Tidak berdaftar dengan KKM, usahawan Amyera Beauty bersalah dan didenda RM10,500

Tidak berdaftar dengan KKM, usahawan Amyera Beauty bersalah dan didenda RM10,500

Pada 8 Mac 2021, usahawan kosmetik popular didenda RM10,500 di Mahkamah Majistret, selepas mengaku bersalah atas lima tuduhan kerana memiliki produk tidak berdaftar dan tanpa notifikasi Kementerian Kesihatan (KKM), pada tahun 2019. Orang Kena Saman (OKS), Fatin Amiera Zainal Abidin, 32, yang mewakili Syarikat Amyera Beauty membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, M Barath.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa kerana memiliki barang kosmetik tidak bernotifikasi membabitkan produk Amyera Beauty Flawless Day Cream, Amyera Beauty My Secret Cleanser, Amyera Beauty Flawless Night Cream, Flawless Booster Cream dan Flawless Acne & White Black Head Cream.

Berlaku di premis milik usahawan berkenaan di Amyera Beauty, Neo Damansara

Produk Amyera Beauty

Kesalahan itu didakwa berlaku di premis milik usahawan berkenaan di Amyera Beauty, Neo Damansara, Jalan PJU 8/1 Bandar Damansara Perdana, di sini, jam 11.30 pagi pada 19 Februari 2019. Fatin Amiera didakwa mengikut Peraturan 18A(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 iaitu:

  • Kesalahan di bawah Peraturan 18A(15) peraturan sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952
  • Yang jika sabit kesalahan boleh didenda hingga RM 25,000
  • Dan bagi kesalahan seterusnya hingga RM 50,000.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau sebulan penjara jika gagal membayar denda bagi pertuduhan pertama, RM3,500 atau penjara dua bulan (kedua), RM1,500 atau penjara sebulan (ketiga), RM3,000 atau penjara dua bulan (keempat) dan RM1,500 atau penjara sebulan (kelima).

Fatin Amiera kemudian membayar kesemua denda itu. Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Bahagian Perkhidmatan Farmasi Jabatan Kesihatan Selangor, Mohd Syahnizam Mohd Kassim.

Saya sudah tidak menjual produk itu dan ketika serbuan dibuat semua produk ada dalam kotak

Terdahulu, Mohd Syahnizam memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap Fatin Amiera Zainal Abidin berikutan, semua produk kosmetik perlu ada kelulusan mengikut syarat ditetapkan. Bagaimanapun, Fatin Amiera yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman denda minimum.

“Saya sudah tidak menjual produk itu dan ketika serbuan dibuat semua produk ada dalam kotak. Sebenarnya semua produk itu sudah didaftarkan di bawah KKM namun selepas tamat tarikh luput saya tidak memperbaharuinya. Memang silap saya simpan semua produk itu dalam kotak,”- kata Fatin Amiera

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: t.me/kitasihat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *