Mulai 30 Mac, beberapa kawasan di Selangor & KL terputus bekalan air 48 hingga 68 jam

Sebanyak 89 kawasan di wilayah Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang dan Shah Alam akan mengalami gangguan air berjadual antara 48 hingga 68 jam bermula 30 Mac dan 6 April depan.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri dalam kenyataan, berkata ia berikutan kerja-kerja penyelenggaraan secara berjadual untuk beberapa aset utama Air Selangor tahun ini.
Katanya, tindakan itu diambil bagi memastikan pengguna mendapat perkhidmatan bekalan air yang berterusan dan ia sudah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Beberapa loji air ditutup bagi kerja-kerja penggantian injap
Kerja-kerja penggantian injap di jajaran paip air mentah dari Empangan Klang Gates akan dilakukan jam 9 pagi 6 April, dan menyebabkan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Bukit Nanas dan Wangsa Maju yang bakal menyebabkan gangguan bekalan air berjadual selama 68 jam.
Berikutan henti tugas ini, 12 kawasan di Wilayah Gombak dan 46 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan air berjadual.
Kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu berdekatan kilang Carlsberg di Persiaran Selangor Seksyen 15, Shah Alam akan dijalankan pada 30 Mac 2021 bermula jam 9 pagi yang bakal menyebabkan gangguan bekalan air berjadual selama 48 jam.
Kerja-kerja ini akan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di 5 kawasan di Wilayah Petaling, 14 kawasan di Wilayah Klang dan 12 kawasan di Wilayah Shah Alam.
Untuk maklumat lanjut dan senarai kawasan gangguan sila klik di sini: Senarai kawasan putus bekalan air.
Walaupun tiada bekalan air seketika, pastikan anda minum air secukupnya
Setiap hari anda kehilangan air dalam badan melalui nafas, peluh, kencing dan buang air besar. Untuk badan anda berfungsi dengan baik, anda mesti menambah bekalan airnya dengan mengambil minuman dan makanan yang mengandungi air.
Oleh itu, berapa banyak cecair yang diperlukan oleh rata-rata orang dewasa yang sihat yang hidup dalam iklim sederhana? Akademi Sains, Kejuruteraan dan Perubatan Kebangsaan A.S. menetapkan bahawa pengambilan cecair harian yang mencukupi adalah:
- Kira-kira 15.5 cawan (3.7 liter) cecair sehari untuk lelaki
- Kira-kira 11.5 cawan (2.7 liter) cecair sehari untuk wanita
Cadangan ini merangkumi cecair dari air, minuman dan makanan lain. Kira-kira 20% pengambilan cecair harian biasanya berasal dari makanan dan selebihnya dari minuman.
Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat