 malam pada hari Selasa dan tiba di Pangkalan Udara Subang pada jam 9.01 malam. Ibu kedua-kedua bayi turut ditempatkan juga di dalam penerbangan itu.

Kedua-dua bayi berusia sebulan dan tiga bulan dengan masalah jantung sejak lahir

Salah seorang bayi diiringi pasukan petugas. Imej dari Astro Awani

Secara terperinci, kedua-dua bayi itu sebelum ini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu.  Salah seorang bayi bernama Mohammad Zayan Hafeez Abdullah, ketika ini berusia tiga bulan tiga minggu sedang mengalami masalah jantung Mixed Total Anomalous Pulmonary Vanous Drainage (Unobstructed). Secara umum penyakit ini adalah:

“Total Anomalous Pulmonary Venous Return (TAPVR) adalah kecacatan jantung sejak lahir. Pada bayi dengan TAPVR, darah yang mengandungi oksigen tidak kembali dari paru-paru ke atrium kiri. Sebaliknya, darah yang mengandungi oksigen kembali ke bahagian kanan jantung.

Di sini, darah yang mengandungi banyak oksigen bercampur dengan darah yang kekurangan oksigen. Ini menyebabkan bayi kurang mendapat oksigen daripada yang diperlukan ke badan.” – Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) US

Manakala, seorang lagi bayi bernama Muhammad Zul Aris Muhammad Zainulariffin yang baru sahaja berusia satu bulan menghadapi masalah Clinical Down Syndrome. Menurut fakta, sebahagian mereka yang mengalami Down Syndrome adalah sihat, manakala sebahagian yang lain pula akan berdepan masalah kesihatan yang teruk seperti kecacatan jantung yang serius.

Keprihatinan dan komitmen TUDM dalam menjalankan tanggungjawab sosial

Misi penerbangan ihsan oleh pihak TUDM ini menunjukkan keprihatinan dan komitmen mereka dalam menjalankan tanggungjawab sosial serta sentiasa bersiap siaga untuk mengoperasikan aset-asetnya pada masa yang diperlukan. Kita semua menghargai jasa pasukan penerbangan ihsan ini yang terdiri daripada:

  •  Leftenan Kolonel Nazlan Shah Zainal (juruterbang)
  • Kapten Noor Mohamad Farhan Mohamad Noor (pembantu juruterbang)
  • Flait Sarjan Udara Norfadley Saad (loadmaster)
  • Sarjan Udara Nazmil Hafis Mohamad Nayan (loadmaster)
  • Koperal Udara Mohd Yazid Sapeei (technician)
  • Kpl U Muhammad Haziq Shaharuzaman (technician)

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *