Mahu belikan ubat untuk ibu. Seorang remaja dikompaun RM10,000 gagal imbas kod QR

Sejak denda atau kompaun sebanyak RM10,000 diperkenalkan, pelbagai isu yang telah muncul. Kita masih ingat sebelum ini tular isu pekedai dikompaun gara-gara membuka pelitup muka sewaktu sedang minum air, walaupun ketika ketiadaan pelanggan.
Nampaknya ia muncul kembali, kali ini isu melibatkan kompaun berulang di Melaka.
Remaja berusia 17 tahun telah dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 kerana gagal mengimbas kod QR
Berlaku di sebuah kedai runcit di Batu Berendam, Melaka seorang remaja berusia 17 tahun telah dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 kerana gagal mengimbas kod QR melalui aplikasi MySejahtera.
Menyedihkan lagi, dia yang pada ketika itu dalam keadaan terburu-buru ke kedai runcit berdekatan rumahnya untuk mendapatkan ubat paracetamol buat ibunya, telah ditahan oleh pihak polis yang berpakaian biasa dan dikenakan kompaun tanpa berpeluang menjelaskan situasi yang berlaku.
Tambah pelajar ini lagi, dia turut mempunyai adik yang masih bersekolah serta gaji bapanya yang tidak banyak serta ibunya yang cuma suri rumah mungkin menyukarkan keluarganya untuk membayar kompaun yang dikenakan.
Pelajar berkenaan berpeluang mengurangkan kadar kompaun menerusi rayuan
Walau bagaimanapun, dia akui faham dengan tugas pihak polis yang sekadar menjalankan tugas serta akan berusaha untuk memohon untuk mengurangkan kadar kompaun bagi meringankan beban ibu bapanya.
Isu yang tular ini turut mendapat perhatian Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad yang memaklumkan pelajar berkenaan berpeluang mengurangkan kadar kompaun menerusi rayuan pada pegawai kesihatan Melaka Tengah yang bertanggungjawab.
Sejak kadar kompuan dinaikkan kepada RM10,000 11 Mac lalu, dilaporkan seramai 1,377 individu telah disaman seluruh Malaysia.
Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: t.me/kitasihat