Gantikan dengan madu. Ini resipi Daging Harimau Menangis lebih sihat dari biasa

Gantikan dengan madu. Ini resipi Daging Harimau Menangis lebih sihat dari biasa

Beberapa minggu lepas saja, kecoh bila ibu kepada Neelofa dalam video masakannya, telah mengingatkan warga netizen untuk tak lagi menggunakan nama Daging Harimau Menangis untuk dijual. Malah katanya, ia akan dijenamakan dan adalah menyalahi undang-undang untuk menggunakan nama tersebut untuk jualan dan promosi.



Daging Harimau Menangis tu sendiri merupakan menu dan resipi dari Thailand, Sua Rong Haiyang bermaksud Daging Harimau Menangis. Ia merupakan makanan tempatan dari Timur Laut Thailand, yang mana daging lembu yang dah diperisakan dengan rempah ratus sebelum dipanggang dan dihiris kepada kepingan yang kecil.

Dikatakan juga ia adalah salah satu bahagian daging lembu yang berdekatan dengan batang pinang – lembut dan paling senang nak masak. Sebabnya, kedudukan daging paling sedap tersebut yang berada di celah tulang belakang lembu itu sukar untuk dicapai harimau… dan menyebabkan harimau hanya mampu menangis.

Di sini daging harimau menangis rupanya…

Tapi kadang tu bila kita nak makan sihat, kita jarang nak ambil daging disebabkan salah anggap. Daging merah ni sebenarnya kaya dengan mineral, vitamin, antioksidan dan nutrien yang lain seperti kreatina dan karnosina. Malah kalau kita kekurangan nutrien ni, ia boleh membawa kesan kepada fungsi otot dan otak. Selain tu juga, ada sahaja cara yang sesuai untuk buatkan daging ni bukan saja sedap, tapi juga dijadikan menu sihat untuk dimakan sekali sekala.



Jadi sebelum kita semua terliur, mari kita terus ke resipi Daging Harimau Menangis yang anda boleh cuba di rumah.

Apa yang membuatkan resipi Daging Harimau Menangis ni lebih sihat dari biasa?

Ia sihat sebab:

  1. Perapan yang digunakan adalah kurang gula, dan boleh digantikan dengan madu.
  2. Ia menggunakan lada hitam yang boleh membantu membuang angin dalam badan.
  3. Daun ketumbar bukan saja dapat membantu mencegah kanser, dan boleh menjadi detoks, menurunkan gula dalam darah, mencegah osteoperosis, dan pembekuan darah dalam badan.
  4. Jintan manis dapat membantu sebagai anti penuaan, melawaskan pencernaan dan membuang toksin dalam badan.

Bahan-bahan:

Bahan Perapan (5 jam sehingga semalaman)
  • 1 kg daging lembu. Boleh juga ditukarkan kepada ayam
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu besar gula perang atau boleh digantikan dengan madu
  • 1 sudu besar lada hitam
  • 1 sudu besar jintan manis
  • 3-4 ulas bawang putih
Sos Pencicah 
  • 10-15 biji cili api
  • 2 ulas bawang putih
  • 2 sudu besar madu
  • 3-4 tangkai akar ketumbar
  • 1 sudu besar serbuk cili
  • 1-2 biji limau nipis (jus)
  • 1 sudu besar sos ikan

Cara penyediaan:

  1. Potong daging senipis satu inci, dan perapkan dengan bahan-bahan perapan tadi.
  2. Tumbukkan lada hitam dan jintan manis sehingga lumat dan halus, dan gaulkan dengan bahan perapan tadi.
  3. Campurkan sos tiram, gula perang, dan perap selama 5 jam sehingga semalaman (lagi lama, lagi padu).
  4. Bila siap diperap mengikut masa yang dikehendaki, bakar daging. Boleh dibakar di atas arang, atas kuali atau pilihan lebih sihat iaitu, air fryer. Itu pun mengikut selera dan kemampuan masing-masing.
  5. Bagi sos pencicah pula, kisarkan sahaja kesemua bahan-bahan untuk sos iaitu cili api, bawang putih, akar ketumbar, jus limau nipis, serbuk cili, gula perang, dan sos ikan.
  6. Sangai sedikit beras (digoreng tanpa minyak), dan kemudian tumbuk sehingga halus dan tambahkan beras yang disangai ni ke dalam sos pencicah. Masukkan daun ketumbar untuk aroma yang lebih mengasyikkan!
Sangat menyelerakan…

Biasanya kalau makan daging harimau menangis dengan nasi ni akan bertambah-tambah. Tapi, kita la kena pandai bajet sikit macam mana nak makan sihat tanpa perlu berlapar dan makan makanan yang kurang berperisa. Nanti separuh jalan pula diet tu! Yang penting, makan makanan seimbang dan tahu bahagian yang korang ambil tu lebih serat berbanding kalori dan lemak.

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *