Selepas ini orang akan berhenti tanam sayur di atas tanah. Ini sebabnya

Selepas ini orang akan berhenti tanam sayur di atas tanah. Ini sebabnya

Terdedah dengan teknologi moden serta kehidupan yang cukup sibuk di bandar telah membawa kepada gaya hidup yang tidak sihat. Begitulah yang berlaku kepada sebahagian rakyat negara kita sehingga Malaysia memegang rekod tertinggi kadar obesiti bagi golongan dewasa di Asia Tenggara.

Maklumat seperti ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi rakyat Malaysia untuk kembali mengamalkan gaya hidup sihat termasuk di dalam cara pemakanan. Jika, dulu seseorang itu menolak tepi sayur yang di dalam pinggan, kini sayur itu sendiri dijadikan menu dan lauk harian. Pelbagai resepi sayur juga mula diperkenalkan sama ada jenis ringkas ataupun unik.

Namun begitu, masih terdapat persepsi dalam kalangan rakyat mengenai setiap kualiti sayur di Malaysia ini. Sebagai contoh, jika ia ditanam di ladang biasa yang memerlukan tanah, pasti ada pencemaran dan pengurangan kualiti sayur tersebut. Persepsi-persepsi yang wujud ini sebenarnya tidaklah seratus-peratus salah kerana memang terdapat masalah-masalah penanaman sayur komersial di atas tanah secara besar-besaran ini.

1. Tanah-tanah tinggi diratakan yang menyebabkan hakisan tanah

Kawasan-kawasan yang diratakan

Produk sayur-sayuran segar tempatan kebanyakan datang dari industri perladangan di kawasan tanah tinggi Cameron Highlands dan sekitarnya. Para peladang di sana membekalkan hampir separuh keperluan sayur di negara kita. Kawasan tanah tinggi ini dipilih kerana ia lebih sejuk berbanding kawasan tanah rendah yang lain dengan purata minima suhu harian 14.8 C. Ini menjadikan kawasan ini sesuai untuk tanaman berhawa sederhana.

Disebalik suhu yang dingin ini, aktiviti penanaman sayur di tanah tinggi memerlukan kawasan yang rata untuk dijadikan ladang sayur-sayuran. Ditambah pula dengan sistem sokongan lain seperti pelindung hujan untuk memastikan tanaman berada dalam keadaan baik.

“Penggunaan sistem ini memerlukan kos pembangunan yang amat tinggi serta memerlukan pelaksanaan kerja-kerja tarahan dan pemotongan lereng-lereng bukit (land-levelling). Penggunaan jentera-jentera berat telah digunakan untuk memotong dan menolak tanah bagi membentuk tapak yang rata untuk pertanian.” – Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia

Oleh kerana sebahagian kawasan tanah tinggi ini adalah jenis lempung berpasir yang mudah terhakis, maka kesan penarahan dan air hujan yang turun telah menyebabkan hakisan tanah menuruni bukit dan pergi ke kawasan tanah rendah seperti sungai. Kesannya akan berantai kepada mendapan sungai, kemusnahan eko-sistem hidupan di dalam sungai, banjir dan penempatan sebahagian orang seperti Orang Asli terjejas.

2. Kandungan baja kimia berlebihan mengalir ke sungai

Aktiviti penggunaan baja kimia

Salah satu elemen penting penanaman sayur-sayuran di kawasan tanah adalah pembajaan. Pengunaan baja amatlah penting dalam sebarang penanaman sayur-sayuran kerana ia bertujuan untuk meningkatkan jumlah nutrien yang ada di dalam tanah. Ia menjadikan tanah lebih subur dan mesra dengan percambahan sayur.

Terdapat dua jenis baja iaitu organik dan kimia. Namun, baja organik biasanya lebih mahal, lalu menyebabkan para peladang lebih memilih baja kimia. Baja kimia ini jika digunakan secara berlebihan akan mengakibatkan kesan yang negatif kepada kawasan di sekitar ladang. Seperti yang berlaku di Tanah Tinggi Lojing, belah utara Cameron Highland, yang mana kandungan baja kimia berlebihan mengalir ke Sungai Belatop akibat kejadian hakisan tanah.

Ini menyebabkan kandungan air sungai tersebut mengandungi Kalsium (Ca) dan Ferum (Fe) yang tinggi melepasi nilai yang sepetutnya seperti ditetapkan Indeks Kualiti Air (IKA). Sekaligus mencemarkan sungai dan hidupannya serta menjadikan kita orang yang tidak bertanggungjawab terhadap kawasan sekitar ladang sayur-sayuran.

3. Penggunaan racun serangga dengan kandungan yang tidak sah

Penyemburan racun perosak di kawasan tanaman sayur

Di seluruh dunia pertanian umumnya, para peladang akan menggunakan racun perosak terhadap sayur-sayuran kerana ia mampu meningkatkan penghasilan dan pengeluaran pertanian. Di negara kita, walaupun terdapat kawalan terhadap racun serangga, sebahagian para pengusaha ladang sayur tetap mencari jalan agar racun serangga ini digunakan walaupun secara berlebihan.

Sebagai contoh, penggunaan racun perosak di ladang-ladang Cameron Highlands telah menarik perhatian para pengkaji selama lebih 20 tahun. Ini kerana laporan-laporan yang mengatakan terdapat pengunaan racun perosak yang tidak sah secara berleluasa. Sebahagian para peladang memilih racun perosak yang tidak sah ini kerana harganya yang lebih murah serta lebih berkesan walaupun sebatian atau kandunga racun itu tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Dengan isu seperti ini, kualiti sayur-sayuran yang dihasilkan pastinya tercemar dan kurang bersih. Sekaligus, menambah lagi persepsi pengguna terhadap sayur-sayuran yang ditanam di tanah secara komersial ini.

4. Sistem pelindung hujan yang menghasilkan sisa sampah

Penggunaan sistem pelindung hujan yang banyak di kawasan tanaman sayur

Bagi kawasan tanah tinggi yang merupakan kawasan utama penanaman sayur negara kita, purata air hujan yang turun adalah 2660 mm setiap tahun. Ini menandakan hujan lebat kerap berlaku di kawasan tersebut. Untuk mengawal jumlah air hujan yang terlalu banyak turun di ladang sayur-sayuran, sistem pelindung hujan (rain shelter) telah digunakan.

Di dalam sistem ini, tanaman sayur sayuran dan bunga-bungaan ditanam di bawah struktur yang ditutup dengan plastik yang dikelilingi oleh sistem net untuk mengawal serangga. Namun, sistem ini tidak mesra alam kerana sisa sampah yang ditinggalkan. Bagi setiap satu hektar tapak pertanian yang menggunakan sistem ini, ia berupaya menghasilkan sisa cocopeat dan beg plastik seberat 24 tan dalam tempoh setahun.

Sekiranya sisa ini dibuang terus kedalam sungai sudah tentu ia akan mencemarkan sumber air bagi penduduk setempat. Sekali lagi, ia menjadikan kita sebagai orang tidak bertanggungjawan terhadap persekitaran, hanya kerana untuk menanam sayur-sayuran.

Menuju penanaman sayur-sayuran yang lebih lestari dan lebih dekat dengan komuniti

Persepsi terhadap kualiti sayur yang di tanah di tanah lapang serta kesannya kepada alam sekitar – ada benarnya. Para penyelidik telah membuktikan hasil-hasil kajian mereka yang menunjukkan kualiti sayur-sayuran yang boleh dipertikaikan. Ditambah pula, kesan penanamannya secara tidak terkawal yang mengakibatkan pencemaran teruk.

Oleh sebab itu, mentaliti kita perlu bergerak semampu mungkin ke arah penanaman sayur-sayuran yang lebih lestari dan lebih dekat dengan komuniti. Dengan penggunaan teknologi moden, usaha-usaha penanaman sayur secara lestari semakin mendapat tempat walaupun tanpa menggunakan tanah. Tanpa merosakkan tanah, tanpa baja kimia dan tanpa racun perosak, semestinya sayur-sayuran yang kita makan lebih segar dan berkualiti tinggi.

Kalau anda teringin nak dapatkan sayur-sayuran yang berkhasiat, anda boleh dapatkan dengan kawan kami di BoomGrow, mereka tanam sayur dengan teknologi moden dan mampu memenuhi keperluan nutrisi korang!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *