Pencipta tudung bilik bedah hospital UK, Dr Farah kongsi pengalaman divaksin awal

Seperti yang ramai tahu, nama Dr Farah Shaheera Roslan yang dilahirkan di Negeri Sembilan menjadi sebutan dan bualan ramai selepas usaha beliau mencipta hijab pakai buang ketika berada di dalam dewan bedah mendapat sambutan positif. Lebih menarik lagi, idea pegawai perubatan berusia 27 tahun tersebut turut mendapat pengiktirafan Mary Seacole NHS Leadership Academy Award 2020 termasuk dicalonkan dalam British Muslim Award 2020.
Pengaruhnya yang kuat ini telah dimanfaatkan sebaiknya apabila berkongsi pengalamannya selepsa disuntik vaksin kepada kita semua terutamanya rakyat Malaysia. Perkongsian tersebut dizahirkan menerusi klip video ringkas yang dimuat naik laman sosial Instagramnya @drfarahroslan baru-baru ini.
Saya cuma mengalami sengal-sengal lengan sahaja

Doktor pelatih pakar bedah yang kini bertugas di Northampton General Hospital, United Kingdom (UK), Dr Farah menyeru rakyat Malaysia melunaskan tanggungjawab bersama untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19. Baginya, sebagai salah seorang penerima terawal vaksin di UK, beliau ingin mengajak rakyat Malaysia terutamanya kumpulan berisiko tinggi seperti barisan petugas hadapan dan warga emas supaya mendaftar dan mendapatkan suntikan vaksin.
“Saya telah menerima suntikan vaksin Covid-19 pada 7 Januari 2021. Alhamdullilah, saya cuma mengalami sengal-sengal lengan sahaja. Justeru, saya ingin menyeru rakyat Malaysia agar beramai-ramai mengambil suntikan ini (vaksin) bukan sahaja demi kesihatan diri, malah untuk menjaga ahli keluarga tersayang dan masyarakat,” titip Dr Farah dalam video berdurasi 20 saat itu
Hukum pengambilan vaksin adalah harus/wajib
Dia turut berkongsi mengenai fakta bahawa Mufti Wilayah Persekutuan juga telah memutuskan hukum pengambilan vaksin adalah harus/wajib selaras dengan sabda Rasulullah (saw), “Tidak boleh melakukan sesuatu yang memudaratkan dan tidak boleh memberikan mudarat kepada orang lain” [HR Ibnu Majah]*
Marilah kita bersama-sama memainkan peranan dalam membanteras wabak COVID-19 ini bukan sahaja untuk menjaga kemaslahatan diri sendiri, tetapi orang yang kita sayangi juga. Dalam perkembangan berkaitan, Dr Farah menyatakan Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 akan bermula secara berperingkat pada 26 Februari 2021 di seluruh Malaysia.
Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat