Kalahkan Kento Momota dan layak ke final All England. Ini kisah inspirasi Lee Zii Jia

Kalahkan Kento Momota dan layak ke final All England. Ini kisah inspirasi Lee Zii Jia

Selepas terkandas di separuh akhir All England tahun lalu lalu, Lee Zii Jia menebus kekecewaan dengan melangkah ke final badminton All England di Birmingham tahun ini. Menang mudah di set pembukaan, perseorangan lelaki No. 1 negara itu bagaimanapun dipaksa berhempas pulas di set kedua sebelum menang 21-13, 21-17 ke atas Mark Caljouw dari Belanda.

Sebelum ini, beliau mengejutkan pemain nombor satu dunia, Kento Momota dalam aksi suku akhir All England. Beliau yang berumur 23 tahun menutup mulut pengkritik yang meragui kemampuannya sebelum ini apabila tampil dengan prestasi meyakinkan untuk menundukkan Momota menerusi kemenangan straight set 21-16, 21-19.

Ini adalah kemenangan pertama Zii Jia ke atas Momota selepas tewas dalam semua enam pertemuan sebelum ini. Kisah kejayaan Lee Zi Jia ini pastinya menggembirakan peminat sukan badminton tempatan. Di sebalik semua ini, mungkin ramai tak tahu bahawa suatu ketika dahulu, Lee Chong Wei pernah memberikan nasihat penting kepadanya.

Lee Zi Jia kongsi nasihat berharga Lee Chong Wei kepadanya

Pemain badminton dari Alor Setar, Kedah itu, berhasrat untuk menempa namanya sendiri setelah Lee Chong Wei bersara pada tahun 2019. Walaupun begitu, ini tidak bermakna beliau tidak akan menimba ilmu daripada Lee Chong Wei. Dalam satu temubual, beliau pernah berkongsi mengenai nasihat berharga Lee Chong Wei kepadanya.

Katanya, Lee Chong Wei sentiasa terbuka pada bila-bila masa untuk memberi nasihat kepadanya.

“Dia senior yang sangat baik. [Chong Wei] mengatakan kepada saya sebelumnya, bila-bila masa saja, di mana sahaja, jika saya mempunyai masalah, saya hanya boleh menelefonnya dan mungkin bertemu dengannya. Sudah tentu dia akan membantu.

[Satu] nasihat yang dia berikan kepada saya pada masa lalu adalah, ‘Jurulatih mungkin hanya dapat membantu anda 20 peratus dalam karier anda, dan 80 peratus baki adalah milik anda sendiri. Semuanya ada di tangan anda sendiri. Anda tidak boleh hanya bergantung pada jurulatih (seolah-olah) mereka harus menolong anda sepanjang masa. Kadang kala semasa anda berjuang, anda harus menghadapinya sendiri. 

Saya rasa dia cuba memberitahu saya mungkin saya harus lebih berdisiplin dan lebih keras pada diri saya. Itulah nasihat yang diberikannya kepada saya.” – kata Lee Zi Jia

Berapa banyak kalori terbakar apabila main badminton suka-suka?

Kisah inspirasi Lee Zi Jia ini pastinya akan menaikkan semangat kita semua untuk bermain badminton bersama rakan-rakan semula. Untuk pengetahuan semua, secara puratanya, seseorang itu membakar 475-525 kalori sejam bermain permainan badminton sosial. Dengan permainan yang kompetitif, mereka akan membakar 500-675 kalori setiap jam.

Jumlah kalori yang dibakar bergantung pada berat badan anda dan intensiti tahap permainan anda. Seseorang yang mempunyai berat 200 paun (90.8kg) akan membakar 668 kalori dalam satu jam permainan badminton yang kompetitif. Seseorang yang seberat 150 paun (68kg) akan membakar 394 kalori sejam dalam permainan badminton sosial.

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: t.me/kitasihat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *