Ramai orang Malaysia hanya dapat makan sayur yang tak segar. Ini puncanya

Ramai orang Malaysia hanya dapat makan sayur yang tak segar. Ini puncanya

Dunia hari ini bergerak begitu pantas tanpa sempadan. Maklumat baru boleh kita terima dan tersebar dengan cepatnya sehingga menimbulkan pelbagai pandangan dan persepsi. Dalam hal pemakanan, kita telah didedahkan dengan pelbagai informasi mengenai kualiti sesuatu produk yang kita makan setiap hari.

Untuk rakyat Malaysia, persepsi terhadap kualiti sayur-sayuran di negara ini masih ada yang negatif. Sesetengah antara kita merasakan bahawa sayur-sayuran yang di pasaran di negara kita ini kurang segar dan berkualiti atas banyak sebab. Namun, kita harus lebih banyak mencari jalan penyelesaian untuk memastikan agar rakyat Malaysia dapat membeli sayur-sayuran yang lebih segar di pasaran pada masa akan datang.

1) Menyediakan kedai sayur organik yang dekat dengan kawasan penduduk

Kedai barangan organik di kawasan penduduk Fukuoka, Jepun. Imej dari HappyCow

Kalau nak diikutkan, permintaan terhadap sayur yang lebih segar dan berkualiti memang ada dan semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia. Jika dulu pada tahun 1981, seorang rakyat Malaysia memakan 27.25kg setahun, ia meningkat naik kepada 40.58kg selepas 20 tahun kemudian. Walaupun meningkat, tetapi saluran untuk mendapatkan sayur yang lebih segar itu bercampur-campur.

Di Malaysia, terdapat dua kategori saluran pasaran sayur iaitu kedai runcit moden berasaskan stor seperti kedai runcit, pasar raya dan pasar raya besar, dan satu lagi ialah peruncit bukan berasaskan stor seperti pasar tani dan pasar malam. Oleh kerana syarat ketat untuk membekalkan sayur-sayuran kepada pasar raya besar, maka pekebun-pekebun kecil akan membekalkan sayur-sayurnya kepada pasar tani dan pasar malam walaupun kurang segar.

Satu kajian telah mendapati bahawa rakyat Malaysia tidak setia hanya kepada satu pasar sahaja untuk membeli sayur. Bagi penduduk luar bandar, mereka lebih mementingkan jarak pasar itu sendiri dari rumah mereka. Jadi, agak kurang kemungkinan untuk mereka membeli sayur lebih segar di pasar raya besar. Manakala, penduduk bandar lebih mudah untuk mendapatkan sayur lebih segar, asalkan pasar raya besar itu bersih dan mempunyai kawasan parking yang kondusif.

Jadi, untuk memastikan agar seluruh rakyat Malaysia menerima bekalan sayur yang lebih segar dari para peladang yang berkualiti, kedai-kedai runcit sayur organik perlu dibuka di kawasan perumahan luar bandar. Dan pihak majlis daerah atau perbandaran perlu menetapkan agar dalam setiap pasar tani dan pasar malam, mempunyai tapak penjual sayur organik.

2) Polisi yang menjamin bekalan sayur lebih segar kepada penduduk bandar dan luar bandar

Pastikan seluruh rakyat Malaysia dapat sayur yang lebih segar. Imej dari HBS

Negara kita dikategorikan sebagai negara berpendapatan sederhana atas, serta dianggap sebagai salah satu negara membangun yang paling maju. Namun begitu, kurang daripada dua pertiga rakyat Malaysia tinggal di kawasan bandar. Pembangunan pesat industri di bandar telah mewujudkan pengguna baru yang memiliki kuasa membeli dan kesedaran terhadap kesihatan yang lebih tinggi. Maka, pengguna bandar menuntut produk berkualiti tinggi yang memenuhi standard antarabangsa termasuk sayur-sayuran.

Mereka mengharapkan makanan yang mudah diproses dan makanan dari tanaman yang sihat, selamat dan segar. Oleh kerana pengaruh mereka yang kuat, maka muncul kedai runcit moden dan pasar raya besar yang menyediakan sayur berkualiti berdasarkan standard yang ditetapkan syarikat mereka. Oleh sebab itu, pekebun-pekebun kecil sukar untuk menembusi pasar raya besar di bandar berbanding pasar tani dan pasar malam di kawasan luar bandar.

Oleh itu, amat penting untuk digubal suatu polisi menyeluruh bagi memenuhi standard kualiti sayur yang lebih segar, sama ada penduduk dalam bandar, mahupun luar bandar. Sebelum ini, Dasar Pertanian Negara ketiga telah menggalakkan para pekebun untuk menggunakan Skim Amalan Pertanian Baik (my GAP). Namun, ia hanya untuk memenuhi keperluan pasar raya besar dan perdagangan domestik.

3) Sistem berlapis-lapis untuk membekalkan sayur perlu ditangani untuk mengawal harga sayur

Sayur-sayuran di pasar borong. Imej dari Berita Harian

Selain daripada pasaran sayur segar yang kurang menyeluruh, masih terdapat masalah dengan harga sayur segar seperti sayur organik. Jika kita ada ramai pekebun sayur organik sekalipun, sistem rantaian bekalan yang tidak diurus dengan efektif akan menjadikan sayur yang sampai kepada pengguna menjadi lebih mahal daripada sepatutnya. Pihak FAMA pernah melaporkan bahawa jumlah pekebun yang menjual sayur terus kepada pengguna agak rendah.

Sebilangan pekebun terpaksa menjual hasil mereka melalui suatu sistem berlapis-lapis sebelum sampai ke tangan pengguna. Sebagai contoh, sejumlah hasil sayur perlu melalui pengumpul atau pengangkut yang biasanya bekerja untuk pemborong di pasar tempatan. Pemborong itu tadi akan mengangkut hasilnya itu kepada pemborong di pasar terminal. Di pasar terminal itu pula, hasil sayur itu dijual kepada pemborong atau peruncit pasar raya.

Ini bermaksud produk sayur-sayuran itu dikendalikan oleh lebih ramai orang tengah sebelum kita dapat menikmatinya. Kos sistem pemasaran seperti ini terbukti tinggi dengan kebarangkalian untuk sayur rosak juga tinggi, akhirnya ia ditanggung oleh pengguna ketika membeli. Maka, sistem rantaian bekalan baru perlu dibangunkan berdasarkan sistem penghasilan-pemasaran yang berpusat melalui teknologi canggih atau advanced post-harvest technology bagi memenuhi keperluan pengguna. Ini menjadikan harga sayur lebih berpatutan untuk semua pengguna.

4) Sistem penanaman sayur secara menegak (vertical farming) perlu dimanfaatkan

Ladang sayur ditanam menegak. Imej dari The independent

Senarai-senarai sebelum ini telah mendedahkan tentang masalah saluran pasaran sayur segar yang tidak menyeluruh, polisi tidak seimbang dan sistem rantai bekalan yang berlapis-lapis yang memberi kesan negatif. Dengan tindakan yang lebih praktikal, ia boleh diselesaikan secara berperingkat-peringkat.

Para penyelidik berpendapat, salah satu caranya adalah dengan memperkenalkan sistem penanaman sayur secara menegak (vertical farming). Sistem ini dilakukan dengan menghasilkan tanaman di dalam bangunan, menara atau lereng dan sebagainya, dan menjimatkan sepenuhnya tanah kerana struktur menegaknya yang dapat menampung tumbuhan, haiwan, kulat dan sebagainya. Jika di bandar, ia juga boleh ditanam di dalam kontena-kontena berdekatan kawasan penduduk seperti yang dilakukan oleh syarikat BoomGrow.

Dengan menggunakan sistem bioteknologi, ia dijamin segar dan berkualiti, serta tiada lagi rantaian bekalan berlapis-lapis. Dari hasil penuaian di ladang terus ke tangan pengguna. Dari sini, ladang vertikal ini tadi mampu menjamin harga yang lebih berpatutan, mesra komuniti serta memenuhi standard. Penggunaan sistem ini di kawasan luar bandar juga sangat berkesan kerana dekat dengan komuniti serta mudah dibekalkan kepada pasar tani dan pasar malam.

Secara beransur-ansur kita akan dapat saksikan masalah-masalah berkaitan kesihatan akan menurun sedikit demi sedikit

Gaya hidup kini yang berdepan dengan teknologi moden serta kesibukan bekerja telah membawa kita semua kepada rutin harian yang tidak sihat.  Laporan Nutrisi Global 2018 menunjukkan Malaysia satu-satunya negara Asia Tenggara yang menghadapi ketiga-tiga masalah iaitu, bantut, obesiti dan anaemi (kekurangan zat besi). Jadinya, amat penting untuk diselesaikan masalah ini secara lebih efektif dan berkesan tanpa berlengah lagi.

Dengan membekalkan sayur-sayuran lebih segar, selamat, dekat dengan komuniti serta harga berpatutan adalah amat penting buat masa ini. Apabila rakyat Malaysia berjaya mengamalkan rutin memakan sayur yang lebih segar, secara beransur-ansur kita akan dapat saksikan masalah-masalah berkaitan kesihatan akan menurun sedikit demi sedikit sehingga generasi akan datang.

Kalau anda teringin nak dapatkan sayur-sayuran yang berkhasiat yang menggunakan konsep ladang vertikal, anda boleh dapatkan dengan kawan kami di BoomGrow, mereka tanam sayur dengan teknologi moden dan mampu memenuhi keperluan nutrisi anda!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *