Bukan hanya jus dan makanan arnab. Ini resipi Kek Lobak Merah boleh dicuba

Bukan hanya jus dan makanan arnab. Ini resipi Kek Lobak Merah boleh dicuba

Antara hidangan pencuci mulut yang popular adalah Kek Pisang kerana ia mudah didapati. Cumanya, ia kadang kala tak berapa baik untuk kesihatan kerana kandungan gulanya yang tinggi. Namun, kami dah bawa jalan penyelesaian tentang isu ni apabila memperkenalkan resipi Kek Pisang sihat yang tanpa gula putih.

Untuk kali ni, kami nak bawa satu lagi resipi kek sihat yang anda boleh cuba dan hidangkan kepada keluarga, sahabat handai, mahupun jiran terdekat. Ia adalah Kek Lobak Merah. Seperti mana yang kita tahu, selalunya lobak ni kita akan minum jusnya sahaja, ataupun bagi arnab makan. Hakikatnya, ia mempunyai pelbagai khasiat dan kelebihan yang jarang-jarang kita tahu. Antaranya…

Ada 8 alasan kenapa kita perlu makan lobak merah

Walaupun selalu dikaitkan dengan arnab, sebenarnya lobak bukanlah makanan ideal untuk arnab. Imej dari HowStuffWorks.

Berdasarkan kajian dan laporan, lobak merah adalah antara sayuran yang mempunyai banyak khasiat dan terkenal di serata dunia. Maka tidak hairanlah jika terdapat 8 sebab kenapa kita kena makan lobak merah:



  1. Beta korotena: Lobak merah kaya dengan sumber antioksidan yang boleh mengubah kepada Vitamin A dalam tubuh untuk membantu mengekalkan kesihatan kulit.
  2. Penghadaman: Ia boleh meningkatkan jumlah air liur dan membekalkan mineral penting, vitamin dan enzim yang dapat membantu memudahkan proses penghadaman.
  3. Elemen alkali: Ia kaya dengan elemen alkali yang boleh membersihkan darah dan mengimbangi nisbah asid/alkali dalam tubuh.
  4. Kalium: Ia membantu mengekalkan tahap garam dalam tubuh yang membantu menurunkan tekanan darah.
  5. Menjaga kesihatan gigi: Lobak merah boleh membunuh kuman dalam mulut dan membantu mengelakkan kerosakan gigi.
  6. Karotenoid: Lobak merah kaya dengan karotenoid yang digunakan tubuh untuk mengawal paras gula dalam darah.
  7. Serat: Kandungan serat larut dalam lobak merah adalah tinggi dan ia mampu merendahkan tahap kolesterol.
  8. Kesihatan mata, rambut, kulit dan kuku: Nutrien dalam lobak boleh meningkatkan kesihatan mata, kulit, kuku dan rambut, dengan membantu tubuh menyingkirkan bahan toksin serta membina sel baru.

Tapi, takkan kita asyik nak minum jus lobak merah dan makannya dalam masakan yang biasa je kan? Jadinya, apa kata kita cuba cara lain dengan buat kek!

Bahan-bahan:

  • 3 biji lobak bersaiz sederhana (diparut)
  • 3 biji telur
  • 3/4 cawan minyak canola
  • 2/3 cawan sirap maple atau madu
  • 2 cawan whole wheat flour
  • 2 sudu teh serbuk penaik
  • 1 sudu besar parutan lemon
  • Secubit garam (atau secukup rasa)
Antara minyak canola yang ada di pasaran. Imej dari Tesco.

Cara penyediaan:

  • Panaskan ketuhar pada suhu 360°F (atau 180°C)
  • Griskan loyang dengan mentega
  • Pukul tepung dalam mangkuk dengan 2 sudu teh serbuk penaik dan secubit garam
  • Masukkan semua bahan, kecuali tepung dan serbuk penaik, ke dalam pengisar sehingga rata
  • Masukkan tepung ke dalam bahan kisar tadi dan kisar lagi untuk beberapa saat saja (jangan terlalu lumat)
  • Masukkan adunan ke dalam loyang, ratakan bahagian atas dan bakar dalam ketuhar selama 30 ke 35 minit.
  • Bila telah masak, keluarkan dari ketuhar dan sejukkan untuk seketika
  • Keluarkan kek dari loyang dan hias dengan gula aising (jika mahu)
Nampak sedap dengan warnanya yang menyerlah. Imej dari The Clever Meal.

Mudah dan ringkas, kini Kek Lobak Merah dah pun siap dan sedia untuk dimakan. Selain berkhasiat kerana tidak menggunakan gula putih, ia juga baik untuk kesihatan atas khasiat yang ada pada lobak merah itu sendiri. Bolehlah anda mencubanya di rumah dan menikmatinya sambil menghirup teh di petang minggu!



Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *