Kampung akan dinyahkuman. Wabak Demam Khinzir ASF tersebar di daerah di Sabah

Kampung akan dinyahkuman. Wabak Demam Khinzir ASF tersebar di daerah di Sabah

Berikutan penemuan virus Demam Babi Afrika (ASF) di dalam babi yang diternak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS) pada 23 Februari 2021, mengisytiharkan wabak Demam Babi Afrika (ASF) di daerah Pitas. Menurut Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan, jabatan berkenaan telah diberikan kuasa di bawah Subseksyen 45(1) Enakmen Haiwan 2015, untuk mengambil tindakan bagi mencegah penularan wabak itu.

“Demam Babi Afrika (ASF) adalah penyakit virus babi yang serius, yang boleh menyebabkan demam, pendarahan dalaman dan kadar kematian yang tinggi. Ia sangat mudah berjangkit dan boleh merebak dengan cepat melalui hubungan langsung dan tidak langsung dengan babi atau produk babi yang dijangkiti.” – Petikan dari Inspection.gc.ca



Kampung dan premis terjejas akan dinyahkuman

Imej dari Swineweb

Seperti yang disebutkan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, pihak JPVS akan diberi kuasa termasuk  memusnahkan babi di kawasan terjejas, mengawal pergerakan babi dan penjualan produk daging babi yang berasal dari kawasan terjejas. Tambahan pula, kampung dan premis terjejas akan dinyahkuman dan kerajaan menerusi JPVS akan melaksanakan kempen kesedaran untuk meningkatkan kefahaman orang ramai tentang penyakit ini.

Operasi pemusnahan kesemua babi yang terjejas akan dilakukan secepat mungkin kerana ASF merupakan penyakit yang sangat mudah berjangkit dan tiada ubat atau vaksin untuk mencegah penyakit itu. Demi menjaga kebajikan penternak, kerajaan akan menimbang untuk memberikan pampasan kepada penternak yang babi mereka dimusnahkan oleh JPVS, berdasarkan kadar yang akan ditentukan kemudian.



Langkah kawalan ini akan diselaraskan menerusi jawatankuasa pengurusan bencana daerah dan dijangka diselesaikan dalam masa enam bulan.

Kerajaan Sarawak melarang babi dan produk dagingnya dari Sabah

Matlamat utama kerajaan negeri Sabah ketika ini adalah untuk menghentikan penyakit ini daripada merebak ke ladang babi secara komersial di Tuaran, Kota Kinabalu, Papar, Sandakan dan Tawau. Buat masa sekarang, penyakit ASF tidak menjejaskan pengeluaran daging babi untuk kegunaan domestik yang dianggarkan bernilai RM300 juta setahun.

“Kami mengambil maklum keputusan kerajaan Sarawak yang melarang babi dan produk dagingnya dari Sabah. Bagaimanapun, kami yakin larangan itu tidak akan memberikan kesan yang besar kepada industri daging babi di Sabah,” – kata Dr Jeffrey Kitingan di Astro Awani

Beliau turut mengulangi bahawa ASF yang merupakan penyakit khusus untuk babi, tidak berbahaya kepada manusia. Pihak JPVS juga sedang melakukan Banci Ternakan di seluruh negeri untuk mengumpul data lengkap mengenai industri ternakan dan perkhidmatan veterinar bagi membantu merangka dasar, kawalan penyakit dan program lain.

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *