Seorang koperal dan anak 7 tahun ditemui mati dalam kereta. Ini kata laporan polis

Berita yang sangat tragis dan menyayat hati apabila seorang anggota polis berpangkat koperal dan anaknya yang berusia tujuh tahun ditemui mati di dalam kereta di Jalan Widuri 1, Taman Sentosa Jaya, Seremban, petang Khamis (25 Mac 2021).
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.42 petang, 25 Mac yang memaklumkan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun bersama seorang kanak-kanak lelaki telah meninggal dunia dalam sebuah kereta jenis Proton Wira.
“Hasil siasatan awal mendapati lelaki itu telah membunuh diri,” – kata Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim
Polis turut menemui pistol pasukan dipercayai miliknya di lokasi kejadian. Beliau berkata punca kejadian masih dalam siasatan dan kes diklasikasikan sebagai mati mengejut.
“Hasil siasatan awal mendapati lelaki itu telah membunuh diri dengan menggunakan pistol pasukan dan kita percaya dia menembak anaknya sendiri sebelum itu. Terdapat kesan tembakan di bahagian kepala pada kedua-dua mayat,” – katanya lagi
Pihak polis telah mengesan dan mencatatkan sebanyak 266 kes bunuh diri sejak PKP dilaksanakan
Pandemik COVID-19 bukan sahaja menjatuhkan ekonomi, malah menganggu kesihatan mental ramai orang. Ini terbukti apabila sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa di seluruh negara, pihak polis telah mengesan dan mencatatkan sebanyak 266 kes bunuh diri.
25 peratus daripadanya disebabkan beban hutang yang tinggi, 4 peratus disebabkan masalah keluarga, diikuti kes rumah tangga sebanyak 23 peratus, dan 15 peratus lagi atas faktor cinta.
Selain itu, punca bunuh diri yang lain termasuk bebanan kerja, halusinasi, mental, media massa serta dadah pula direkodkan sebanyak 13 peratus. Apa yang pasti, masalah ini boleh terjadi kepada sesiapa saja – tanpa mengira umur, jantina dan pangkat.
Maka ketika ini, perlulah kita mencari jalan penyelesaian bagi menepis segala stigma negatif yang ada, selain mencegah dari berlakunya segala kejadian yang tak diingini.
Mendapatkan rawatan awal sekiranya mempunyai simptom-simptom gangguan mental
Oleh itu, salah satu cara terbaik adalah dengan mendapatkan rawatan awal sekiranya mempunyai simptom-simptom gangguan mental. Tapi, mungkin masih ramai yang tidak tahu di mana boleh mendapatkan rawatan itu. Berikut adalah saluran yang boleh membantu kita semua:
- Hospital kerajaan: Bayaran yang dikenakan juga cukup berpatutan iaitu cuma RM30 untuk sesi pertama berjumpa pakar dan RM5 untuk sesi seterusnya. Lihat senarai hospital yang menawarkan perkhidmatan rawatan mental (https://relate.com.my/public-hospitals/)
- Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM): Rawatan di sini mengambil kos RM30 untuk pendaftaran kali pertama dan RM15 untuk sesi seterusnya. Boleh hubungi talian: +603 7841 4000 untuk maklumat lanjut.
- Pusat Komuniti Kesihatan Mental (MENTARI): Kepada sesiapa yang ingin tahu lebih lanjut, boleh layari laman Facebook MENTARI Selayang
- Befrienders: Memberikan sokongan emosi kepada sesiapa saja yang kesepian, resah, rasa putus atau terfikir untuk membunuh diri selama 24 jam sehari dan 7 hari seminggu. Hubungi mereka di talian 03-76272929
Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat