Wajah sudah dikesan di CCTV. Polis buru seorang lelaki raba wanita di Kelantan

Wajah sudah dikesan di CCTV. Polis buru seorang lelaki raba wanita di Kelantan

Mungkin ramai yang sudah tahu, baru-baru ini tular video rakaman litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang lelaki dipercayai mencabul seorang wanita di Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kejadian berlaku kira-kira 9.40 pagi itu, mangsa sedang berjalan seorang diri di Lorong Limau Manis, Jalan Hamzah untuk ke tempat kerja.

Tiba-tiba, mangsa dihampiri oleh sebuah motosikal jenis Honda C90 yang ditunggang oleh seorang lelaki dari arah belakang yang bertindak meraba punggungnya.

Mangsa membuat laporan polis pada hari yang sama

Mangsa yang berusia 18 tahun telah membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu di sini kira-kira pukul 11 malam pada hari yang sama. Difahamkan, pihak polis sedang memburu lelaki berkenaan dipercayai memupnyai kriteria seperti berikut:

  • berusia dalam lingkungan 40 hingga 50-an
  • menunggang motosikal jenis Honda C90 berwarna coklat.

Berdasarkan semakan nombor siri pendaftaran, polis telah mengenal pasti pemilik motosikal itu yang berasal dari Kuala Lumpur. Pihak polis juga meminta kerjasama orang ramai yang mengetahui dan mengenali suspek supaya segera menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan.

Gangguan seksual boleh berlaku di mana-mana sahaja dalam pelbagai bentuk

Menurut Unit Psikologi  Kementerian Sumber Manusia, gangguan seksual bermaksud perlakuan yang kurang disenangi melalui kata-kata, isyarat, sentuhan, psikologi dan visual yang berunsurkan seks yang biasanya dilakukan berulang-ulang.

Perlakuan-perlakuan ini termasuklah sentuhan tubuh badan yang tidak diingini, paksaan mengadakan dating, dan pujuk rayu supaya melakukan hubungan seks di tempat kerja. Kebiasaannya, cara gangguan seksual dikategorikan kepada tiga iaitu lisan, bahasa isyarat dan visual.

  • Lisan: Melalui kata-kata, komen, gurauan, usikan dan bunyi yang bersifat seksual
  • Bahasa isyarat: Isyarat tangan atau isyarat yang membayangkan perlakuan seks
  • Visual: Menunjukkan bahan-bahan lucah, melukis gambar lucah, menulis surat berbentuk seksual, serta mendedahkan tubuh berpakaian seksi

Kesan gangguan seksual boleh berlaku dalam jangka masa panjang

Kesan gangguan seksual boleh berlaku dalam jangka masa panjang. Tidak hanya ketika ia berlaku. Terdapat beberapa kesan yang boleh dikaitkan dengan gangguan seksual, antaranya adalah kesan psikologi dan kesan emosi.

Dari segi psikologi, mangsa mungkin akan hilang motivasi. Jika berlaku di tempat kerja, individu yang rajin bekerja akan hilang motivasi untuk berbuat demikian selepas menjadi mangsa gangguan seksual selain hilang minat dalam sesuatu perkara atau dirinya sendiri.

Menyedihkan lagi, kemungkinan besar individu tersebut juga akan mempunyai parasaan untuk membunuh diri, mengasingkan diri dan suka berada berseorangan. Dia akan mengalami kemurungan dan trauma. Ada juga mangsa yang akan berasa rendah diri dan bersalah serta dirinya tidak lagi sempurna seperti sebelum gangguan seksual dan menjijikkan. Mereka juga turut dipinggirkan oleh masyarakat.

Dari sudut emosi pula, mangsa gangguan seksual akan terbeban dengan rasa malu kerana masyarakat akan memandang serong terhadap mereka. Kehidupan mereka dalam ketakutan mengenangkan perkara yang telah berlalu dan takut untuk meneruskan kehidupan seperti dahulu.

Secara tidak langsung ia akan memberi kesan negatif terhadap kerjaya individu tersebut. Mangsa tersebut akan mengalami tekanan dan sekiranya tidak dirawat berkemungkinan besar akan menjurus kepada komplikasi yang lain.

Suka dengan pengisian artikel ini? Mari dapatkan banyak lagi artikel berkaitan kesihatan dari kami dengan menyertai channel telegram kami di sini: https://t.me/kitasihat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *