Pelawak Atu Zero rebah diserang strok haba. Ini tanda-tanda awal penyakit itu

Cuaca yang agak panas boleh mendatangkan pelbagai penyakit, lagi-lagi untuk mereka yang aktif dengan aktiviti yang terdedah dengan sinaran matahari terlalu lama. Seorang pelawak terkenal, Atu Zero telah diserang strok haba lalu dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Isterinya, Shafeeqa Johari telah berkongsi detik-detik cemas sepanjang kejadian Atu Zero diserang penyakit itu.
“Saya ingatkan dia penat sangat disebabkan sehari suntuk menjalani penggambaran semalam. Selepas solat Isyak, dia terduduk lama sebelum tiba-tiba pitam dan rebah depan saya.” – kata Shafeeqa Johari
“Atu pun ada juga mengadu tidak dapat merasa separuh tangannya sebelum ini.”

Selepas bergegas ke hospital dan mendapatkan rawatan, dia telah disahkan doktor mengalami strok haba sehingga terpaksa ditahan di hospital untuk rawatan lanjut. Doktor yang merawatanya mengatakan bahawa badannya kekurangan air disebabkan cuaca panas yang melanda sekarang.
“Doktor juga menyatakan strok haba berbahaya dan mampu membuatkan badan lumpuh jika tidak dirawat dengan segera. Malah, Atu pun ada juga mengadu tidak dapat merasa separuh tangannya sebelum ini.“
Menurut isterinya, Atu diminta berehat sepenuhnya buat masa ini meskipun suaminya tidak keruan untuk kembali bekerja. Pihak doktor sudah memasukkan air sebanyak dua botol ke dalam badannya. Kemungkinan besar, dia akan dibenarkan keluar dari wad secepat mungkin.
“Namun begitu, dia perlu berehat paling kurang tiga hari sebelum boleh bekerja semula. Atu memang sentiasa terfikir komitmen kerjanya yang tertangguh, namun buat masa ini dia kena lupakan seketika,”
Elakkan aktiviti fizikal apabila berada dalam keadaan letih, lapar atau dahaga
Untuk pengetahuan semua, strok haba berlaku apabila suhu badan meningkat dengan cepat (41 darjah celcius atau lebih) akibat terdedah kepada cuaca panas yang berterusan semasa menjalankan aktiviti fizikal. Punca ia berlaku kepada seseorang kerana individu tersebut kekurangan air dan garam galian dalam badan dalam jumlah yang banyak.
Pihak MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah berkongsi tanda-tanda atau gejala-gejala seseorang itu diserang strok haba. Senarainya seperti dibawah:
- Peningkatan suhu badan secara mendadak (41°C)
- Denyutan jantung menjadi cepat
- Pernafasan cepat dan pendek
- Tekanan darah menurun
- Badan kering dan panas
- Tidak selesa, keliru dan mungkin menjadi tidak sedar
- Rasa kepala berpusing
- Pening
- Rasa mual
- Sawan atau pengsan
Untuk mencegah ia dari berlaku seseorang itu boleh elakkan melakukan aktiviti fizikal apabila berada dalam keadaan letih, lapar atau dahaga yang keterlaluan di bawah sinaran matahari yang berpanjangan, banyakkan minum air kosong 3-4 liter sehari dan amalkan pemakanan sihat dan seimbang.
Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat