Kisah Azizulhasni Awang ditertawakan orang Malaysia ketika berbahasa Inggeris

Kisah Azizulhasni Awang ditertawakan orang Malaysia ketika berbahasa Inggeris

Prestasi jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang tidak banyak terkesan walaupun dunia dilanda pandemik COVID-19. Dia bersama rakan senegara, Shah Firdaus telah menduduki tempat pertama dan kedua masing-masing dalam Kejohanan Trek Elit Victoria. Kejayaan ini pastinya menjadi pembakar semangat untuk dia menghadapi kejohanan berprestij Sukan Olimpik Tokyo 2020/2021.



Dalam cerita kejayaan demi kejayaannya, nampaknya ada cerita di luar trek basikal yang lebih mendalam dan memberi pengajaran yang dikongsinya baru-baru ini. Oleh kerana, isu video seorang DJ radio Hitz Sarawak yang mentertawakan seorang guru Sains yang mengajar di Didik TV, dia memberi respons dengan berkongsi pengalamannya sewaktu bertutur bahasa Inggeris di negara asing.

Yang si perempuan tu gelakkan sambil berpusing ke belakang dan meletakkan tangan ke dahinya

Gambar ketika baru sampai di Melbourne. Imej dari FB Azizulhasni Awang

Pada tahun 2007, Azizulhasni Awang baru sahaja tiba di Melbourne, Australia. Dia dan rakan sepasukannya telah menghadiri sebuah parti BBQ dengan sekumpulan komuniti Melayu di sana. Parti ini adalah aktiviti biasa di perantauan yang mana mereka akan berkumpul di taman sambil masak-masak BBQ. Dalam komuniti itu juga ramai antaranya mereka yang melanjutkan PhD.

Oleh kerana sikapnya yang suka mengambil bahagian dalam perbualan, maka dia pun berbual dengan komuniti tersebut walaupun tidak kenal sepenuhnya. Baginya, ini bertujuan untuk meningkatkan komunikasi serta penguasaan bahasa Inggeris yang ketika itu pada tahap biasa-biasa sahaja.



Dalam perbualan itu, pelbagai isu disentuh termasuklah berkaitan Kromosom, DNA dan berkaitan perubatan. Dalam fikirannya ketika itu terfikir mengenai kereta Proton Gen 2 yang biasa disebut di Malaysia dengan ‘Jen Tu’.  Jadi, dengan yakin dia telah menyebut ‘Jen’ bagi merujuk kepada ‘Gene’ yang mana sebutan sepatutnya adalah ‘Jin’

“Terus saya digelakkan oleh dua pelajar PhD yang berbangsa Melayu. Yang si perempuan tu gelakkan sambil berpusing ke belakang dan meletakkan tangan ke dahinya. Dan yang lelaki pula acah-acah tersembur air dari mulutnya yang ketika itu tengah minum air sirap merah. Kedua-keduanya langsung tidak memberitahu akan kesilapan saya itu dan saya tahu pun selepas ada antara rakan mereka itu menceritakan kepada saya setelah dicanang-canang kisah tersebut.” – tulis Azizulhasni Awang

Berdepan dengan situasi tersebut, dia langsung tidak merasa sakit hati dan marah kerana dia masih dalam proses untuk belajar. Tulisnya lagi, itulah sikap segelintir orang kita ketika itu pada tahun 2007, dan pada era tahun 2021, masih lagi ramai yang mempunyai perangai menggelabah seperti itu.

Bukannya nak puji mereka, tapi akhlak mereka sangat jauh terpuji dari bangsa kita

Sepanjang pengalamannya, dia rasa amat berbeza sekali apabila bertutur bahasa Inggeris dalam kalangan Mat Salleh (orang Barat). Baginya, mereka lebih berakhlak walaupun dia tersilap keetika berkomunikasi. Mereka akan membantu memperbetulkan dari segi tatabahasa atau pun sebutan serta sebagainnya. Langsung tidak mentertawakan, memperlekehkan atau memerli.

Perkongsiannya ini bukan mahu mempertahankan kesalahan dalam bahasa Inggeris, tetapi jangan pernah memperlekeh dan merendah-rendahkan orang lain atas sebab sebegitu. Pesannnya lagi, untuk mereka yang kurang fasih, jangan bangga untuk tidak fasih, tetapi ambil peluang untuk belajar memperbaikinya. Untuk mereka yang fasih, bantulah mereka yang kurang fasih itu tadi.

Bukankah satu perasaan yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit apabila kita berjaya membantu orang lain. Dan jika semua dari kita mempunyai sikap yang sama seperti ini, tidak ada sebab untuk masyarakat kita tidak melangkah maju ke hadapan.” – tulis Azizulhasni Awang

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *