Denda RM10,000 langgar SOP telah bermula. Ini senarai kesalahan yang dikompaun

Bermula Khamis (11 Mac 2021), individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikenakan kompaun RM10,000. Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, ia susulan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan mulai jam 12.01 tengah malam 11 Mac 2021.
Katanya lagi, notis kompaun yang ditulis adalah bernilai RM10,000 jika melanggar SOP, namun ia bergantung kepada budi bicara pegawai yang diberi kuasa iaitu Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) untuk menetap nilai sebenar kompaun yang dikenakan.
Bukan untuk menghukum berlebih-lebihan, tetapi peringatan untuk terus patuh melawan COVID-19
“Keputusan menaikkan nilai kompaun itu bagaimanapun bukan untuk menghukum orang ramai secara berlebih-lebihan atau membolehkan kerajaan mengutip wang daripada orang ramai. Di sebalik pindaan ini dibuat untuk bertujuan mengingatkan orang ramai bahawa perang ke atas Covid-19 masih belum tamat,” – kata Ketua Polis Negara
Bagaimanapun individu yang dikenakan kompaun boleh memohon rayuan kepada Pegawai Kesihatan Daerah untuk dipertimbangkan jumlah bayaran mengikut budi bicara. Maklumat penting yang perlu kita semua tahu adalah seperti senarai berikut:
- Kompaun maksimum RM10,000 itu hanya dikenakan kepada kesalahan berulang yang dilakukan.
- Cara mengesan individu yang melakukan kesalahan berulang adalah menerusi sistem yang dibangunkan.
- Pesalah ini meliputi individu yang tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan fizikal, premis gagal menyediakan pengimbas suhu badan, cecair pembasmi kuman, bersesak dalam premis tanpa kawalan dan hiburan tanpa lesen.
Pastikan anda bukan pesalah yang degil dan lakukan kesalahan berulang
Sebagaimana Ketua Polis Negara sarankan sebelum ini, sasaran nilai tinggi adalah pesalah yang degil dan melakukan kesalahan berulang. Nama mereka dah masuk dalam sistem tersebut. Inilah patut dikenakan denda tinggi tak semestinya RM10,000 dan ini bergantung budi bicara pegawai yang mengenakan kompaun.
Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: t.me/kitasihat