Muhyiddin Yassin berkongsi kisah dirinya melawan kanser pankreas hingga sembuh

Bagi seluruh masyarakat dunia, 4 Februari telah ditetapkan khusus sebagai Hari Kanser Sedunia. Ia disambut saban tahun bagi meningkatkan kesedaran mengenai kanser dan untuk mendorong pencegahan, pengesanan, dan rawatannya. Untuk mereka yang berjaya melawan dan sembuh daripada penyakit kanser, pastinya Hari Kanser Sedunia ini sangat bermakna untuk disambut.
Inilah yang telah diluahkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui FB-nya sempena Hari Kanser Sedunia. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa beliau pernah disahkan menghidap kanser pankreas. Beliau telah pun menjalani beberapa rawatan kemoterapi pada tahun 2018 dan tahun-tahun berikutnya. Dengan semangat, kekuatan mental dan rawatan yang diterimanya, beliau kemudiannya, disahkan bebas daripada kanser.
Tindakan mendapatkan rawatan dengan cepat, dapat meningkatkan peluang kepada pesakit untuk sembuh

Bagi dirinya, selaku bekas pesakit kanser, beliau memahami keperitan dan kesukaran yang ditanggung dalam melawan penyakit ini. Beliau bersyukur bersyukur kepada Allah SWT setelah menjalani rawatan, dirinya telah disahkan pulih. Kata-kata perangsang dan dorongan keluarga menguatkan semangatnya untuk terus berjuang dan menghadapi penyakit kanser.
“Selain rawatan yang komprehensif, pengesanan awal serta tindakan mendapatkan rawatan dengan cepat, dapat meningkatkan peluang kepada pesakit untuk sembuh. Bagi mengelakkan kanser dikesan lewat, saya menyarankan orang ramai agar melakukan ujian saringan kesihatan secara berkala.
Buatlah pemeriksaan awal dan yang paling penting, segeralah menjalani rawatan sekiranya anda disahkan menghidap kanser. Jangan takut dan bertangguh.” – Tan Sri Muhyiddin Yassin
Amalkan gaya hidup sihat itu sangat penting
Dalam berkongsi kisahnya melawan kanser suatu ketika dahulu, beliau turut memberi kata-kata semangat dan perangsang kepada pesakit-pesakit kanser di luar sana. Katanya, jika anda sedang berjuang melawan kanser, kuatkan semangat – anda bukan menghadapinya seorang diri.
“Sempena Hari Kanser Sedunia hari ini (4 Februari 2021), saya mengajak seluruh masyarakat untuk memainkan peranan masing-masing dalam mencegah dan mengawal penyakit ini. Amalkan gaya hidup sihat.”
Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat