Sayur luar negara tumbuh di Ampang. Kisah tiga sekawan bina ladang sayur berteknologi AI

Sayur luar negara tumbuh di Ampang. Kisah tiga sekawan bina ladang sayur berteknologi AI

Semakin hari, menu sayur-sayuran semakin mendapat tempat dalam pemakanan rakyat Malaysia. Maklumat-maklumat mengenai resepi dan kebaikan sayur-sayuran yang dipaparkan di Internet, sedikit sebanyak telah mempengaruhi perkembangan ini. Sehinggakan sayur dari luar negara seperti kobis kerinting (Curly Kale) pun dijadikan kerepek.

Menariknya, sayur seperti ini semuanya salah satu sayur yang diimport dari luar negara. Malaysia mengimport RM1 bilion sayur berdaun dari Australia, China dan Jepun. Memang banyak. Tapi, macam mana kalau kami katakan sayur-sayuran yang diimport ini telah pun berjaya ditanam di Malaysia dan ladangnya begitu dekat dengan komuniti?

Itulah yang telah dibangunkan oleh tiga orang teman ini yang merupakan pengasas bersama Boomgrow yang menanam sayur menggunakan konsep ladang menegak (vertical farming), iaitu Jay Desan, K. Muralidesan dan Shan Palani. Hanya dengan teknologi 5G dan algoritma AI, mereka berjaya membangunkan ladang sayur luar negara yang bebas dari pengunaan racun serangga, serta mampu dihasilkan dalam skala yang besar.

Nak dapatkan sayur yang sihat, kita mesti dapatkan dari Australia. Kenapa kita tak tanam sahaja di sini?

Shan, Jay dan Murali. Pengasas bersama Boomgrow

Dari persahabatan yang erat antara mereka bertiga, ditambah pula pengalaman berharga pasangan suami isteri di antara Murali dan Jay Desan di London, sedikit sebanyak telah mencetuskan idea untuk mengubah cara pemakanan rakyat Malaysia.

“Saya (Jay) dan suami (Murali) mempunyai pengalaman tinggal di luar negara. Gaya hidup di sana sangat berbeza. Kerana kami hidup dan beli produk-produk yang sangat ringkas dan bersih. Tiada bahan kimia, Tiada racun serangga. Semuanya buatan tempatan. Kami tak beli barang yang dihasilkan oleh luar negara. Ia sangat berpatutan dan sangat mudah didapati.

Apabila pulang ke Malaysia, kami dapati produk sayur segar sangat mahal. Kami dapati juga agak sukar untuk mencari yang bebas dari penggunaan racun serangga. Jadi, dari situ kami terfikir tentang bagaimana kita boleh memperbaiki semula penghasilan produk ini.

Sebagai contoh, kalau kita nak dapatkan sayur yang sihat, kita mesti dapatkan dari Australia. Kenapa kita tak tanam sahaja di sini? Di situlah bermulanya Boomgrow.” – kata Jay Desan

Saudari Jay Desan, yang merupakan graduan PhD telah mempunyai banyak pengalaman menjadi penasihat kepada syarikat besar di dalam dan luar negara, dalam hal berkaitan kelestarian alam, sama ada dalam memperkenalkan polisi atau amalan lestari.  Maka, semua persoalan ini telah menggerakkan mereka bertiga untuk memperkenalkan penanaman sayur yang bebas penggunaan racun serangga serta dekat dengan komuniti setempat.

Telah mencuba kaedah hidroponik dan akuaponik, namun ladang menegak lebih tepat teknologinya

Ladang sayur menegak indoor. Imej dari Boomgrow

Menjelang tahun tahun 2050, populasi dunia dijangka meningkat menjadi 9.7 bilion orang, dua pertiga daripadanya adalah di Asia-Pasifik. Memberi makan kepada semua orang pasti akan menjadi cabaran besar, kata Jay Desan. Semakin ramai orang, semakin banyak mulut yang memerlukan makanan. Semakin banyak makanan diperlukan, semakin banyak tanah akan digunakan untuk perladangan dan pertanian.

Ia akan membawa lebih banyak hutan yang akan ditarah untuk pertanian dan perladangan. Sekaligus kerosakan alam sekitar menjadi semakin berleluasa dan kita tidak boleh hidup secara lestari lagi. Sebenarnya, tidak salah untuk kita menghasilkan makanan secara berhemah dan pada masa sama menyelamatkan Bumi tercinta ini.

Sebelum ini, ketiga-tiga pengasas Boomgrow ini telah mencuba pelbagai kaedah penanaman yang dah sedia ada seperti hidroponik dan akuaponik. Namun, kesemuanya menimbulkan beberapa masalah. Untuk hidroponik, ia memerlukan paip dan pam yang akhirnya tersumbat dan menghasilkan lumut yang agak sukar untuk diuruskan. Ia sama sekali tidak efisien untuk penanaman berskala besar dan hanya berguna untuk menanam secara hobi.

Bagi kaedah hidroponik pula, ia perlu mempunyai pH air yang seimbang dan memerlukan hidupan air seperti ikan untuk menjayakannya. Ia tetap tidak efisien dan sukar dilakukan untuk tanaman berskala besar. Maka, penanaman secara menegak (vertical farming) adalah kaedah terbaik untuk penanaman berskala besar dan bebas dari racun serangga.

“Ladang menegak menjanjikan ketahanan dan kecekapan. Ketahanan ini bermaksud kita tak perlu lalui rantaian bekalan yang panjang. Kita terletak sangat dekat dengan komuniti tempatan di bandar. Oleh kerana kami lakukan secara indoor, teknologi kami tepat. Kami tidak terkesan oleh persekitaran luar. Sama ada jerebu, bekalan air terputus, ribut dan apa-apa sahaja. Kami boleh teruskan menanam untuk memastikan bekalan sayur segar secara konsisten.”

Sayur-sayuran Boomgrow ditanam di bawah lampu buatan dengan sensor Internet of Things (IoT) bagi mengesan segala-galanya dari segi perubahan warna daun hingga komposisi nitrat. Ini ditambah dengan pemebelajaran mesin dan algoritma kecerdasan buatan (AI).

Tak perlu lagi datang dari Australia, ia sudah ada di Ampang

Ladang yang dekat dengan komuniti dan kawasan penduduk

Dengan kelengkapan teknologi yang ada, komposisi bahan yang diperlukan sayur untuk tumbuh boleh dilakukan dengan mudah sekali. Begitu juga sayur-sayuran yang dulunya hanya sesuai ditanam di negara lain, kini boleh tumbuh di Malaysia. Disebabkan misi Boomgrow yang mahu mengurangkan kebergantungan kepada sayur-sayuran import, maka fokusnya adalah menghasilkan sayur yang kita import sebelum ini.

“Sebenarnya, kami tidak menanam sayur seperti pak choi, kami tak bersaing dengan pekebun tempatan. Kalau mereka mengimport 1 bilion sayur berdaun dari Australia. Itu yang kami mahu tawarkan juga.

Pengguna hari ini boleh dapatkan sayur-sayuran seperti Curly Kale, Swiss Chard dan Rocket Arugula di Ampang. Ia tak perlu lagi datang dari Australia. Jadi, kami hasilkannya di Malaysia. Ia adalah keluaran tempatan untuk komuniti tempatan. Dan kami juga menghasilkan pekerjaan untuk orang tempatan. Jadi, syarikat kami juga menyumbang dalam pembangunan negara ini.” – kata Jay Desan

Setelah membaca kisah dan inspirasi ini, korang boleh cuba rasa dan dapatkan sayur Boomgrow yang berpatutan serendah RM45.00. Cukup lengkap pakejnya dengan sayur Lollo Rosso , Bionda, Butterhead, Kale, Rocket dan Mint percuma. Jika anda berada di sekitar Lembah Klang dan Langkawi, boleh buat tempahan di sini. Penghantaran akan dibuat dalam lingkungan 6 jam selepas dituai.

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *